Artikel
Majlis Berbuka Puasa Warga PTS, Sederhana Namun Meriah
oleh [email protected] pada 14 Sep 2009
Kedatangan Ramadan diraikan saban tahun dengan pelbagai aktiviti bagi menghidupkan bulan yang penuh keberkatan ini. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Majlis berbuka puasa untuk seluruh warga PTS diadakan dalam suasana sederhana tetapi meriah.
Majlis yang berlangsung pada Jumaat lalu menghimpunkan lebih 90 kakitangan daripada Unit Editorial dan Pentadbiran PTS serta ahli keluarga telah diadakan di Kelab Darul Ehsan, Ampang Jaya, Selangor. Berbeza dengan majlis seumpama yang dianjurkan oleh syarikat dan badan korporat lain yang acapkali disulami dengan acara hiburan sepanjang majlis, Majlis berbuka puasa PTS pada kali ini mengundang Ustaz Anwar Ridhuan memberikan tazkirah ramadan selepas para hadirin selesai menunaikan solat maghrib.
PTS mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Encik N. Saha dari BS Print atas kesudian beliau menaja majlis berbuka puasa pada tahun ini. Kehadiran beliau pada majlis berkenaan bukan sahaja memeriahkan majlis malah turut mengeratkan jalinan silaturrahim antara kakitangan PTS dan syarikat percetakan BS Print. Semoga majlis yang bermanfaat seperti ini akan dapat terus dijalankan pada tahun mendatang demi mengeratkan silaturrahim antara kakitangan serta rakan niaga syarikat.