Artikel

Salah Laku Seksual

oleh Helmi pada 22 Dec 2004

Bab 15 Salah Laku Seksual

Jenayah seksual di kalangan remaja bukan lagi isu baru di Malaysia malah semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Sepuluh tahun dahulu kita mungkin rasa terkejut dan takut apabila remaja berusia 12 tahun sudah berani membunuh orang, tetapi tidak lagi pada hari ini. Ia seolah-olah trend yang terpaksa kita hadapi.
Jenayah seksual remaja dapat didefinisikan sebagai perbuatan seksual secara paksaan yang meliputi perbuatan meliwat, merogol, melakukan kelucahan melampau, membunuh dan menyeksa mangsa menggunakan kekerasan di mana perbuatan-perbuatan itu salah di sisi undang-undang.

Ciri-ciri Remaja Devian

Mengikut kajian Halcomb (1991), personaliti remaja mempunyai masalah tingkah laku seperti berikut:
- Mempunyai hubungan sentimental tetapi kasar dengan orang lain dan selalu terlebih yakin dengan keupayaan mereka.
- Kehidupan harian tidak teratur dan tidak peka pada peraturan.
- Lebih menggemari situasi yang tidak dapat dijangka ataupun berunsur suspens.
- Mempunyai potensi mempengaruhi orang lain.
- Bercakap kasar, tidak bertimbang rasa dan tidak sabar dengan kelemahan ataupun kekurangan orang lain.
- Berasa kehidupan keluarga tidak memuaskan, kurang kasih sayang dan mempunyai tahap konflik yang tinggi.
- Mempunyai kepercayaan diri yang rendah dalam keupayaan mencapai kepuasan akademik yang baik.
- Mengalami ketidakselarasan antara dirinya yang ideal dan dirinya yang sebenar di mana mereka kadang-kadang bermasalah mencapai identiti yang diinginkan.
- Kurang kepercayaan bagi mengawal kehendak-kehendak impulsif.

Punca Salah Laku Seksual Remaja

Teori fungsionalisme
Teori ini menganggap devian sebagai tidak mempunyai peranan kepada struktur sosial.

Teori konflik
Teori konflik mengatakan, devian adalah tindakan golongan tertindas ke atas pihak minoriti yang menindas.
Teori subbudaya
Teori Subbudaya dan deprivasi status pula berpendapat, devian berpunca daripada budaya kumpulan yang berbeza daripada budaya masyarakat. Deprivasi selalu berpunca daripada kemerosotan ekonomi dan kelemahan sosio-emosi. Remaja terutama daripada kelas sosial rendah yang tidak berjaya dalam akademik mengalami kekecewaan dan tekanan serta bertindak melakukan devian.

Teori interaksionisme
Teori interaksionisme melihat devian sebagai perkara subjektif dan proses sosial. Remaja sengaja memilih tingkah laku mengikut kemahuan dan sesuai dengan cara interpretasi mereka. Kajian Tattum (1986) mendapati, remaja sengaja melakukan devian sebagai teknik naturalisasi dalam interaksi mereka.

Kategori Perlakuan Devian
- Inovasi: Memenuhi matlamat dengan cara yang salah.
- Ritual: Tindakan mengulang perbuatan.
- Undur: Orang yang tidak lagi berminat dengan matlamat-nya lalu melakukan alternatif lain sebagai tindakan.
- Menentang: Menolak matlamat persekolahan dan menggantikannya dengan matlamat lain.

