Artikel

Manusia dan Kerja Berpasukan

oleh Helmi pada 16 Jul 2004

Manusia dan Kerja Berpasukan

Suatu Malam yang Menggusarkan
Saya masih ingat malam itu. Malam pengiraan undi pilihan raya kampus. Dewan kompleks sukan universiti sangat meriah dengan penyokong-penyokong calon dan jentera pilihan raya. Para kakitangan universiti pula sedang sibuk menjalankan proses pengiraan undi. Walaupun hanya pilihan raya kampus, tetapi suasana yang ada memang meriah, getus hati saya.

Aikk, ke mana pergi melamun itu Yang Berhormat Fadzli?, sapa Hisham, orang kuat jentera pilihan raya. Dialah yang banyak menguruskan strategi-strategi kempen.

Entahlah, malam ini rasa lain macam sahaja. Dulu masa kempen tidak pula rasa macam ini, respon saya pendek.

Apa dia? tanya Hisham. Takut kalah? Jangan risaulah, undi engkau sudah selamat. Mesti menang punya.

Sebab mesti menanglah aku rasa lain macam. Rasa macam besar tanggungjawab yang bakal aku tanggung. MPP persatuan besar, Syam. Banyak tanggungjawab. Apalagi kalau mereka mahu aku jadi Presiden, lagi besar penderitaan aku,jelas saya. Hisham tidak terus menyambung. Aidil, teman sebilik yang sedang duduk di sebelah hanya mendengar sahaja daritadi. Manakala Dasuki, seorang lagi calon pilihan raya sedang memandang pancang papan keputusan.

Saya menghela nafas panjang. Rasa menyesal pula terima lamaran untuk bertanding. Kalau saya tolak dahulu, tidak perlu fikirkan semua ini. Hidup dalam dunia sendiri.
Malam itu saya terasa semakin perit. Setiap kali bilangan undi saya bertambah, semakin perit terasa tekanan dalam dada.

Macam gunung-gunung datang menghempap dada. Sesak. Rasa seperti mahu menangis. Nasib baik saya boleh kawal, kalau tidak mesti malu calon pilihan raya menangis di depan khalayak.

Aku rasa aku faham apa yang engkau rasa Ahmad, tibatiba Aidil menyampuk. Dari tadi lagi dia memerhatikan saya.

Iyelah, selepas ini kalau engkau menjadi Presiden, mesti banyak tugasan dan tekanan yang kau terpaksa tanggung; tetapi aku ada satu formula untuk engkau, sambung Aidil.

Apa dia?, saya bertanya. Aidil tidak pula terus menjawab. Dia senyum memandang aku. Hisham dan Dasuki pula tekun mendengar sama.

Team work!, jawab Aidil ringkas. Dia mengangkat kening dan tersenyum.

Itu biasa orang sebut. Tetapi macam mana? tanya saya. Semua orang cakap kerja pasukan, tetapi akhirnya Presiden yang masuk longkang respons saya pesimistik.

Orang selalu cakap, tetapi tidak ramai yang betul-betul tahu resipinya. Kalau engkau tahu cara yang betul bekerja secara berpasukan, mesti engkau tidak puas menjadi Presiden, tambah Hisham.
Macam Saddam Hussain, tiba-tiba Dasuki menyampuk. Kami sama-sama tertawa kecil.

Entahlah. Harap-harap kita boleh dapat resipinya itu, ujar saya.

Baiklah, macam ini. Kau terima dahulu jawatan itu. Selepas itu, kita menikmati apa itu kerja pasukan bersama-sama. Setuju? Hisham pula menambah. Macam suatu tawaran untuk perniagaan besar pula rasanya. Kemudian kami sama-sama memandang ke arah pusat pengiraan.

Dada saya menjadi tenang sedikit. Mata kami berempat bercahaya. Macam tidak sabar-sabar lagi menikmati kerja berpasukan….

