Artikel
Majlis hi-tea penulis tempatan rapatkan hubungan penulis
oleh Helmi pada 17 Aug 2004
Baru-baru ini pada 15/8/2004 bertempat di Bookers Room di MPH Bookstores, One Utama Megamall, satu jamuan ringkas diadakan untuk penulis-penulis tempatan.
Majlis tersebut adalah anjuran rangkaian kedai buku MPH Bookstores Sdn Bhd (MPH) dan diadakan sempena bulan penulis tempatan 2004. Seramai tidak kurang daripada 40 orang penulis-penulis tempatan yang buku-buku mereka dijual oleh MPH telah dijemput seperti Dato’ Ismail Nor (Work With Me), Hishamuddin Rais, Chong Sheau Chin (Stories for My Mother), Lilian Too (Basic Feng Shui) dan ramai lagi
PTS diwakili oleh pegawai Unit Promosi & Publisiti bersama beberapa orang penulis muda PTS yang prolifik seperti saudara Ahmad Fadzli Yusof (Mengurus Kerja dan Waktu), saudara Ahmad Naim Jaafar (Membina Karisma) serta saudara Ashadi Zain (Idea-idea Bisnes Untuk Usahawan).
Menurut eksekutif pemasaran MPH, Cik Emma Abbas, majlis ini bertujuan merapatkan hubungan dikalangan penulis tempatan dan bertukar-tukar pandangan. Mereka juga berpeluang mendapatkan khidmat nasihat bagaimana menulis dan menghasilkan manuskrip yang baik dari penulis-penulis yang berpengalaman.
Menurut Emma juga, majlis pada kali ini adalah yang kedua dan terbesar pernah dianjurkan oleh MPH. Pada tahun lepas mereka hanya menjemput tidak sampai 10 orang sahaja. Memandangkan jumlah penulis tempatan semakin bertambah, MPH bercadang untuk menjadikan majlis ini setiap tahun dengan jumlah jemputan yang lebih ramai.
Majlis yang bermula jam 2.30 petang itu berlangsung selama hampir 3 jam. Diakhir majlis setiap penulis diberi peluang bercakap kepada hadirin. Ada penulis yang bercerita pengalaman pertama menulis, ada yang memberi nasihat kepada mereka yang ingin berkarya dan ada juga yang mengadu perihal buku mereka tidak mendapat publisiti dan diletakkan ditempat tersorok di rak buku MPH. Mereka mencadangkan agar menerbitkan buku dengan penerbit antarabangsa seperti penerbit John Wiley, Thompson dan lain-lain supaya buku mereka di iktiraf diperingkat antarbangsa atau setidak-tidaknya seseorang penulis itu perlu menjadi terkenal terlebih dahulu bagi melariskan jualan buku mereka. Namun, bagi kebanyakan hadirin, mereka menulis bukanlah bagi mendapatkan sumber pendapatan yang lumayan tetapi sebagai satu medium untuk menyebarkan ilmu dan pandangan atau idealisme mereka kepada orang ramai.
Walau bagaimana pun, rata-rata penulis yang hadir melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada MPH kerana menganjurkan majlis seumpama itu. Mereka berpeluang bertukar-tukar pandangan dan berkongsi idea untuk memperbaiki atau menghasilkan karya berikutnya. Mereka juga mencadangkan agar majlis seumpama ini diadakan setiap tahun dengan dijemput lebih ramai lagi penulis tempatan.
Dikalangan hadirin, penulis PTS menjadi tumpuan kerana mereka sahaja yang komited menghasilkan buku-buku dalam bahasa Melayu dan tidak bermasalah dengan penerbitan serta jualan buku-buku mereka dalam usia yang muda berbanding dengan penulis-penulis lain.