Artikel

Program Infaq Ramadan PTS Bersama Anak Yatim Rumah Titian Kaseh Penuh Makna

oleh Helmi pada 16 Sep 2009

KUALA LUMPUR: Program Infaq Ramadan PTS bersama 45 orang anak yatim daripada Rumah Titian Kaseh, Titiwangsa cukup bermakna tahun ini. Ini kerana, inilah kali pertama PTS mengadakan aktiviti membawa anak-anak yatim bagi memilih sendiri pakaian raya yang mereka suka. Program yang berlangsung pada 12 September 2009 ini bermula dari jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengahari diuruskan oleh rumah Sukan Win Win PTS. Pasaraya Mydin Jalan Masjid India menjadi tempat anak-anak yatim ini membeli belah pakaian raya mereka.

Program Infaq Ramadan PTS adalah salah satu bentuk program yang dilaksanakan sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat PTS. Objektif utamanya ialah membantu pihak yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim, orang miskin, orang kurang upaya dan lain-lain.

Bagi membantu anak-anak yatim ini memilih dan membeli pakaian raya mereka, seramai 34 orang sukarelawan turut bersama sepanjang program ini. Mereka terdiri daripada staf PTS sendiri, para penulis, penterjemah dan juga sukarelawan lain. 

Sejumlah RM6,600 wang tunai berjaya dikumpulkan bagi menjayakan program infaq ramadan ini. Sumbangan ini datangnya daripada penulis, penterjemah dan staf PTS sendiri. Ada juga beberapa dermawan luar yang turut memberi sumbangan. PTS sendiri turut memperuntukkan RM3,000 bagi membantu menjayakan program ini. 

Program ini bermula seawal jam 7.30 pagi di mana semua sukarelawan terlibat berkumpul di Rumah Titian Kaseh. Setiap sukarelawan diamanahkan menjaga 2 orang anak yatim sepanjang aktiviti membeli belah pakaian raya. Setiap anak yatim diperuntukkan bajet RM100 bagi membeli pakaian mereka. Seawal jam 8.30 pagi, rombongan ini sudah berada di hadapan Pasaraya Mydin dan dibenarkan masuk awal bagi memilih pakaian raya masing-masing. Hampir 3 jam masa diperuntukkan bagi membeli belah di pasaraya Mydin.

Pasaraya Mydin Jalan Masjid India yang menjadi tempat pilihan membeli belah pakaian raya anak-anak yatim ini kerana harganya yang murah dan ada banyak pilihan pakaian. "Program membawa anak yatim membeli belah di Pasaraya Mydin adalah program pertama seumpamanya di sini pada Ramadan kali ini. Bagi tujuan itu, kami akan memberi kebenaran kepada rombongan program ini untuk masuk awal bagi memilih pakaian. Selain itu, kami turut membuka kaunter khas bagi mempercepatkan proses bayaran. Kami juga memberi diskaun sebanyak 20 peratus ke atas semua bayaran yang dibuat. Inilah sebahagian sumbangan yang dapat kami berikan bagi menjayakan program Infaq Ramadan PTS." kata En. Pradip Kumar, pengurus pasaraya Mydin Jalan Masjid India bahagian pakaian.

Pelbagai gelagat dan karenah anak-anak yatim ini dapat kita lihat sepanjang melayan mereka memilih pakaian raya. Terpancar pada wajah mereka rasa gembira kerana dapat membeli belah pakaian raya bersama rakan-rakan lain sama seperti anak-anak lain yang ada ibubapa. Mereka turut mendapat layanan istimewa daripada para sukarelawan. Mereka berasa masih ada orang yang mengambil berat dan memberi perhatian terhadap mereka walaupun ibubapa mereka sendiri sudah tiada. Inilah sebenarnya salah satu bentuk sokongan moral yang anak-anak yatim perlukan terutamanya di saat menjelangnya Aidil Fitri.

Puan Syarifah Adlan yang terkenal dengan panggilan Mak Pah berkata, "Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada sukarelawan dari PTS kerana sudi membawa anak-anak yatim ini keluar membeli belah pakaian raya mereka. Aidil Fitri tahun lepas, tidak ada langsung sumbangan atau tajaan baju raya buat mereka. Tahun ini, sukarelawan PTS menjadi pihak pertama yang tampil memberi sumbangan dengan menaja seramai 45 orang anak yatim. Semoga usaha ini dapat menggembirakan hati mereka kerana dapat berhari raya dengan baju baru tahun ini."

Rumah sukan Win Win PTS mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan Program Infaq Ramadan PTS bersama Rumah Titian Kaseh. Semoga usaha semua pihak ini mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025