*******
Beberapa hari selepas itu Kabinet MPP berjaya dibentuk. Saya dilantik sebagai Presiden dan Dasuki pula sebagai Setiausaha Agung. Ada tiga puluh lima exco semuanya dalam kabinet itu. Bahkan ada dari Saudi, Afghanistan, Nigeria, Thailand dan India. Manakala Hisham dilantik sebagai Setiausaha Akhbar, dan Aidil sebagai Setiausaha Kerja.

Selama setahun kami bekerja bersama, seperti sebuah pasukan yang baik. Bahkan daripada pengalaman itulah, saya benar-benar dapat menghayati apakah itu kerja berpasukan. Bagaimana untuk bekerja dengan orang lain. Sebelum ini memang sering mendengar dan mengungkapkannya, tetapi tidak pernah dapat merasai apakah itu kerja berpasukan.

Buku ini membincangkan resipi yang saya kuti p daripada pengalaman lalu. Ia bukanlah suatu yang wajib, kerana saudara mungkin mempunyai cara yang lebih baik. Apa yang saya harapkan ialah, buku ini dapat memberikan sedikit sebanyak
idea dan gambaran mengenai apakah itu kerja berpasukan.

Saya juga mengutip beberapa teori dan pandangan pakar-pakar pengurusan pasukan untuk dikongsi bersama.

Ia adalah Kemahiran untuk Hidup
Saya mendapati kemahiran kerja berpasukan ini bukan sahaja untuk organisasi, semata-mata, tetapi ia juga berguna sebagai kemahiran untuk hidup saudara. Saban hari kita bertemu dan bekerja dengan orang lain. Di pejabat, di rumah, di sekolah, di masjid, di kawasan kejiranan, dan semua tempat. Jika tidak semua pun, sebahagian besar resipi-resi pi kerja berpasukan ini turut membantu saudara. Ia adalah kemahiran bekerja dengan orang lain.

Saya sering melihat ada orang yang lulus cemerlang dalam peperiksaan, tetapi tidak dapat menunjukkan prestasi dalam kerja-kerja mencabar. Bahkan ada yang hampir kecundang. Kenapa? Kerana mereka tidak mahir bekerja dengan orang lain. Antara kelemahan-kelemahan mereka ialah:
1. Mereka tidak peka kepada jenis-jenis manusia yang mereka berurusan.
2. Tidak dapat berkomunikasi dengan baik.
3. Tiada daya kepemimpinan.
4. Tiada kuasa mendorong dan memotivasikan.
5. Tidak pandai mengagihkan tugasan.
6. Cemas dalam mengendalikan konflik.
7. Tidak tahu menghargai teman.
8. Tidak atau kurang pandai mengendalikan perbincangan dan mesyuarat.
9. Tidak kreatif dalam perancangan.
10. Tidak tahu untuk mendapatkan persetujuan bersama.

Oleh itu, buku ini serba sedikit memberikan saudara panduan bagi mengatasi kelemahan-kelemahan seperti di atas. Saya tidak menjanjikan suatu yang drastik, kerana hanya saudara yang berkuasa merubah diri saudara. Allah ada menyebut dalam al-Quran, Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum, sehingga kaum itu yang mengubah nasibnya sendiri.

Saya mengambil masa setahun bagi mendapatkan resipi ini. Sebaliknya, saudara hanya perlu menghabiskan beberapa hari sahaja untuk membacanya. Mudah bukan? Kalau begitu, apa lagi alasan saudara untuk menolaknya? Selamat membaca untuk
saudara semua.

Apakah itu Kerja Berpasukan?
Ia adalah salah satu bentuk dan cara kerja yang semakin popular mutakhir ini. Kadangkala ia disalahtafsirkan. Kadang-kadang ada majikan yang membentuk kumpulan-kumpulan, tetapi belum tentu mereka bekerja secara berpasukan. Masing-masing melakukan kerja sendiri-sendiri. Mereka tidak juga bekerja sebagai pasukan. Ada juga persatuan yang membentuk biro-biro sebagai suatu kelompok pasukan, tetapi akhirnya biro-biro ini merosakkan matlamat persatuan, bukan mencapainya.

