Artikel

Menjauhi Kemewahan Hidup yang Melampau.

oleh Helmi pada 16 Jul 2004

Temuramah Dr Danial Zainal Abidin Di Radio Malaysia Pulau Pinang pada 9 Julai 2004.


Assalamualaikum Wbt. tuan-tuan dan puan-puan, para peminat RMPP yang dimuliakan. Seperti yang disebut tadi, tajuk yang akan kita bicarakan pada petang ini ialah Menjauhi Kemewahan Hidup Yang Melampau dan tajuk ini ada perkaitannya dengan pendidikkan anak-anak yang telah kita bicarakan 2 minggu yang lepas. Asas kepada perbincangan tajuk ini satu riwayat yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan disebutkan disitu Khalifah Omar Al-Khattab ra pernah diera pemerintahannya menulis sepucuk surat kepada umat islam dibumi Parsi dizamannya. Antara isi surat itu ialah ” Hendaklah kamu menjauhi kemewahan yang melampau dan hendaklah juga kamu menjauhi memakai pakaian melampau yang menyerupai golongan yang menyengutukan Allah “.

Bila kita mengamati perintah Khalifah ini, perintah pemimpin nombor 1 empayar islam ketika itu, kita dapati begitu banyak rahsia yang boleh kita ambil dari perintah ini. Pertamanya Omar Al-Khattab tidak mahu umat islam apatah lagi anak-anak orang islam hanyut dalam kemewahan kerana kemewahan jika melekakan kita ia merupakan kemewahan yang tidak menguntungkan akhirat. Sebagai contoh kita terlampau mewah dengan pakaian yang cantik-cantik. Akhirnya berlaku pembaziran, menyebabkan orang-orang miskin mencemburui, membenci orang kaya dan melekakan kita tentang kecantikkan yang sebenarnya iaitu kecantikkan hati. Justeru Omar berpesan dengan pesanan ini.

Kita lihat kerelevanannya pada hari ini, sebagai contoh bila anak-anak kita masih bersekolah sepatutnya tumpuan diberikan untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan yang baik. Tumpuan sepatutnya diberikan untuk menimba ilmu, untuk menghadiri kursus-kursus ataupun seminar-seminar yang berfaedah. Tetapi bayangkan andaikata yang kita berikan kepada anak-anak kita bukan buku-buku yang berbagai, bukan sangat diberikan wang untuk anak kita menghadiri kursus-kursus dan seminar-seminar yang baik apatah lagi yang berunsurkan islam, tetapi kita berikan wang untuk membeli rokok, membeli vcd hiburan semata mata, membeli motosikal mewah, kenderaan mewah. Semua ini menyebabkan anak-anak kita menjadi leka. Bila ada kenderaan mewah, motosikal yang mahal harganya, sudah pasti hendak digunakan untuk pergi kesana kemari. Akhirnya masa terbuang. Bila ini berlaku, pendidikkan yang sepatutnya menjadi tumpuan dan fokus tidak terhasil. Natijahnya bangsa dan umat menjadi lemah dan jahil.

Lantas perintah Khalifah ini begitu relevan. Bukan saja diear dahulu tetapi juga pada hari ini. Lantas kita menyebutkan semula tulisan ataupun peringatan omar ini agar kita jangan terpedaya sangat denga kemewahan dunia. Kita perlu fokus pada keutamaan terutamanya dalam konteks anak-anak. Apa yang utama bagi mereka. Yang utama ialah agama, ilmu serta pendidikkan, akhlak dan pekerti. Maka kemewahan yang Allah berikan kepada kita alhamdulillah kita terima tetapi yang penting, salurkan untuk mencapai apa yang kita sebutkan tadi. Itulah yang akan kita fokuskan.

DJ - Jadi maksud Dr. kesenangan ini tidak penting dalam islam, begitu?