Punca Salah Laku Seksual

Ketidakstabilan mental

Menurut Steinberg (1987), perkembangan remaja melibatkan beberapa siri transisi daripada keadaan belum matang ke arah kematangan ataupun sempadan remaja. Oleh itu, remaja dianggap sebagai masa storm and stress iaitu masa bergelora, penuh pancaroba dan perubahan perasaan atau mood (G. Stanley Hall, 1844-1924). Mereka mudah dipengaruhi terutamanya pada tahap perkembangan kognitif sehingga mereka sanggup melakukan perkara-perkara melanggar undang-undang.
Dalam teori organismik yang dipopularkan oleh Sigmund Freud (1938), Erik Erikson (1968) dan Jean Piaget, perubahan hormon semasa baligh menggugat keseimbangan psikik yang dicapai pada tahap psiko seksual terdahulu iaitu pendaman (latency). Semasa remaja, dorongan seks dan aggression atau kelangsangan tertimbul semula selepas menyepi ketika peringkat kanak-kanak. Ini menyebabkan remaja berdepan dengan konflik hebat antara keinginan dan peraturan masyarakat. Remaja yang dilanda kekecewaan tidak berjaya mengawal emosi, ingin membalas dendam dan gangguan jiwa. Ini adalah punca utama jenayah seksual.

Remaja yang mempunyai masalah kejiwaan ini dapat dibahagikan kepada dua. Pertama, pesakit jiwa waras (jiwa tertekan, murung, bimbang, penagih dadah, perokok, minum minuman keras, kelencongan seksual dan transeksual). Kedua adalah penyakit jiwa yang serius seperti tidak siuman atau hilang kewarasan akal. Jiwa remaja lembut ibarat rebung dan tidak stabil. Remaja juga adalah masa mencari identiti ataupun jati diri. Justeru, apabila zaman remaja dipenuhi perkara-perkara yang tidak wajar, masa depan dan perjalanan hidup remaja juga akan rosak. Kesesakan persekitaran yang dialami juga menyebabkan jiwa mereka semakin tertekan. Cara terbaik bagi mereda dan mengalihkan perasaan kecewa adalah melakukan perilaku-perilaku negatif.

Teori Freud menyatakan, tekanan hidup serius yang dihadapi oleh manusia menyebabkan tekanan itu diekspresikan melalui perlakuan mengejut dan luar biasa. Contohnya membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Dalam bidang psikologi, golongan penjenayah seksual ini dikenali sebagai masochis ataupun sadis. Jiwa mereka tidak stabil dan suka melakukan keganasan khususnya setiap kali ingin melakukan hubungan seks. Mereka mengikat, memukul, malahan sanggup membunuh demi mencapai kepuasan seksual yang diingini.

Latar belakang kehidupan

Menurut pakar-pakar psikologi, petunjuk yang boleh digunakan adalah sejarah hidup atau latar belakang kehidupan individu itu. Berdasarkan kajian kes yang dijalankan, pakar-pakar ini berpendapat, individu yang pernah mengalami penderaan fizikal, penderaan seks ataupun penganiayaan dalam sejarah hidup, berkemungkinan besar akan melakukan jenayah seks.

Demikian juga bagi individu-individu yang berasal daripada keluarga yang tidak sejahtera dan porak-peranda. Mereka dikatakan melakukan jenayah seks bagi membuktikan pada diri dan masyarakat yang mereka gagah dan berkuasa. Bagi mereka, perbuatan itu adalah cara menghilangkan rasa rendah diri yang menghantui perasaan dan jati diri. Individu-individu itu juga melakukan jenayah seks sebagai cara melepaskan dendam yang terpendam dalam jiwa dan fikiran bawah sedar mereka.

Malangnya, petunjuk-petunjuk psikologi ini tidak semestinya dapat dikesan pada penampilan fizikal, perawakan ataupun perwatakan individu itu, sehingga tiada siapa menyangka orang yang kelihatan lembut dan berdisiplin tergamak melakukan tindakan-tindakan kejam. Seolah-olah gambaran para penjenayah seks yang lazimnya berwatak jahat, ganas dan tidak berdisiplin itu tidak benar. Sebaliknya, individu yang tenang, pengasih dan berbudi bahasa adalah perogol dan pembunuh yang kejam.

Rasa hormat diri yang rendah

Penjenayah-penjenayah seks, khususnya mereka yang masih muda, dikatakan mempunyai rasa hormat diri yang rendah. Mereka bimbang cinta mereka akan ditolak oleh setiap wanita lalu beranggapan mereka tidak mungkin mempunyai kekasih ataupun teman hidup. Oleh itu, mereka memilih jenayah seks. Mereka juga berkemungkinan menghidap penyakit-penyakit mental seperti skizofrenia, paranoid, masalah mental bipolar, kegelisahan melampau dan psikotik, kemurungan dan sebagainya.

