Artikel

Ratib Kekasih Allah Didik Kesejahteraan Jiwa

oleh Roziyah pada 21 Sep 2010

Berzikir mendidik jiwa bagi kebahagiaan dan kesejahteraan. Tanpa zikir kepada Allah, manusia dikuasai syaitan.

Hati mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan sama ada secara sedar ataupun tidak, Allah berkata, "Syaitan menguasai dan mempengaruhi mereka menyebabkan mereka lupa mengingati ajaran dan amaran Allah." (surah al-Mujadalah ayat 19).

Buku keluaran PTS Islamika Sdn. bhd, Ratib Kekasih Allah menghimpunkan wirid dan zikir yang sering diamalkan oleh para kekasih Allah yang terdiri daripada kalangan ulama dan wali Allah.

Menurut penulis buku Ratib Kekasih Allah, Ustaz Ahmad Hasan Mohd Nazam buku ini juga mampu menjadi panduan berguna kepada umat Islam sebagai pendinding dan perlindungan daripada gangguan jin dan syaitan.

"Buku Ratib Kekasih Allah ini merupakan gabungan ratib yang diamalkan oleh ulama-ulama terdahulu. Wirid dan zikir yang disediakan mampu mengisi jiwa yang kosong," jelas Ustaz Ahmad Hasan.

Beliau berkata, kehidupan masyarakat hari ini seringkali dipenuhi dengan hiburan yang melalaikan jiwa. Melalui zikir dan wirid seharian yang dibekalkan ini mampu menggantikan hiburan yang melalaikan jiwa.

Hanya dengan berzikir kepada Allah, manusia boleh mendapat perlindungan. Manusia perlu sedar, mereka adalah hamba Allah. Jika perlukan perlindungan Allah, maka awasi diri sendiri dan ingati Allah sebanyak-banyaknya. Betapa banyak musibah dan bahaya yang menunggu setiap hari, malah setiap masa kita terus membiarkan diri terdedah dengan bahaya dan dosa. Hanya dengan mengingati Allah, Dia menyelamatkan kita daripada semua mara bahaya.

Lebih menarik, buku Ratib kekasih Allah ini mengandungi terjemahan bagi menambah penghayatan, panduan dan kelebihan mengamal wirid-wirid yang dimuatkan.

Buku yang bakal berada di pasaran beberapa hari sahaja lagi ini juga turut disertakan CD audio bagi membantu pembaca mengikuti bacaan wirid pada setiap masa.

"Selain itu, terdapat juga zikir dan wirid bagi mereka yang berjihad di jalan Allah. Zikir yang disediakan mampu menyuburkan semangat jihad. Mereka yang terlibat dengan gerakan islam boleh mengamalkan doa yang disediakan ini," jelas beliau lagi.

Terbaru, beliau kini aktif menghasilkan sebuah lagi buku berbentuk munajat dan dalam proses bagi diterbitkan.

Ahmad Hasan Mohd Nazam yang dilahirkan di Parit buntar, Perak terlibat dalam bidang penulisan sejak menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir lagi.

Beliau yang sebelum ini menghasilkan lebih daripada 20 buku juga aktif dalam Persatuan Ulama Malaysia.

 

Penulis buku Ratib Kekasih Allah keluaran PTS Islamika, Ustaz Ahmad Hasan Mohd Nazam

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025