Artikel
Raikan HAMKA Bersama PTS
oleh Hidaya Arshad pada 31 Jan 2020
Tarikh 17 Februari 1908 di bumi bertuah Indonesia, lahirnya seorang bayi lelaki yang ditakdirkan menjadi permata Islam. Haji Abdul Malik bin Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan panggilan HAMKA merupakan salah seorang tokoh tafsir Al-Quran yang berpengaruh di Rantau Nusantara. Ketokohan Hamka sebagai ahli tafsir atau mufassir adalah bertitik tolak pada aspek kemampuan beliau menghasilkan karya tafsir berjudul Tafsir Al-Azhar yang memuatkan tafsiran 30 juzuk Al-Quran dan penglibatan aktif beliau menyampaikan kuliah tafsir. Beliau mengarang Tafsir Al-Azhar dalam tempoh lebih kurang lima tahun mulai tahun 1963 sehingga 1967 termasuk ketika berada dalam tahanan pada tahun 1964 hingga 1966 (Wan Sabri, 2008).
Bersempena dengan bulan kelahiran Buya Hamka Februari ini, kami ingin mengetengahkan semua karya-karya beliau yang malar segar yang diterbitkan semula secara sah oleh PTS. Mengambil tema ‘Permata Bumi Nusantara’, beliau dilihat sesuai digelar ‘permata’ kerana ditempa dengan pelbagai cabaran hidup termasuklah dipenjarakan.
Buya Hamka yang terkenal dengan kepintaran bermain dengan bahasa di samping menafsirkan Al-Quran, beliau juga hebat menulis novel percintaan antaranya Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah, dan Merantau Ke Deli. Novel Ayahku pula merupakan sebuah memoir bapa beliau yang ditulis bagi menceritakan perjuangan bapanya dalam arena perjuangan Islam. Buya Hamka tidak secara langsung mengajar kita tentang hakikat kekayaan hidup yang sebenar di dalam novel Tuan Direktur.
Beliau yang dikurniakan nikmat kecerdikan dan kesenian hasil didikan kedua orang tuanya yang hebat, juga menghasilkan tulisan falsafah dan keagamaan yang dimuatkan dalam buku Tasawuf Moden, Lembaga Hikmat, Lembaga Hidup, Lembaga Budi, Falsafah Hidup, Peribadi, dan Sejarah Umat Islam.
Kesemua karya-karya Buya Hamka terbitan PTS ini boleh didapati di semua kedai-kedai buku seluruh Malaysia dan juga kedai dalam talian, bookcafe.com.my.
Klik pautan untuk senarai penuh karya tulisan Buya Hamka, https://pts.com.my/penulis/hamka
Selamat membaca dan teruskan berfikir (Asri, 2019)!