DD-  Kesenangan ini penting tetapi kesenangan penting ini perlu ada syaratnya. Syarat pertama ialah kesenangan serta kemewahan perlulah datang dari sumber yang halal. Soalan Tuan Hj Yaakob begitu relevan sebab nanti ada orang mengatakan kita tak perlukan kesenangan, tidak perlu menghimpun wang dengan banyak, tidak perlukan kemewahan. Bukan itu maksudnya kerana bila kita perhatikan islam, ada riwayat-riwayat yang sohih yang menampakkan memang umat islam dituntut mencari harta benda, dituntut mencari kekayaan. Saya teringat satu riwayat yang berkaitan dengan Lokman Al-Hakim. Ketika anak lelaki bertanya kepada Lokman tentang bagaimana kita hendak berjaya dunia sampai akhirat. Apakah caranya yang boleh kita lakukan untuk kita tidak terpedaya dari iblis dan syaitan. Maka berkata Lokman ” Pertama wahai anakku ialah kemantapan agama. Keduanya ialah harta yang halal “. Lantas dari jawapan Lokman menampakkan kepada kita harta itu tidak boleh dipisahkan tetapi agama diatas agar ia menyuluhi dan kemudia selepas harta yang halal kita milikki, kita kaya, senang kita salurkan kearah pendidikkan anak-anak yang akan mencapai hasanah didunia dan juga diakhirat.

DJ - Dr bolehkan pada hari ini kita menafaatkan teknologi untuk anak-anak kita.

DD - Ya teknologi boleh kita kata sebahagian daripada kemewahan pada hari ini. Tetapi ada kalanya teknologi ini penting. Malah kita kaitkan dengan firman Allah yang bermaksud ” Hendaklah kamu bersiap sedia dengan pelbagai kekuatan yang boleh kamu gunakan untuk menghadapi musuh-musuhmu “. Ayat ini begitu umum dan ia menunjukkan kepada kita bahawa kekuatan yang diperlukan dalam ayat ini ialah kekuatan yang termasuk sebahagiannya ialah teknologi. Teknologi dizaman Nabi dengan zaman kita sekarang berbeza. Sebab itu Allah tidak sebut secara specific apa bentuk teknologinya. tetapi Allah menggunakan kalimat umum iaitu Quwwah yang ditafsirkan oleh ulama tafsir sebagai kekuatan teknologi yang pelbagai mengikut zaman masing-masing.

Lantas teknologi adalah penting. Tetapi teknologi mestilah digunakan untuk mendidik anak-anak, kalau kita menjurus kepada anak-anak sekarang. Sebagai contoh kita menggunakan internet. Ia satu teknologi tetapi digunakan internet, dilayarinya internet untuk mendapatkan ilmu-ilmu dalam perbagai bidang yang tidak mungkin kita perolehi mungkin dalam buku-buku sekolah. Tambahan ilmu ada diinternet. Itu kita gunakan teknologi. Ataupun kadangkala anak-anak kecil kita ada ketika-ketika tertentu kita kesibukkan, kita boleh menafaatkan vcd, sebagai contoh vcd tentang Al-Quran, tentang bacaan Al-Quran, lagu-lagu nasyid, agama. Maka ketika itu kita tidak disamping mereka tetapi mereka masih lagi mendapat pendidikkan melalui teknologi

Maka tidak boleh kita pisahkan daripada pendidikkan. Tetapi ketika kita bercakap demikian kita perlu berikan peringatan. Ada kalanya teknologi menghancurkan pendidikkan. Ada kalanya internet menghancurkan akhlak. Ada kalanya tv, vcd, dvd dan seumpamanya. Maka berkata Dr yusof Qardawi dalam fatwa Muasirat ketika orang bertanya tentang teknologi lebih khusus tentang televisyen sebagai contohnya. Beliau berkata ia adalah seperti pisau. Satu jawapan yang cantik, kiasan yang cantik. Pisau ini digunakan untuk memotong ikan, daging maka bermanafaat. tetapi sebaliknya jika digunakan untuk membunuh orang ia merugikan maka kita yang tentukan. Baiklah kita tentukan supaya ia selaras dengan agama insyaallah.

