Artikel

Mari Memupuk Semangat Setiakawan: Gadis Basikal

oleh Rasmawati Abdul Muin pada 26 Sep 2013

Walaupun mereka mempunyai hobi yang sama dan meminati benda yang sama, tetapi mereka berdua sering tidak sebulu.

Suatu hari, Adam ditimpa kemalangan disebabkan Qalisha. Kesan daripada kemalangan itu, Adam berubah 360 darjah daripada seorang  yang lasak kepada seorang yang pendiam.

Dia tidak lagi dapat melakukan aktiviti lasak seperti berbasikal seperti yang sering dilakukannya sebelum ini. Dia terpaksa berkerosi roda di sekolah. Keadaan itu membuatkan Adam berasa putus harapan.

Qalisha berasa kasihan melihat keadaan Adam. Dia juga banyak memberi motivasi kepada Adam supaya tidak berputus asa. Hubungan mereka menjadi baik kerana Qalisha banyak membantu Adam sepanjang Adam belum pulih dari kecederannya.

Atas sokongan ibu bapanya, guru-guru, serta rakan-rakan sekolah, Adam akhirnya semakin pulih. Hubungan Qalisha dan Adam juga semakin baik.

Novel ini sesuai untuk bacaan umum, apatah lagi untuk bacaan golongan remaja dan kanak-kanak. Ini kerana, kandungan novel ini sarat dengan nilai moral yang sesuai digunapakai dan diaplikasikan dalam kehidupan.

Rasa tanggungjawab mengembalikan keyakinan sahabatnya, Adam yang ditonjolkan dalam watak Qalisha dapat dicontohi.

Sikap tidak mudah berputus asa dan tidak kenal erti jemu dalam menyalurkan semangat dan memberi motivasi dalam membantu sahabat yang kurang keyakinan dan putus harapan menunjukkan kesabaran dalam melayani karenah.

Dalam pada itu, keinginan yang tinggi dalam mencapai sesuatu matlamat juga dapat dijadikan ikutan.

Sikap ambil berat sesama insan juga dapat dilihat dalam novel ini. Sebagai contoh, sejak Adam kemalangan, Qalisha dan beberapa orang rakan tidak pernah melupakan Adam.

Malah mereka tidak jemu-jemu melawat Adam dan sentiasa menceriakan Adam. Di sini juga dapat dilihat semangat setiakawan yang tinggi antara Qalisha, Adam, dan rakan-rakan mereka yang lain.

Dengan nilai-nilai moral yang ditonjolkan dalam novel ini, insya Allah akan melahirkan individu yang positif.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024