Sikap ingin tahu yang keterlaluan

Lebih ironis lagi apabila pakar psikologi berpendapat, dorongan melakukan jenayah seks mungkin berasal daripada sikap ingin tahu yang keterlaluan. Apabila desakan bagi mengetahui sesuatu, khususnya berkaitan seks tidak dapat dipenuhi melalui saluran yang terkawal, mereka akan mendapatkan maklumat-maklumat yang diingini daripada sumber-sumber lain. Sebaik sahaja mengetahuinya, mereka mahukan lebih banyak sehingga ke peringkat mereka mula berfantasi melakukannya. Akibat kerap berfantasi, keinginan mencuba akan meningkat. Ada kalanya mereka berfantasi bukan kerana dorongan ingin tahu yang keterlaluan, tetapi disebabkan ketidakpuasan seks yang dialami ataupun keinginan mencuba perkara yang luar biasa.

Walaupun apa yang dinyatakan oleh pakar-pakar psikologi ini tidak berdasarkan kebenaran empiris dan petunjuk-petunjuk yang tidak dapat dikesan secara langsung melalui pemerhatian orang awam, namun ia dapat dijadikan sumber bagi mengesan unsur-unsur yang mendorong perlakuan jenayah seks dan tindakan kejam yang tidak berperikemanusiaan khususnya di kalangan golongan muda dan remaja. Unsur-unsur yang dimaksudkan ini termasuklah ketidakstabilan mental, ketidaksejahteraan keluarga dan latar belakang kehidupan yang mundur, perasaan rendah diri yang keterlaluan dan tidak terkawal, keghairahan berfantasi, ketidakpuasan seks, keinginan mencuba perkara luar biasa, peningkatan rangsangan-rangsangan negatif daripada luar dan sebagainya.

Kebanjiran bahan-bahan erotik

Penjenayah-penjenayah remaja sebenarnya belum cukup matang dalam mempertimbangkan kebenaran yang ditemui. Kebanjiran bahan-bahan erotik dan keganasan seperti foto, buku, komik dan majalah, khususnya daripada internet, cakera padat dan cakera video digital (DVD) dapat merangsang keinginan seks terutamanya remaja lelaki yang memiliki nafsu dan fantasi seks yang tinggi. Tanpa unsur-unsur negatif ini, mereka merasakan seperti tidak ada umph dalam media cetak dan media elektronik yang dibaca, dilihat ataupun didengar. Ia mudah merangsang golongan remaja kerana mereka memiliki pemikiran yang belum matang walaupun fizikal mereka sudah mencapai tahap baligh.

Selain itu, harga bahan-bahan lucah yang murah ini dianggap sebagai bonus kepada remaja khususnya pelajar-pelajar sekolah. Kajian Karsmini (1987) menunjukkan, faktor-faktor yang menyebabkan remaja menjadi ganas adalah seperti berikut:
- Bentuk komunikasi yang sedia ada dalam keluarga.
- Tahap keganasan yang ada pada remaja.
- Program televisyen yang mempengaruhi tindakan remaja.

Selain itu, kajian James, Foe & Breed (1988) menunjukkan, secara purata remaja menghabiskan 24 jam seminggu bagi menonton televisyen. Oleh itu, maklumat yang diterima oleh deria mereka akan masuk ke minda dan tindakan mereka juga tidak lari daripada apa yang terkandung di dalam otak.

Remaja akan terpengaruh apabila mereka kerap didedahkan dengan bahan-bahan yang kurang sihat itu. Menerusi pembacaan yang tidak terkawal, mereka akan berimaginasi sendiri dan membangkitkan rasa ingin mencuba. Keadaan ini berbetulan dengan teori pembelajaran iaitu teori pelaziman klasikal yang diperkenalkan oleh Ivan Pavlov. Pelaziman klasikal ini berdasarkan kepada konsep rangsangan dan tindak balas. Dalam kes ini, remaja yang sering menonton bahan-bahan lucah dan erotik bagi mendapat kepuasan akan belajar daripada keadaan itu dan mencubanya bagi mencapai kepuasan.

