Artikel

Letih Dengan Ujian Hidup?

oleh Fazzira Ghazali pada 10 Apr 2020

Dunia merupakan pentas ujian. Baik amalannya, baiklah pengakhirannya. Kita semua tahu akan perkara itu, tetapi sama ada kita sanggup ataupun tidak untuk menghadapi segala bentuk ujian itu. Ujian, bukan semata-mata kesusahan yang menimpa, ujian juga ada dalam bentuk kemudahan dan kemewahan kerana mereka diuji untuk sentiasa berasa bersyukur.

Allah s.w.t. tidak akan sesekali membiarkan hambaNya masuk ke syurga secara percuma tanpa ujian yang menjadi ‘tiket’ untuk kita masuk ke dalamnya. Hal ini demikian, selari dengan firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 2-3 yang bermaksud, “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan, ‘Kami telah beriman’ sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

Jika kita merasakan seakan rebah, dan berasa sangat lelah, pandanglah ke hadapan untuk mencari hikmah yang sangat indah. Sekiranya tidak mampu, cuba untuk berehat seketika, tetapi jangan pernah mengalah dengan ujian-ujian ini. Percayalah, ujian ini menguatkan seseorang. Tanpa ujian, kita akan terus leka dengan kemewahan dunia, dan akhirnya membuang satu peluang untuk kita nikmati di syurga kelak.

Seperti yang kita tahu, segalanya harus bersandarkan pada ajaran agama Islam. Tuhan yang satu. Namun yang demikian, janganlah kita terus meletakkan harapan pada Dia semata-mata, tanpa ada satu usaha ataupun ikhtiar. Dalam surah Ar-Ra’d, ayat 11, bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu sendiri yang mengubah nasibnya.” Sudah jelas betapa pentingnya kita untuk berbuat sesuatu untuk keluar daripada kesulitan disertakan dengan pengharapan yang sangat tinggi kepadaNya.

Andai kita mahu sesuap nasi ketika berada di dunia ini sekalipun, kita tidak boleh sekadar tidur dengan harapan nasi itu akan turun dari langit. Mustahil, bukan? Kita perlulah berusaha bersungguh-sungguh dan jadikan Tuhan sebagai tempat kita bercerita mengenai ‘progress’ kita. Berdoa juga perlulah bersungguh, jangan ala kadar sahaja. Tetapkan hati bahawa Allah itu Maha Mengetahui.

Saya faham, kita semua letih tatkala diuji namun tunggulah sebentar. Dunia hanya sementara, syurga adalah tempat kita berehat selama-lamanya. Perjalanan menuju ke tempat hakiki yakni syurga itu amatlah panjang dan berliku-liku. Rasulullah s.a.w. sendiri juga mengingatkan sahabatnya akan hal ini dan jangan terus hanyut dengan ujian dunia. Baginda meninggalkan pesanan buat umatnya tentang rebut lima perkara sebelum lima perkara. Perkaranya bermula daripada masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum masa itu sempit (sibuk) dan yang terakhir, masa hidup sebelum mati.

Beberapa kes bunuh diri seakan menjadi perkara yang biasa didada akhbar. Pada tahun 2019, bunuh diri disenaraikan sebagai antara 10 penyebab kematian utama di dunia dan penyebab kedua bagi individu berumur 15 hingga 29 tahun oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Dinyatakan, antara punca kes bunuh diri adalah kerana kemurungan. Kebanyakan mangsa murung disebabkan oleh ujian dunia, lalu membuatkan mereka rebah. Desakan isu lain juga membuatkan mangsa tersepit, lalu melakukan perkara yang tidak terjangkau dek akal fikiran yang waras.

Oleh itu, saya amat mengesyorkan anda untuk mendapatkan buku tulisan Ustaz Halim Din yang bertajuk Dunia Diuji, Syurga Dinikmati sebagai santapan rohani. Di dalam buku ini tersenarai pelbagai cara untuk kita sama-sama kuat menghadapi cabaran dan dugaan daripada Ilahi. Sangat praktikal, dan bahasa yang digunakan oleh penulis sangat mudah. Sedikit sebanyak akan membantu kita semua untuk keluar daripada kancah yang gelap itu. Jadi, mari dapatkan segera buku ini di pasaran ya, mudah-mudahan kita semua akan mendapat manfaat daripadanya. Semoga dalam lindungan Tuhan, dengan izinNya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024