Antara perkara penting dalam kerja berpasukan adalah pengagihan tugas dan pemerkasaan yang mana setiap ahli pasukan mempunyai sasaran yang tinggi bagi melaksanakan sesuatu matlamat. Setiap ahli pasukan diberikan autoriti yang tinggi untuk membuat keputusan rutin tanpa perlu merujuk kepada pihak atasan setiap masa. Setiap ahli mempunyai kekuatan yang tersendiri dan mereka saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Ini adalah salah satu aplikasi konsep takaful yang pernah di perkenalkan oleh As Syahid Hassan al-Banna yang mana seorang anggota kumpulan usrah melengkapi seorang yang lain.

Sebuah pasukan juga bekerja secara kolektif, dengan suasana kerjasama yang bebas. Mereka tidak dikongkong, sebaliknya mempunyai sejumlah autoriti dan kuasa yang mencukupi untuk bekerja dengan selesa. Mereka juga berkomunikasi secara terbuka dan jelas dan komunikasi seperti ini menjadi salah satu tabiat kerja yang penting.

Pengurus dan Pasukan Bola
Saudara pasti pernah menonton perlawanan bola sepak bukan? Jika saudara seorang peminat bola sepak, sudah tentu saudara pernah mendengar nama-nama pengurus bola yang hebat seperti Alex Ferguson dari Manchester United atau Allen Harris, pengurus pasukan Malaysia. Pengurus dan pasukan bola berkongsi matlamat yang sama; iaitu menjuarai suatu kejohanan. Pengurus menyusun, merancang, mengatur dan membina pasukan yang terbaik demi mencapai matlamat itu. Pemainpemain bola diberikan autoriti bagaimana untuk bermain. Contohnya Nistelrooy, apabila bola tiba di kakinya, dia dapat membuat keputusan sendiri, kerana dia sudah pun diberi
autoriti membuat keputusan. Fokusnya adalah memenangi perlawanan. Dia tidak perlu bertanyakan Ferguson apakah yang mesti dia buat.

Dalam pasukan bola, masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri. Ada yang boleh berlari dengan pantas, ada yang boleh menggelecek bola dengan baik, ada yang dapat membuat sepakan penyudah yang tepat, dan pelbagai lagi kepakaran masing-masing. Kelebihan ini melengkapi antara satu sama lain bagi mencapai matlamat memenangi perlawanan bola itu.

Setiap pemain bola juga perlu ada kaedah komunikasi yang berkesan. Mereka mesti mampu berhubung dengan baik, terutamanya bagi menyelaraskan strategi permainan. Kadang-kadang, strateginya adalah menyerang, dan kadang-kadang bertahan. Mereka juga perlu berkomunikasi untuk memberi, menghantar, dan menerima bola. Jika komunikasi tidak cekap dan berkesan, sudah tentu strategi tidak dapat dilaksanakan, dan matlamat kemenangan hanya akan tinggal angan-angan sahaja.

Maradona, Zico, Pele, Platini, dan Zidane adalah contoh pemain bola yang hebat. Namun pasukan mereka tidak boleh menang hanya bergantung harap kepada kemenangan seorang pemain sahaja. Mereka mesti bermain secara berpasukan. Mereka juga mesti tahu bermain secara berpasukan.

Jenis-jenis Pasukan
Terdapat banyak jenis pasukan yang dibentuk mengikut keperluan dan keadaan sesuatu organisasi. Namun secara kasarnya, terdapat beberapa fungsi dan jenis pasukan yang biasa dibentuk, antaranya:

1. Bagi memberikan nasihat dan pemerhatian terhadap suatu perkara yang hendak diberi perhatian oleh sesebuah organisasi.

2. Bagi mengendalikan permasalahan sementara yang dihadapi oleh sesebuah induk. Selalunya, masalah itu adalah masalah yang luar biasa yang jarang dihadapi oleh induk tersebut.

3. Bagi melaksanakan projek khusus, seperti Jawatankuasa Persediaan Kenduri dan sebagainya. Ia wujud mengikut keperluan, dan berakhir selepas objektif sudah tercapai.