Soalan pendengar :  Saya nak minta pendapat Dr. mengenai tajuk hari ini. Saya mempunyai seorang kakak sepupu. Dahulu perniagaannya tidak berapa maju tetapi sekarang sudah maju. Tapi semasa tidak berapa maju saya rasa kehidupannya lebih bahagia sebab dia mempunyai masa untuk keluarga, kenduri kendara, adik beradik, nak sedekah kepada fakir miskin semuanya diambil berat. Sejak dia maju semuanya tidak ada masa. Nak jumpa keluarga tidak boleh. Kalau orang nak ziarah kena buat appoinment dahulu. Nak sedekah pada fakir miskin pun tak ada.

Saya merasai kehidupannya seperti ini membuat saya merasa sedih. saya cuba nasihat berpandukan kata ayah saya iaitu harta yang banyak itu milik Allah, kita diamanah menjaga sahaja. Bantulah saudara kita dengan rela. Saya dah nasihat tapi sehingga sekarang dia tidak berubah

DD- Kadangkala harta juga seperti pisau. menyalah gunakannya ia akan menikam kita, memudaratkan kita.Tetapi jika harta benda, kekayaan serta kemewahan, kita gunakan untuk kebaikkan, masyaallah. Ia bekalan untuk dunia serta akhirat. justeru kita dapati sebahagian daripada sahabat-sahabat nabi merupakan orang-orang kaya. Jika hari ini kita nak gelarkan mereka, kita gelarkan sebagai jutawan ketika itu sebagai contoh Abd Rahman bin Auf peniaga terkenal dipasar Madinah. Contoh yang kedua saad bin Abi Waqas ra dan ramai lagi. Mereka adalah orang-orang kaya. Sebab itu bila kita mengkaji sejarah Nabi, kita dapati perjuangan Nabi dibantu oleh beberapa golongan insan. Antara golongannya ialah golongan hartawan, sebagai contoh ketika berlaku perang Tabuk, perjalanannya agak jauh. Maka orang-orang ini datang sebagai contoh sahabat Osman bin Affan mengatakan aku berikan unta-untaku sebagai kenderaan untuk pergi keTabuk. Ini sumbangan orang kaya. Maka sumbangan itu diterima Nabi dengan kegembiraan.

Lantas kekayaan perlu untuk kebaikkan agama. Bila puan tadi menyebutkan tentang kekayaan yang akhirnya melekakan, ini satu bentuk kekayaan yang negatif. Buka semua orang begitu. Justeru puan telah berikan nasihat alhamdulillah. Jangan berputus asa sebab kita ini hanya menyampaikan. Kita tidak diamanahkan Allah untuk memberi hidayah. Yang memberi hidayah cuma Allah semata mata. Disamping memberikan nasihat jangan lupa untuk mencantikkan hubungan sebab kadangkala jika kita hanya menegur orang kurang suka. Ada caranya, sebab itu cara menegur ini jangan terpisah daripada pergaulan yang baik agar orang itu tidak menjauhkan diri dari kita dan jangan lupa untuk berdoa.

Pada pengamatan kerdil saya ini, semua kita, Allah berikan masa 24 jam sehari semalam. Masa itu sama. Yang membezakan seorang dengan seorang yang lain ialah bagaimana ia mengurus masa itu. jika kita tidak memberikan masa untuk membaca Al-Quran, kita tidak ada masa untuk itu. kita berikan masa untuk bangun tengah malam untuk melihat Portugal lawan Greece Euro 2004. Peringkat final saya difahamkan Portugal lawan Greece, tapi saya tidak pernah bangun malam untuk itu. tetapi mereka sanggup bangun. Saya tidak kata haram, tapi yang hendak saya katakan jika kita berikan masa adalah masa untuk itu. Tapi bagi seseorang yang tidak memberikan masa untuk melihat bola maka tidaklah ada masa untuk itu.

Lantas kita yang menentukan bagaimana nak agihkan masa. Lantas orang yang sibuk ialah orang yang sebenarnya yang memberikan masa untuk sesuatu. Tapi orang yang wise, orang yang bijaksana ialah orang yang dalam kesibukkan dia tahu mengagihkan masa untuk segala yang diperlukan keatas dirinya. Jadilah orang yang bijaksana, bukan orang yang sibuk.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024