Artikel

Lebih Suka Mengadu kepada Sahabat

oleh Helmi pada 20 Jul 2005

Bercakap dengannya hanya menyebabkan saya sakit hati sahaja, sebab dia tidak memahami jiwa saya. Sebaliknya saya lebih suka bercakap dengan sahabat baik saya. Mengapakah lelaki susah hendak memahami jiwa isteri? -  Pn. Zaidah, Kangar.

Pn. Zaidah,
Jangan kecewa apabila anda tidak dapat meluahkan masalah anda kepada suami anda. Majoriti lelaki memang tidak tahu cara yang betul membantu isterinya yang sedang berasa tertekan oleh masalah peribadi.

Salah satu tingkah laku perempuan apabila mengalami masalah peribadi adalah mereka mahu berkongsi masalah itu dengan orang lain.

Perempuan mengadukan masalah peribadi mereka kepada orang lain bukan kerana hendak mencari nasihat ataupun cara-cara menyelesaikan masalah mereka. Sebaliknya, mereka mahu mencari simpati dan dukungan emosi.
Daripada kaca mata lelaki, mereka mengatakan perempuan sepatutnya menyelesaikan masalah peribadi mereka dengan melakukan apa yang dilakukan oleh lelaki. Mereka berkata begitu disebabkan lelaki tidak tahu bahawa cara-cara perempuan menangani masalah adalah sangat berbeza daripada cara-cara yang dilakukan oleh lelaki.
Cara-cara bagaimana lelaki dan perempuan mengendalikan masalah peribadi amat berbeza. Lelaki mempunyai otak penyelesai masalah. Bagi perempuan, apabila mereka menghadapi masalah peribadi, mereka perlu meluahkan masalah mereka itu. Dalam erti kata yang lain, perempuan mahu bercakap-cakap tentang tekanan yang disebabkan oleh masalah peribadi mereka.

Perempuan mahu bercakap-cakap tentang masalah mereka untuk mendapatkan dukungan emosi daripada individu lain.  Tetapi pada sangkaan lelaki, perempuan yang datang dan bercakap kepadanya tentang masalahnya itu datang bagi mendapatkan nasihat bagaimana masalahnya boleh diselesaikan.

Lalu lelaki pun memberikan nasihat kepada perempuan itu bagaimana masalah peribadinya dapat diselesaikan. Sangkaan ini salah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025