Artikel

Langkah Berani Bookiut: Memperluas Jangkauan Pembaca dengan Penerbitan Tiga Judul Bahasa Inggeris

oleh Aina Fasihah Hidir pada 08 May 2023

Dalam dunia penerbitan, tidak asing untuk sebuah rumah penerbitan untuk fokus pada sebuah bahasa atau genre. Apabila rumah penerbitan itu melangkah dari zon selesa dan mencuba sesuatu yang baharu, ia akan menjadi sesuatu yang mengujakan. Inilah apa yang terjadi pada Bookiut yang sebelum ini dikenali sebagai penerbit novela-novela remaja Melayu sejak tahun 2019 lagi.

Baru-baru ini pada tahun 2023, Bookiut telah berjaya menerbitkan tiga karya berbahasa Inggeris yang ditulis oleh penulis-penulis tempatan. Melalui penerbitan tiga naskhah ini, ia menandakan langkah pertama Bookiut untuk meluaskan julat pembaca. Ia turut membuka peluang kepada penulis-penulis tempatan untuk berkarya dalam bahasa Inggeris.

Berkat usaha editor Bookiut, Cik Puan Naadhira Zahari dalam membawa karya berbahasa Inggeris dengan pilihan kulit hadapan yang sangat cantik dan menarik perhatian. Tanpa usaha beliau, langkah untuk meluaskan jenis karya Bookiut mungkin tersekat kepada pembaca sedia ada sahaja.

Tiga novela pertama yang berjaya diterbitkan pada 14 April lepas itu bertajuk The Interdimensional Detective, School of Thieves dan Our Tethered Skates. Ketiga-tiga tajuk ini ditulis oleh penulis tempatan menggunakan bahasa Inggeris untuk menarik pembaca yang berlainan.

The Interdimensional Detective mengisahkan tentang adik lelaki yang hilang tanpa menunjukkan sebarang tanda kerana dia diculik oleh sebuah organisasi yang bukan berasal dari Bumi. Watak utama novela ini meminta bantuan seorang detektif yang boleh berjalan merentasi dimensi untuk menyelamatkan adik lelakinya itu. Novela ini ditulis oleh Ten, seorang remaja yang masih baru dalam dunia penulisan tetapi berbakat.

School of Thieves pula menceritakan tentang seorang gadis yang ditangkap kerana jenayah mencuri harta bapanya yang sudah lama meninggalkan dia dan ahli keluarganya yang lain. Dia bukannya ditangkap oleh polis tetapi oleh seorang perekrut akademi jenayah untuk mengasah bakatnya supaya dia menjadi seorang dalang jenayah. Novela ini ditulis oleh Puan Sabrina Ismail yang sebelum ini menulis siri Elite Bunian, Boba Girl dan Miss Baker.

Our Tethered Skates pula mengisahkan perjuangan seorang gadis yang termasuk ke dalam dunia magis setelah kepalanya terhentak ke atas ais batu. Dia terpilih sebagai pahlawan dunia itu untuk membantu rakyat berlawan dengan pihak musuh. Gadis itu buntu sama ada dia harus pulang ke dunia asalnya atau mencari rahsia di sebalik kehilangan kakaknya. Novela ini ditulis oleh Cik Puan Naadhira Zahari yang juga merupakan editor Bookiut.

Sebagai penutup kata, The Interdimensional Detective, School of Thieves dan Our Tethered Skates mencatat sebuah permulaan yang baharu untuk Bookiut. Kami mengharapkan agar anda akan terus bersama kami, menantikan penerbitan novela-novela Bookiut akan datang.

Bookiut menerima manuskrip novela dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebanyak 10 bab, dari 18,000 patah perkataan hingga 23,000 patah perkataan yang sesuai untuk golongan remaja dan dewasa. Manuskrip boleh dihantarkan kepada e-mel [email protected].

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024