Artikel

Mari Amalkan Sifat Setia Kawan: Lukisan Hati

oleh Rasmawati Abdul Muin pada 04 Oct 2013

Ali, Zack, dan Nafis adalah tiga sahabat baik dan mempunyai minat yang sama, iaitu melukis. Zahra menolak Eldi kerana seorang pelukis bernama Zack.

Sejak itu, Eldi membenci sesiapa sahaja yang bergelar pelukis. Rumah Asuh yang dihuni oleh Zahra dan beberapa orang yatim terancam kerana hutang yang belum langsai.

Zack, Ali, dan Nafis berusaha membantu Zahra mengatasi hutang Rumah Asuh dengan menjual lukisan-lukisan yang merekan hasilkan. Namun, ia masih tidak mencukupi bagi membayar hutang berkenaan.

Dalam cerita ini, penulis mengeketengahkan sikap bersungguh-sungguh dalam diri. Sebagai contoh, Ali yang langsung tidak tahu melukis tidak berputus asa bagi mempelajari teknik melukis yang betul.

Daripada lukisan yang berbentuk cakar ayam, sehinggalah dia mampu menghasilkan lukisan yang jauh lebih baik daripada sebelumnya.

Meskipun dia sering dimarahi oleh ibunya kerana bersikap sambil lewa dalam pelajaran, namun dia tetap positif yang dia mampu lakukan sesuatu yang terbaik buat dirinya dan membuatkan ibunya bangga dengan dirinya.

Selain itu, rasa tanggungjawab dalam diri bagi menghulur bantuan kepada insan yang memerlukan. Dalam novel ini, diceritakan bagaimana Ali, Zack, dan Nafis berusaha mengumpul duit bagi melangsaikan hutang yang ditanggung oleh Rumah Asuh, iaitu rumah anak-anak yatim yang diusahakan oleh ayah Zahra.

Di sini dapat dilihat bagaimana keikhlasan hati remaja yang begitu bersungguh cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pemilik dan penghuni rumah anak yatim yang memerlukan tempat untuk berlindung.

Dalam pada itu, sikap Cikgu Farhan yang prihatin dan sentiasa membantu pelajar yang memerlukan bantuan turut menjadi contoh yang dapat diteladani oleh pembaca.

Keinsafan dan perubahan ke arah yang lebih positif juga cuba ditonjolkan dalam novel ini. Seperti mana yang dapat dilihat pada mulanya Eldi sangat membenci Zack kerana gadis yang diminatinya menyukai Zack.

Namun, pada akhirnya Eldi insaf dan bersama membantu Ali, Zack, dan Nafis mengatasi masalah Rumah Asuh dan sama-sama melindungi rumah anak yatim itu daripada dirobohkan.

Jelaslah novel ini sesuai untuk bacaan umum kerana mengandungi banyak nilai positif serta nilai moral yang sesuai dan bertepatan dengan kita sebagai manusia.





 

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024