Artikel

Kronikel Empat Bahtera: satu dunia yang kompleks tetapi syok

oleh Nurul Aina Fasihah binti Hidir pada 21 Oct 2022

Cerita Puteri Naga Tiberius, hasil penulisan Sri Rahayu Mohd Yusop merupakan sebuah karya fantasi dalam siri Kronikel Empat Bahtera. Cerita ini mengisahkan tentang dua orang yang berbeza kedudukan namun berasa terkurung dan terkongkong, mengimpikan kebebasan. Seorang merupakan hamba wanita pembuat racun bernama Sula dan seorang lagi ialah anak raja yang bakal mewarisi takhta, Basilius. Mereka berjaya melarikan diri dari tangan yang memerangkap mereka dan percaya bahawa takdir yang menemukan mereka. Cerita ini ditempatkan dalam dunia buatan penulis yang memfokuskan Kerajaan Tiber. Apa yang saya suka tentang cerita ini ialah ‘world-building’. Kalau ada peta dunia disertakan sekali dalam buku, lagi syok! Penulis juga mengenalkan ilmu dan peraturan dunia Kerajaan Tiber. Contohnya, beberapa bab dimulakan dengan perihal-perihal seperti Perihal Kuasa Sakti Raja-Raja, Perihal Adat Istiadat Diraja dan Perihal Seni Bina Kerajaan Tiber. Apabila penulis menyertakan ilmu dan peraturan dunia yang beliau bina, pembaca akan lebih merasakan pertalian yang kuat dengan buku ini. Gadis Boneka Hadrah pula merupakan siri kedua dalam Kronikel Empat Bahtera oleh Sri

Rahayu Mohd Yusop. Saya amat berpuas hati apabila penulis menyertakan apa yang saya harapkan di siri sebelumnya, iaitu peta dunia! Kali ini, siri ini bertempat di Kerajaan Farsina. Dalam siri sebelum ini, Sula pernah berkata, “Suatu hari nanti aku akan pergi ke laut dan mengetahui apa yang disembunyikan olehnya.” Dalam epilog Puteri Naga Tiberius, Sula memulakan pengembaraan di lautan seperti hajatnya selepas melarikan diri daripada menjadi hamba. Kita dapat melihat kesinambungan kisah Sula dan Basilius dalam siri Gadis Boneka Hadrah. Apa yang saya gemar dengan kedua-dua siri dalam Kronikel Empat Bahtera ini ialah watak- watak yang kompleks. Setiap watak memainkan peranan yang penting walaupun hanya watak sampingan. Ini menunjukkan bahawa penulis amat sayangkan watak-watak dalam dunia ciptaannya. Watak sampingan bukan sekadar watak sampingan. Saya juga gemar melihat pelbagai kaum seperti Turuk dan Philisti dan pelbagai jenis makhluk yang tidak ada di dunia realiti seperti ular seraphin. Bukan itu sahaja, penulis juga menyertakan pengetahuan di lampiran belakang novel, memudahkan pembaca untuk merujuk semula apa yang berlaku dalam dunia novel.

Banyak juga isu yang diketengahkan oleh penulis. Antaranya ialah isu pemimpin yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga kerajaan menyebabkan kerajaan menjadi lemah. Ini yang saya suka bila baca buku fantasi. Penulis mengkritik pemerintahan yang penuh dengan dengki dan sistem perhambaan yang beri kemudahan kepada golongan bangsawan dan kerabat diraja. Pembaca pun boleh rasa terkait dengan isu yang dikemukakan. Bukan itu sahaja, watak Sula yang merupakan seorang hamba memberi nasihat kepada Basilius untuk membebaskan mimiknya yang hidup semata-mata untuk menjadi bayangnya. Puan Sri Rahayu berjaya mencipta satu dunia yang kompleks tetapi beliau berjaya memberi seberapa banyak perincian supaya pembaca dapat membayangkan alam Buana Empat Bahtera ini. Kalaulah novel ini boleh divisualisasikan, mesti lagi gempak. Bayangkan kuadralogi Kronikel Empat Bahtera ini dijadikan filem bersiri atau siri komik fantasi, saya yakin ia akan pecah panggung!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024