Artikel

Levi dan Seluar Jeansnya

oleh Helmi pada 22 Nov 2004

Levi dan Seluar Jeansnya

Idea: Kenal Pasti Permintaan Yang Belum Dipenuhi
Nama ‘Levi’ adalah antara jenama yang paling terkenal di kalangan remaja seluruh dunia. Levi berjaya kerana beliau bijak mengenal pasti peluang perniagaan yang baik. Oleh itu, sebagai seorang usahawan, saudara perlu berfikiran terbuka dan sentiasa menilai peluang-peluang perniagaan secara saksama. Gunakan pertimbangan saudara sendiri. Belum cuba, belum tahu.

Segalanya bermula daripada permintaan para pelombong emas di Sacramento. Seandainya Levi tidak mempedulikan permintaan pelombong-pelombong itu, sudah pasti beliau hanya kekal sebagai seorang peruncit kecil-kecilan.

Emas… besi kuning itu kini menjadi idaman setiap insan. Begitu juga pada kurun ke-19. Pada bulan Januari 1848, ketulan emas dijumpai di Sacramento, California. Menjelang bulan September, akhbar-akhbar melaporkan tentang ketulan emas yang banyak terdapat di kawasan itu. Apabila Presiden Polk (Presiden Amerika Syarikat pada masa itu) mengesahkan berita itu, ramai pemuda meninggalkan kampung halaman masing-masing dan mula menuju ke Sacramento.

“Kami akan pulang dengan kekayaan.” Itulah janji setiap pemuda kepada keluarga masing-masing. Malangnya, ia tidak semudah yang disangka. Mereka terpaksa bekerja keras bagi mendapatkan ketulan emas itu. Pelbagai alat bantuan di-gunakan bagi melombong termasuklah letupan! Walau bagaimanapun, mereka tidak mempunyai seluar yang sesuai bagi melakukan kerja-kerja melombong. Beberapa pelombong  merayu kepada Levi Strauss supaya menghasilkan seluar yang sesuai.

Pada masa itu, Levi Strauss adalah pengedar barang-barang keperluan harian di San Francisco. Pada mulanya, Levi cuba menghasilkan seluar dengan menggunakan khemah kanvas. Namun, hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Selepas itu, beliau mencuba pula dengan menggunakan kain kapas ‘berat’ daripada Perancis, iaitu denim. Beliau berjaya!

Levi juga  memperkenalkan satu lagi inovasi apabila beliau menggunakan kepingan besi bagi memperkuatkan bahagian tertentu pada seluar ciptaannya. Levi dan seorang tukang jahit, Jacob Davis  memfailkan paten untuk idea itu dan semenjak itu, seluar jeans menjadi semakin popular.

Jika Levi boleh berjaya dengan memenuhi permintaan yang belum dipenuhi, saudara juga mampu.

Baiklah. Kita tinggalkan dulu Levi’s dengan seluar jeansnya. Dalam cerita selanjutnya, kita beralih kepada bidang penyiasatan. Pernahkah saudara berangan-angan menjadi penyiasat? Mungkin cerita-cerita Alfred Hitchcock memberi inspirasi pada saudara? Di sebalik minat itu, tersirat peluang perniagaan yang baik.

    Keluar sebentar hendak ke pekan,
    Niat di hati nak beli joran.
    Kenalilah peluang, kenalilah permintaan,
    Itulah dia kunci kejayaan.

6
Ford: Pelopor Revolusi Pemotoran

Idea: Menggunakan Pandangan Jauh
Henry Ford mula menunjukkan bakat dalam bidang pemotoran sejak muda lagi. Pada usia 16 tahun, beliau  berhijrah ke Detroit dan bekerja di sebuah kedai mesin. Beberapa bulan kemudian, beliau mula bekerja di syarikat Detroit Dry Dock Co. di mana beliau mengendalikan enjin stim.      

Apabila usianya menjangkau 28 tahun, beliau mula bekerja di Thomas Edison’s Detroit Illuminating Company. Beliau bertugas sebagai ketua jurutera di syarikat itu. Pada masa lapang, beliau membina kereta pertamanya, iaitu Quadricycle.

Pada tahun 1899, dengan bantuan seorang hartawan bernama Willian Murphy, Ford berjaya menghasilkan kereta yang lebih sempurna. Pada tahun yang sama, Ford mengasaskan syarikat Detroit Automobile Company.

Pada 1901, kereta ciptaan Ford berjaya mengatasi automobil yang terlaju pada waktu itu. Dia membuktikan perkara itu di hadapan 8000 penonton di Grosse Pointe, Michigan. Disebabkan kejayaannya itu, Ford diberikan dana bagi menjalankan penyelidikan automotif. Dua tahun kemudian, pada tahun 1903, Ford menubuhkan syarikat automotifnya sendiri, The Ford Motor Car Company.

Menjelang tahun 1904, Ford syarikatnya berjaya menjual sebanyak 658 kenderaan. Pada mulanya, kenderaan bermotor hanya mampu dimiliki oleh golongan kaya. Namun, pada tahun 1908, Ford berjaya mencipta kereta Model T yang mampu dimiliki oleh golongan kelas pertengahan. Jualan Model T meningkat ke 720,000 pada tahun 1916.

Walaupun  berjaya menjadi seorang usahawan berjaya, Ford tidak melupakan tanggungjawab sosialnya. Beliau adalah seorang yang dermawan. Beliau  membina hospital bagi para pekerjanya di Detroit. Pada 1936 pula, beliau menubuhkan Yayasan Ford. Semenjak ditubuhkan, Yayasan Ford memberikan geran sejumlah USD8 bilion. Itulah dia Ford. Sudahlah hartawan, dermawan pula.

Berpandangan jauh adalah ciri penting usahawan berjaya. Contohnya, dalam kisah Ford di atas, Ford adalah seorang yang berpandangan jauh apabila beliau sanggup menghabiskan masa dan tenaga bagi menghasilkan kereta yang mampu dimiliki oleh golongan kelas pertengahan. Pada zamannya, kebanyakan orang berpendapat  kereta hanya mampu dimiliki oleh golongan hartawan. Tetapi, Ford  berjaya melepaskan diri dari belenggu pemikiran seperti itu dan yakin kereta akan menjadi keperluan dan bukan kemewahan. Dengan pandangan jauh itu, Ford berjaya menjadi kaya raya.

Sebelum saudara menceburkan diri dalam industri berat, saya mencadangkan supaya saudara bermula dengan perkhidmatan membaiki dahulu. Sekiranya saudara mempunyai pengetahuan dan kemahiran membaiki kenderaan bermotor, saudara dapat membuka bengkel saudara sendiri.

Ford adalah seorang usahawan yang hanya menumpukan perhatian pada industri automobil. Ini adalah salah satu cara untuk berjaya dalam perniagaan. Namun, saudara juga boleh berjaya dengan melibatkan diri dalam beberapa bidang perniagaan yang berlainan. Bagaimana caranya? Cerita yang seterusnya dapat dijadikan panduan.

    Hang Tuah pahlawan handalan,
    Di belakangnya sahabat teguh berdiri.
    Lengkapkan diri dengan wawasan,
    Supaya bahagia di kemudian hari.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024