Di samping itu, ia juga dikaitkan dengan teori pembelajaran sosial di mana tingkah laku dipelajari melalui pemerhatian dan peniruan serta melibatkan role model terutamanya di dalam VCD lucah ataupun artis-artis popular. Remaja mencontohi apa sahaja yang menarik minatnya (Bandura, 1977). Biarpun ada kajian yang membuktikan bahan-bahan erotik ini tidak menimbulkan keinginan seks luar kawalan, namun kekerapan melihat ataupun membaca bahan-bahan sedemikian mampu mengubah persepsi remaja mengenai seks.

Kajian mendapati, peningkatan pendedahan bahan-bahan lucah di kalangan pelajar universiti (lelaki dan perempuan) adalah tiga hingga enam filem seminggu dalam tempoh enam minggu dan ini dapat mengubah persepsi mereka mengenai seks. Contohnya, mereka akan menganggap seks luar nikah itu sebagai perkara normal.

Lazimnya, bahan-bahan pornografi sering memaparkan unsur-unsur keganasan terutamanya kepada wanita. Dalam bidang psikologi sendiri, manusia digambarkan sebagai sukakan keganasan. Jiwa manusia terbahagi kepada dua iaitu hidup (seks) dan mati (pembunuhan dan peperangan). Setiap manusia berpeluang bertindak ganas seperti membunuh. Walau bagaimanapun, niat ini terhalang oleh norma-norma sosial seperti takutkan hukuman Tuhan dan undang-undang. Sekiranya norma-norma sosial tidak wujud dalam diri individu, akan lahirlah penjenayah seperti pembunuh dan perogol. Oleh itu, media massa perlu diberi perhatian supaya kandungan rancangan yang disiarkan berbentuk positif dan proaktif bagi mengatasi pencemaran budaya remaja ini.

Amalan agama

Ahli sosiologi, psikologi dan pendidik bersependapat mengatakan penampilan seksi wanita juga adalah punca berlaku kejadian rogol. Selain itu, kurang didikan agama dan moral di kalangan ibu bapa mahupun anak-anak serta pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan juga menjadi punca kes-kes jenayah seksual berleluasa. Ajaran akhlak seperti menghormati orang tua, sembahyang, beradab dan sebagainya dipandang ringan oleh ibu bapa. Walhal kajian Michelle, Thomas dan Sinyangwe (1989) mendapati, ajaran agama dapat menjadi pelita ataupun regangan moral dalam diri remaja supaya mereka dapat berfikir sebelum melakukan perkara tidak bermoral. Rumusannya, pendidikan sivik dan agama boleh mempengaruhi cara pemikiran dan tingkah laku sosial remaja.

Kesan pengaruh dadah dan alkohol

Selain itu, pengaruh dadah, pil khayal dan arak juga mengakibatkan remaja bertindak ganas dan melakukan jenayah seksual.

Proses urbanisasi

Kegiatan devian dan keruntuhan moral di kalangan remaja juga berpunca daripada proses urbanisasi dan industrialisasi. Ini kerana, kedua-dua proses ini mengendurkan kawalan sosial (Gottfredson, D.C., McNeil, R.J. dan Gottfredson, G.D. 1991) yang wujud dalam masyarakat tradisional. Akibatnya, anggota masyarakat bebas melakukan sesuka hati.

Dalam masyarakat tradisi, hubungan antara anggota masyarakat begitu erat. Contohnya, masyarakat kampung saling mengenali, tolong-menolong dan mengambil berat antara satu sama lain sehingga budaya ini meresap ke dalam jiwa setiap ahli kampung. Secara tidak langsung, hubungan erat ini membentuk kawalan sosial yang dapat memelihara tingkah laku ahli masyarakat. Perbuatan yang melanggar norma dan nilai masyarakat kampung itu cuba dielakkan kerana bukan sekadar nama diri sahaja tercemar, malah nama baik keluarga juga turut terpalit.

