Artikel

Segelintir orang kita belum merdeka dari segi bahasa

oleh Helmi pada 17 Aug 2004

 SEJAK akhir-akhir ini kita selalu dimomokkan dengan isu atau kenyataan seperti: ‘bahasa Inggeris penting’, ‘kita perlu menguasai bahasa Inggeris’, ‘bahasa Inggeris bahasa antarabangsa’, ‘China, Jepun, Taiwan dan lain-lain juga mempelajari bahasa Inggeris’.

Selanjutnya ada kalangan yang menekankan kita perlukan bahasa Inggeris untuk berniaga pada peringkat antarabangsa, bahasa tambahan perlu dan penting dikuasai, dan tidak semua orang luar tahu bahasa Melayu dan pelbagai isu lagi yang berkaitan.

Apa yang sebenarnya dipertikaikan bukanlah isu itu, tetapi bagaimanakah sebenarnya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini dimartabatkan?

Adakah benar-benar dimartabatkan seperti yang selalu diucapkan oleh banyak pihak termasuk pemimpin? Misalnya, apa perlunya urusan dalam negara dan hanya membabitkan orang negara ini menggunakan bahasa Inggeris?

Seorang tukang sapu di kota London dan pencuci tandas di New York juga cekap berbahasa Inggeris, tetapi dapatkah bahasa Inggerisnya menukar taraf pemikiran intelektualnya?

Saya mengambil contoh ini kerana ada pihak yang menyindir pensyarah atau profesor kita yang tidak cekap berbahasa Inggeris seperti tukang sapu itu agaknya!

Tarikh 31 Ogos hanya beberapa hari saja lagi, tetapi nampaknya pemikiran segelintir orang kita, jutawan dan pemimpin masih belum ‘merdeka’ sepenuhnya! Bilakah ‘pemikiran’ kita akan merdeka sepenuhnya? Bahasa jiwa bangsa. Pupus bahasa pupuslah bangsa!

ANAK MELAYU, Kuala Lumpur.

——-

Artikel penuh boleh didapati dari 

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/Rencana/20040817065413/Article/


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025