4. Bagi memerhati dan membuat pemantauan. Contohnya pasukan pengawal kualiti yang memantau operasi dan hasil sesebuah kilang boleh dianggap sebagai sebuah pasukan yang bekerja.

5. Bagi menghasilkan suatu produk. Pasukan ini bekerja bersama untuk menghasilkan suatu produk yang diperlukan.

Namun begitu saudara juga boleh menganggap masyarakat di sekeliling saudara sebagai sebuah pasukan yang besar. Bekerja dengan orang di sekeliling juga memerlukan semangat kerja berpasukan, walaupun tidaklah seketat dalam sebuah pasukan yang formal.

Kelebihan dan Faedah Kerja Berpasukan
Terdapat banyak kelebihan dan faedah daripada kerja berpasukan ini. Selain daripada mengurangkan beban pihak atasan, ia juga dapat meningkatkan daya produktiviti dalam sesebuah organisasi. Katzenbach dan Smith, pakar pengurusan; menyatakan organisasi yang berprestasi tinggi bergantung kepada pembentukan pasukan yang kuat, dan bekerja separaautonomi. Kumpulan seperti ini membawa kepada amalan yang sihat kepada budaya kerja organisasi tersebut.

Antara faedah yang jelas yang diperoleh dalam kerja berpasukan adalah:

1. Bekerjasama: Kerja berpasukan ialah kerja bersama atau lebih dikenali sebagai kerjasama. Masing-masing saling bantu membantu. Ini bertepatan dengan budaya masyarakat Melayu, tetapi masih agak asing dalam amalan pengurusan Melayu. Kita ada pepatah yang popular; Yang berat sama di pikul, yang ringan sama dijinjing dan sepatutnya pikulan dan jinjingan itu diadaptasikan ke dalam budaya kerja berpasukan.

2. Keputusan dan penyelesaian: Kerja berpasukan dapat mengurangkan beban membuat keputusan dan penyelesaian. Jika saudara seorang majikan, saudara dapat mengurangkan jumlah keputusan yang terpaksa saudara buat, dengan memberikan sebahagian autoriti itu kepada pasukan bawahan saudara. Jika saudara seorang ahli pasukan, saudara juga dapat mengurangkan beban membuat keputusan; kerana dalam kerja berpasukan, keputusan dibuat secara persepakatan, bukan individu.

3. Sumber manusia yang lebih produktif: Dengan kerja secara berpasukan, organisasi seolah-olah mendapat kekuatan yang baru. Pertama, semangat, fokus, dan produktiviti ahli meningkat. Mereka tidak berasa keseorangan dan rasa kebersamaan. Selain daripada itu, pasukan itu sendiri menjadi satu sumber manusia yang tersendiri. Pasukan boleh dianggap sebagai suatu entiti yang mempunyai kelebihan dan produktiviti sendiri. Contohnya, tugasan membuat keputusan dan penyelesaian masalah yang kompleks tidak boleh dikendalikan oleh seorang ahli, tetapi ia boleh disempurnakan oleh sebuah pasukan. Begitu juga dengan tugas-tugas yang lain. Dalam keadaan sebegini, memiliki pasukan itu sendiri seolah-olah memiliki satu lagi sumber manusia yang berkebolehan, cekap dan berkesan.

4. Komitmen: Dengan membina pasukan yang baik, bermakna saudara juga membina komitmen yang baik. Jika saudara berada dalam sebuah pasukan yang bersemangat dan cekap, sudah pasti saudara juga cekap dan bersemangat; begitu juga sebaliknya. Oleh itu, menjadi tugas induk membina sebuah pasukan yang mempunyai ciri-ciri yang terbaik, yang bersesuaian dengan tugas dan matlamat yang hendak dicapai.

5. Komunikasi: Dalam sesebuah pasukan, komunikasi adalah penting. Seseorang ketua pasukan mestilah sentiasa berusaha mewujudkan sistem dan budaya komunikasi yang tulus dan terbuka. Dia juga mesti memberi pendorong kepada mereka yang memendam akan lebih meluahkan apa yang terbuku. Ahli-ahli pasukan perlu sentiasa memastikan rakan-rakan sepasukan dapat menyampaikan maklumat dan mesej yang diperlukan. Dengan itu, organisasi tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan pandangan dan respons daripada pasukan berbanding dengan individu.