Suatu ketika dahulu, kempen Rukun Tetangga diadakan bagi menjaga keamanan di kawasan masing-masing. Tetapi malangnya ramai yang menyalahgunakan kempen ini. Ada yang hadir sekadar menandatangani buku kedatangan ataupun berborak dan sembang-sembang kosong sehingga tiba waktu pulang.

Antara nilai yang dapat dilihat dalam persekitaran proses urbanisasi dan industrialisasi adalah nilai individualistik dan materialistik. Sikap ini menyebabkan setiap anggota masyarakat membawa diri masing-masing dan tidak ada masa mengambil tahu hal orang lain. Sikap individualistik ini menyebabkan tiada hubungan antara satu sama lain dalam kawasan kediaman dan sekiranya ada sekali pun, hanya pada tahap paling minimum.

Kesan Salah Laku Seksual

Kes jenayah seksual ini meninggalkan kesan jangka panjang dan jangka pendek kepada mangsa, penjenayah dan juga masyarakat.

Mangsa

Bagi mangsa deraan seksual, ia meninggalkan kesan psikologi, interpersonal, serta sukar bersosial dalam masyarakat dan kehidupan masa depan. Keadaan serta penyeksaan seperti ini menyebabkan mangsa-mangsa mengalami mimpi ngeri, fobia, kemurungan dan kebimbangan. Ia juga menyebabkan berlakunya tingkah laku antisosial seperti lari dari rumah, ponteng sekolah, stigmatization iaitu rasa bersalah, malu dan rasa rendah diri yang menjurus kepada kelakuan mengasingkan diri. Dalam kes yang serius, ia melibatkan bunuh diri.
Di samping itu, mangsa juga terdorong menghadapi masalah kecelaruan pemakanan sehingga mengakibatkan aneroxia nervosa dan bulimia nervosa iaitu sukar percaya kepada orang lain. Ini kerana, kes jenayah seksual ini kadang kala melibatkan orang yang dipercayainya dan orang yang berada di sisi mereka seperti rakan sebaya ataupun teman lelaki. Mangsa juga terdorong ke arah penyalahgunaan dadah.

Selain kesan psikologi, mangsa juga turut mengalami kehamilan sebelum kahwin. Keadaan ini menambahkan lagi rasa bersalah sehingga menyebabkan mangsa hidup terasing dan takut hendak keluar rumah. Mereka takut dipandang hina dan dikutuk masyarakat walaupun sebenarnya mereka adalah mangsa.

Penjenayah

Bagi penjenayah pula, mereka mengalami ketidaksuburan dan jangkitan HIV. Mereka juga boleh dijangkiti AIDS sekiranya jangkitan berterusan ataupun sentiasa menukar pasangan. Mereka juga menjadi semakin ganas dan tidak berperikemanusiaan semata-mata bagi mencapai kepuasan nafsu.

Masyarakat

Sementara itu, kes jenayah seksual ini bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa dan perogol, malah menyebabkan masyarakat hidup dalam ketakutan dan kerisauan terutamanya anak-anak gadis. Di samping itu, norma-norma hidup masyarakat juga terjejas dengan kes-kes pembuangan bayi ataupun pengguguran bayi yang semakin meningkat setiap hari. Ini kerana, mangsa-mangsa malu hendak mengaku ataupun menjaga bayi itu kerana masyarakat menganggapnya sebagai anak luar nikah dan dipandang hina seumur hidup.

Cadangan Mengatasi

Tindakan tegas ke atas penjenayah

Memandangkan kes jenayah seksual remaja semakin serius, beberapa langkah pencegahan perlu difikirkan bagi membendungnya daripada berleluasa. Kawalan lebih ketat adalah perlu bagi mengawal penjualan dan pengedaran bahan-bahan lucah di kalangan pelajar, remaja dan orang dewasa. Hukuman lebih berat perlu dikenakan ke atas mereka yang terlibat dengan kegiatan ini serta kepada remaja yang disabitkan kesalahan melakukan jenayah seksual.

