Artikel

Lee Chong Wei Pertahankan Kejuaraan Badminton All-England

oleh [email protected] pada 14 Mar 2011

Pertembungan dua jagoan badminton dunia, Dato' Lee Chong Wei dan Lin Dan dari China selalunya akan menjadi tarikan luarbiasa. Tidak kira sama ada kita semua adalah peminat badminton yang tegar, fanatik ataupun sebaliknya Malah, perhitungan semalam juga bukanlah suatu pengecualian.

Dengan rekod prestasi kerap tumbang kepada Lin Dan di kejohanan-kejohanan besar berjaya ditamatkan jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei jelas gah mempertahankan mahkota kejuaraan berprestij Seluruh England yang disandangnya, awal pagi tadi. Dalam saingan yang diibaratkan 'final impian’ di Arena Tertutup Birmingham, Chong Wei yang turun selaku pilihan pertama membuktikan kehandalan dengan menundukkan musuh tradisinya itu 21-17, 21-17 dalam tempoh 51 minit.

Kejayaan itu jelas rangsangan dan tonik terbaik kepada Chong Wei selepas sebelum ini tumpas 15 daripada 22 pertemuan kepada pemain tembok besar China itu termasuk terbaru di final kejohanan paling bernilai Terbuka Korea, Januari lalu.

Ia juga menambah koleksi kejuaraan di kabinet pemain kelahiran Pulau Pinang itu musim ini sesudah muncul juara dalam kejohanan Siri Super Final di Taiwan dan Terbuka Malaysia, Januari lalu. Lin Dan yang masih segar dengan kemenangan di Terbuka Jerman minggu lalu harus kecewa kerana impiannya untuk melakar sejarah menjadi pemain era baru pertama untuk memenangi kejohanan tertua itu lima kali berkecai.

Begitupun, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong membuatkan peminat marah dan kecewa apabila mensia-siakan peluang keemasan memenangi acara beregu lelaki apabila tumpas kepada pilihan pertama, Mathias Boe-Carsten Mogensen 15-21, 21-18, 21-18. Beregu emas menang 21-15 set pertama tapi gagal mengekalkan fokus sama dan tunduk dalam set kedua 18-21 untuk diheret ke set penentuan.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025