6. Kualiti: Ini adalah satu lagi produk kerja berpasukan iaitu kualiti. Saudara harus faham, pasukan terdiri daripada pelbagai individu yang mempunyai pelbagai latar belakang dan kemahiran. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Dengan bekerja dalam satu pasukan, kekuatan ini akan bergabung dan mengeluarkan hasil yang cukup menakjubkan. Ia seperti batu-bata yang kecil; apabila ia bergabung, boleh membina sebuah tembok yang tinggi dan kukuh!

7. Semangat dan motivasi: Apabila kita bekerja bersama-sama dengan rakan yang lain, saudara akan berasa lebih bersemangat dan berdaya tahan. Apabila saudara melihat kesukaran dan kesusahan yang turut dihadapi oleh rakan sepasukan, semangat saudara kembali bersinar dan saudara berterusan menghadapi masalah dengan yakin. Contohnya seperti kisah para sahabat Nabi Muhammad dalam peperangan, bagaimana mereka mempunyai semangat dan daya juang yang tinggi, apatah lagi apabila melihat para pejuang yang lain syahid di hujung pedang. Inilah antara yang menjadi pendorong kepada kekuatan tentera Islam dalam sejarahnya yang gemilang.

8. Mengurangkan tenaga serta kakitangan: Apabila produktiviti meningkat, maka dengan sendiri tenaga kakitangan dapat dioptimumkan. Hasilnya, organisasi akan dapat mengurangkan kos, dan menumpukan kepada proses pembangunan dan pengembangan organisasi untuk melangkah lebih jauh.

9. Kepuasan bekerja: Bekerja secara berseorangan boleh mengakibatkan kebosanan dan jemu. Dengan menghayati kerja berpasukan dengan baik, saudara akan berasa lebih puas dan gembira menjalankan tugas.

Aktiviti
Cuba bayangkan beberapa aktiviti di bawah. Bolehkah saudara mendapatkan hasil dan kepuasan yang diingini tanpa kerja berpasukan?
1. Menyiapkan kertas kerja sekolah.
2. Membersihkan persekitaran masjid.
3. Lawatan sambil belajar ke Brunei.
4. Bermain bola sepak, bola keranjang, atau bola tampar.

Kesimpulan
Kerja berpasukan adalah salah satu daripada bentuk kerja baru ang lebih cekap, produktif dan berkesan. Terdapat beberapa ujuan dan fungsi yang dapat dicapai dengan menubuhkan asukan bagi melaksanakan sesuatu tugasan. Setiap ahli dalam asukan mempunyai tugas kerja dan peranan yang berbeza dan nilah yang membentuk pasukan menjadi suatu entiti sumber manusia yang berdaya saing, produktif, serba boleh dan bertenaga.

Kerja berpasukan sudah diamalkan sejak dahulu. Sama ada mereka menamakan kerja berpasukan ataupun tidak, namun tradisi ini wujud secara semula jadi. Ia adalah fitrah semula jadi manusia. Ingin berteman, ingin membantu dan dibantu. Manusia juga inginkan hasil yang terbaik. Manusia juga mempunyai kemampuan yang terhad. Dan banyak lagi fitrah manusia yang memerlukan kerja berpasukan untuk kecemerlangan.

Oleh yang demikian, saudara tidak boleh lari daripada kerja berpasukan ini. Jangan pula ada niat untuk tidak mempelajarinya, kerana suatu masa kelak pasti saudara bekerja bersama orang lain. Mungkin esok, lusa, minggu depan, bulan depan, tahun depan, atau bila-bila masa sahaja. Jadi, saudara masih belum terlambat untuk belajar kemahiran ini. Teruskan membaca bab-bab di dalam buku ini, dan bersedialah bekerja dengan orang lain! Kemahiran kerja berpasukan menjadi keperluan semua orang

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024