Hukuman yang lebih berat daripada segi undang-undang dan mengurangkan had umur dijatuhi hukuman tidak memberi impak jangka panjang, malah menjana reaksi penentangan yang lebih destruktif. Penguatkuasaan hukuman akan menimbulkan kemarahan golongan muda kepada sistem undang-undang dan kepada masyarakat. Keadaan ini tidak membantu menyelesaikan masalah. Walau bagaimanapun, hukuman adalah faktor pencegahan yang tidak dapat dikesampingkan begitu sahaja. Sekurang-kurangnya hukum-an berat boleh berfungsi sebagai amaran supaya mereka yang ingin melakukan jenayah seks itu berfikir dua kali.

Pendidikan keselamatan

Walau bagaimanapun, perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang serta hukuman perlu diiringi dengan langkah-langkah pencegahan ke atas golongan wanita, gadis, pelajar sekolah dan kanak-kanak perempuan yang semakin terdedah dengan jenayah seksual. Aspek keselamatan di sekolah, tempat kerja, premis persendirian dan kawasan awam perlu dipertingkatkan. Oleh yang demikian, persekitaran yang sihat perlu diwujudkan. Sekiranya tidak, masalah jenayah seksual ini akan terus berlaku dan mungkin dalam bentuk yang lebih dahsyat serta menakutkan. Gadis remaja perlu diberi pengetahuan mengenai bentuk salah laku seksual, cara menghadapi dan sedia berkongsi dengan orang dewasa apabila ia berlaku pada dirinya.

Khidmat perlindungan dan kaunseling

Remaja yang menjadi mangsa sebaik-baiknya tidak dibiarkan bersendirian dalam menyelesaikan masalahnya tanpa bantuan daripada mana-mana pihak. Kerjasama dan tanggungjawab bersama daripada ibu bapa, guru, masyarakat dan remaja itu sendiri adalah perlu bagi membantunya menghadapi masalah itu.

Peranan ibu bapa

Ibu bapa sebaik-baiknya tidak menunggu remaja menghadapi ataupun meluahkan masalah kepada mereka. Sebaliknya, ibu bapa perlu mendekati mereka setiap masa. Ini memudahkan mereka mengenali perubahan remaja daripada segi pergaulan mahupun pembelajaran. Ini membolehkan kedua-dua pihak sama-sama berusaha mencari jalan penyelesaian. Ibu bapa juga perlu mempelajari teknik keibubapaan supaya mereka tidak cepat menempelak ataupun menunjukkan reaksi yang tidak menyenangkan kepada remaja. Remaja tidak akan meluahkan masalah sebaliknya menyembunyikan masalah itu. Dengan itu, cara-cara keibubapaan yang berkesan perlu dianjurkan dan disebarkan melalui risalah, akhbar, seminar dan pelbagai media cetak dan elektronik supaya ia dapat dipraktikkan. Pendidik atau pengajar juga adalah kumpulan terhampir dengan remaja. Ini kerana, hampir setiap hari guru bersemuka dengan remaja. Secara tidak langsung, remaja yang bermasalah dapat dikenali walaupun remaja itu tidak menceritakan masalahnya kepada mereka.

Khidmat pembimbing rakan sebaya

Tidak semua remaja dapat menerima khidmat kaunselor kerana mereka lebih mempercayai rakan sebaya. Biasanya, remaja akan merujuk kepada pembimbing rakan sebaya bagi mengatasi masalah mereka.

Pembimbing rakan sebaya (PRS) bertindak sebagai penghubung atau perantara remaja dengan kaunselor. Oleh yang demikian, kaunselor, pengajar dan pendidik perlu sentiasa memberi bimbingan kepada PRS supaya mereka berupaya membimbing rakan remaja mereka.

Masyarakat penyayang dan prihatin

Satu lagi kelompok yang bertanggungjawab adalah masyarakat itu sendiri. Masyarakat sebagai kelompok terbesar sering menuding kesalahan kepada remaja. Walhal, masyarakat turut memainkan peranan tersendiri dalam menangani masalah ini. Keprihatinan dan pergaulan dengan remaja adalah perlu. Dengan ini, masalah remaja dapat difahami. Selain itu, perlu diadakan perbincangan atau forum yang melibatkan kehadiran masyarakat dan remaja bersama-sama. Masyarakat tidak perlu membuat perbandingan zaman remaja dahulu dengan zaman sekarang. Ini kerana, terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua zaman itu. Pada zaman dahulu, kehidupan remaja kurang mencabar berbanding zaman sekarang. Pengaruh budaya barat dan media massa hari ini semakin berleluasa dan remaja pula mudah terpengaruh.

