Artikel

Komik-M Hadir Dengan Poskad Raya Eksklusif Buat Ramadan & Raya Pasca Pandemik

oleh Farah Liana Nordin pada 15 Mar 2022

Norma baharu pasca pandemik telah mengubah rutin dan kebiasaan masyarakat pada hari ini. Antara perbezaan ketara yang dapat kita lihat ialah saat kedatangan bulan Ramadan dan Syawal. Jika dahulu, anak-anak bebas berlari ke sana ke mari dan bermain bersama rakan usai mendirikan solat sunat Tarawih pada bulan Ramadan. Syawal pula disambut dengan aktiviti kunjung-mengunjung. Selagi belum senja, tidak nampak batang hidung anak-anak ini. Teruja mereka mengunjungi jiran tetangga. Namun, semuanya berubah apabila virus COVID-19 menyerang dunia.

Pergerakan terpaksa dihadkan bagi mengekang penularan virus COVID-19 yang boleh tersebar melalui interaksi sosial. Anak-anak banyak menghabiskan masa mereka dengan peranti mudah alih. Ini sedikit sebanyak telah menghakis budaya membaca dalam diri anak-anak. Memupuk tabiat membaca ini bukanlah susah namun, ia juga bukanlah mudah. Semuanya bermula dengan memupuk minat membaca.

Menyedari kepentingan membaca bermula dari peringkat awal, Komik-M telah ditubuhkan bagi menghasilkan bahan bacaan yang menepati cita rasa dan selera golongan remaja.

Seawal penubuhannya pada tahun 2008 sehingga kini, Komik-M yang merupakan sebuah imprint di bawah syarikat penerbitan PTS Media Group Sdn. Bhd. telah menghasilkan lebih daripada 200 buah komik pelbagai genre termasuk fantasi, sukan, pembelajaran dan agama. Komik-M sentiasa mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada pembaca dalam kalangan remaja dan tidak ketinggalan juga pembaca dalam kalangan orang dewasa yang menggemari buku genre ini.

Semakin mendapat tempat di hati pembacanya, Komik-M berjaya menangkis tanggapan negatif sebilangan masyarakat yang beranggapan komik hanya bersifat hiburan semata. Yang menariknya lagi, Komik-M memperkenalkan budaya Melayu dan mengangkat penggunaan Bahasa Melayu Tinggi dalam setiap komik keluarannya. Ini menjadi nilai tambah buat Komik-M untuk terus bersaing dalam pasaran komik.

Terus mengorak langkah dalam menghasilkan komik yang bermanfaat buat pembaca, Komik-M memperkenalkan 20 buah komik baharu istimewa buat peminat setianya. Sempena promosi Ramadan Raya, pembaca berpeluang mendapatkan poskad raya eksklusif Komik-M secara percuma untuk setiap pembelian Komik-M. Poskad raya ini didatangkan dengan tiga desain yang berbeza yang dihasilkan oleh 3 pekomik berbakat Komik-M.

Dapatkan koleksi terbaharu Komik-M beserta poskad raya eksklusif Komik-M yang terhad ini secara percuma bermula pada 15 Mac sehingga 30 April 2022 di kedai-kedai buku terpilih berhampiran anda termasuklah Kedai Buku PTS, Kedai Borong PTS, MPH, SMO, Hasani, dan lain-lain. Pembelian juga boleh dilakukan secara dalam talian melalui bookcafe.com.my atau Shopee dan Lazada BukuPTS atau Kedai Borong PTS.

Semarakkan minat membaca dengan mencari genre buku yang menepati cita rasa dan selera anda. Tiada istilah terlambat dalam memulakan pembacaan. Selamat membaca dan menelaah setiap plot dan karakter yang dibawa!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024