Artikel

Lawatan Ke PTS: KIPSAS Peroleh Maklumat Bernilai

oleh Roziyah pada 21 Sep 2010

Mahasiswa yang hadir diberi penerangan mengenai PTS oleh Pengurus Besar Penerbitan PTS, Tuan Fauzul Naim Ishak.

 

Mahasiswa-mahasiswa Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) mengadakan lawatan akademik ke PTS bagi menambahkan pengetahuan dan menimba pengalaman daripada PTS dalam bidang pengurusan perniagaan.

Tuan Fauzul Naim Ishak selaku Pengurus Besar Penerbitan di PTS berbesar hati memberikan penerangan mengenai cara pengurusan dan operasi di PTS.

Mahasiswa yang rata-ratanya mengambil kursus Prinsip Pemasaran, Pengurusan Operasi dan Perniagaan Antarabangsa tidak melepaskan peluang mendengar taklimat bernilai Tuan Fauzul Naim yang mampu menjadi panduan dalam pengajian mereka.

Penerangan mengenai pengurusan operasi syarikat diterangkan secara mendalam agar mahasiswa yang hadir mendapat gambaran sebenar terhadap dunia perniagaan di Malaysia.

Bagi pensyarah kewangan, cikpuan Nurulhuda Othman, lawatan ke PTS memberi pengalaman yang tidak terhitung nilainya. Berbanding lawatan ke syarikat lain, cikpuan Nurulhuda melihat PTS sebagai sebuah syarikat bumiputera yang berkembang pesat dan mempunyai daya saing yang tinggi serta mampu berdiri atas kaki sendiri tanpa ada bantuan daripada sumber lain.

“Mahasiswa dan kami sendiri selaku pensyarah mendapat maklumat serta pengalaman baru apabila datang ke sini. Pelajar dapat melihat operasi PTS yang 100 peratus berlandaskan Islam.

Bagi Pensyarah kursus perniagaan, Puan Siti Fatimah pula, lawatan ke PTS menjadi landasan berguna kepada pelajar-pelajar kerana apa yang diterangkan dalam taklimat secara tidak langsung memberi gambaran yang jelas kepada mahasiswa terhadap subjek yang diambil.

Salah seorang pelajar bidang perniagaan, cikpuan Nurul Syahirah Abdul Halim melihat PTS sebagai sebuah syarikat yang memartabatkan Bahasa Melayu dalam penerbitannya selaras dengan dasar PTS yang mengamalkan Bahasa melayu Tinggi dalam setiap buku yang diterbitkan.

“Jarang kita melihat sebuah syarikat penerbitan mempertahankan dan memartabatkan bahasa Melayu dalam buku terbitan mereka,” jelas Cikpuan Nurul Syahirah.

Beliau yang meminati buku-buku keluaran PTS juga tertarik dengan grafik bagi kulit buku PTS.

“Kulit buku PTS yang menarik dan comel menarik minat beliau membeli buku keluaran PTS selain Bahasa Melayu Tinggi (BMT) yang diamalkan PTS,” jelas Cikpuan Nurul Syahirah.

Beliau yang sememangnya berminat dengan perniagaan mendapat gambaran yang jelas mengenai pengurusan perniagaan cara Islam yang diamalkan PTS.

Seramai 35 orang mahasiswa dan dua orang pensyarah dari KIPSAS memperoleh input berguna yang dapat dijadikan rujukan tambahan selain menambah pengalaman baru dalam bidang berkaitan pengurusan perniagaan.

Mahasiswa dan pelajar yang hadir juga tidak melepaskan peluang membeli beberapa buah buku keluaran PTS diskaun hebat yang disediakan PTS.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024