Pembentukan jati diri remaja

Akhir sekali, dalam usaha mengatasi pencemaran budaya remaja, beban ini sebaik-baiknya tidak diletakkan atas tanggungjawab ibu bapa dan masyarakat sahaja tetapi juga kepada remaja itu sendiri. Perkara pertama yang perlu diteliti oleh remaja adalah pembentukan peribadi. Dengan ini, setiap perbuatan yang dilakukan lebih bermanfaat. Remaja perlu membangun dan dibangunkan. Penerapan nilai-nilai murni dalam diri seperti amalan berdisiplin, adil, bertanggungjawab, kerjasama dan toleransi perlu dicanai dalam diri mereka. Nilai murni seperti ini dapat mengukuhkan keimanan, seterusnya menguatkan umat menuju ke arah pembangunan negara.
Menurut teori Erik Erikson (1963), terdapat lapan tahap perkembangan yang berlaku sepanjang hayat manusia dan setiap tahap mempunyai tugas perkembangan yang unik. Remaja kini berada pada tahap perkembangan identiti melawan kekeliruan identiti ataupun peranan. Perubahan besar yang dialami remaja adalah perkembangan sosial. Mereka sedang meneroka identiti yang sesuai dengan jiwa mereka. Hubungan dengan dunia luar selain anggota keluarga kini bertambah penting dan memainkan peranan yang besar dalam pembentukan identiti.
Remaja adalah golongan yang sentiasa memerlukan bim-bingan dan sokongan. Oleh itu, mereka perlu dibantu supaya tidak terkeliru sepanjang membuat keputusan dalam kehidupan. Kesilapan memilih jalan pada usia remaja akan menghancurkan hidup mereka kecuali mereka menemui pintu taubat sendiri.

Pendidikan seks

Pendidikan memainkan peranan penting khususnya pendidikan tidak formal melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, pembacaan dan pergaulan. Dalam konteks perlakuan jenayah seks yang didorong oleh unsur-unsur keghairahan berfantasi akibat keinginan mencuba dan ketidakpuasan seks, sikap merahsiakan maklumat-maklumat seks dan kaedah-kaedah meredakan keinginan melakukannya di luar batasan kemanusiaan mungkin sudah tidak relevan. Sikap keterbukaan yang terkawal dalam membincangkan isu-isu berkaitan seks tidak dapat dipertikaikan lagi. Perspektif seks yang lebih positif perlu disebarkan dengan mengkaji semula kaedah dan matlamat pendidikan seks yang sedia ada. Pendekatan formal dan indoktrinasi yang digunakan juga perlu dikaji semula selaras dengan fenomena kebebasan semasa dan perubahan nilai kehidupan moden.

Kurikulum pendidikan seks perlu dibentuk dan diajarkan kepada remaja. Maklumat berkenaan seks yang disampaikan secara formal sebagai ilmu sains reproduktif menambahkan pengetahuan mengenai fungsi seks sebagai kaedah pembiakan semula jadi demi kelangsungan spesies. Ilmu kesihatan reproduktif perlu memberi penekanan mengenai aktiviti seks yang tidak sihat yang mendedahkan manusia kepada pelbagai jenis penyakit. Selain itu, para pendidik juga perlu berfikiran lebih terbuka dalam menyampaikan maklumat-maklumat pendidikan seks.

Kesimpulan

Salah laku seksual perlu ditangani dengan serius kerana perlakuan jenayah yang dilakukan bukan sahaja merosakkan diri sendiri malah mengganggu orang lain. Pendekatan secara bersepadu melibatkan semua pihak perlu dilakukan segera kerana penjenayah seperti ini seolah-olah bom jangka yang berbahaya dan menjejaskan ketenteraman awam.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024