Artikel

Masihkah Ada Kerdipan Berjayanya Dalam Pengajaran Sains Dan Matematik Sekolah Me

oleh Helmi pada 12 Aug 2005

oleh:
Shaharir bin Mohamad Zain, Ph.D. ([email protected])
Presiden
Akademi Sains Islam Malaysia

Pradurja
Bangsa Melayu Malaysia hanyalah penakrif moden Melayu yang penting di Alam Melayu yang lebih besar, iaitu yang boleh diringkaskan sebagai PASCABIMAAF (Patani, Philippina/Filipina, Singapura, Campa, Brunei, Indonesia, Malaysia dan Funan, walaupun secara automatik akronim ini boleh termasuk Malagasi/Madagaskar dan Formosa). Oleh itu pada bahagian awal makalah ini, sejarah pembangunan sains (dan matematik) Melayu Funan, Campa, Srivijaya, Patani dan Indonesia dibicarakan.

Tiadalah siapapun yang mempertikaikan yang umat Melayu kini masih lemah dalam hampir semua bidang.  Dalam kekecewaan dan keghairahan pemimpin Melayu memperbaiki keadaan umatnyalah, maka dikatakan dasar pendidikan sains dan matematik (ringkasnya, SAMA) dalam bahasanya sendiri (Melayu)  ditukar kepada bahasa Inggeris itu mulai 2002 itu. Sejauh mana cahaya kejayaannya yang mungkin terkerdip? Kejayaan di sini bukannya bolehnya guru-guru sekolah mengajar dalam bahasa Inggeris dengan lancarnya kerana ini persoalan sementara, tetapi kejayaan memberi lebih banyak peluang umat Melayu belajar, mampu menguasai dan menjiwai SAMA, dan kejayaan melahirkan lebih ramai sarjana yang berdaya karya yang tinggi.
Hujah-hujah ringkas dan padat yang menunjukkan malapnya cahaya kejayaan yang mungkin mengerdip denyutan pembangunan SAMA di Malaysia menerusi liang-liang pengantar bahasa Inggeris itu dipaparkan.

Sebuah rancangan konkrit bagi pemajuan sains (di peringkat pasca-sekolah, biasanya istilah sains termasuklah juga matematik) dalam acuan sendiri dikemukakan dengan menunjukkan kemampuan sarjana dan kerajaan (segi kewangan) kini untuk mewujudkan bingkai acuan sendiri itu dalam masa kurang daripada sedasawarasa sahaja dari tarikh pelaksanaan rancangan yang disyorkan itu.

Sains Melayu Zaman PraIslamnya
Mohamad Alinor (2004) dan Shaharir (2000, 2003a) telah mengumpul hasil-hasil penyelidikan sarjana tentang pencapaian sains tamadun Melayu Purba yang selama ini berselerak dan terabai. Kami dapati Melayu Funan (abad ke-2 hingga ke-7M) tidak kurang hebatnya memeribumikan (Shaharir 2003b) ilmu daripada tamadun Hindia (Hindu dan Budha) dahulu (sekitar abad ke-2 hingga ke-6 Masehi) sehingga kepustakaan ilmu mereka dibahagikan oleh sarjananya kepada delapan bahagian: (IF1) Kativat, iaitu sejarah; (IF2) Skemi, yang tidak jelas bezanya dengan sejarah kerana bidang ini dikatakannya khusus membincangkan hal-hal yang lepas, walaupun mungkin maksudnya ilmu ramalan; (IF3) Traai, iaitu keagamaan; (IF4) Dvak/Grak, iaitu puisi doa; (IF5) Likh, iaitu puisi yang lain daripada Dvak/Grak itu (IF6) Gran, iaitu perubatan; (IF7) Prakuih, iaitu ilmu-ilmu teknik bukan Gran itu seperti astrologi-astronomi, pertukangan, perikanan, penjinakan gajah, dan lain-lainnya,  termasuk juga tatabahasa,  dan dua bidang yang tidak jelas maknanya, iaitu Vedas, Abhidhamma; (IF8) Slapat, iaitu sastera dan sains, tetapi termasuk juga agama dan puisi yang tidak jelas bezanya dengan Traai dan Likh.

Contoh kegiatan pemeribumian (peMelayuan) ilmu dari tamadun Hindia ialah peristiwa pengumpulan 240 buah kitab Budha oleh sarjana Funan bernama Paramatha atau Gunaratha yang sebahagian besarnya sudah diterjemah ke dalam bahasa Funan (Melayu Purba) untuk dihantar ke China bagi memenuhi permintaan kerajaan China pada masa itu.

Kami juga menemui fakta tahap keilmuwan Melayu Campa (abad ke-2 hingga ke-15M)  sehingga mereka mengelaskan bidang ilmu yang ada pada zamannya kepada tujuh bidang: (IC1) Kashikavrtti, iaitu Tatabahasa Panini dan ulasannya; (IC2) Astronomi; (IC3) Enam sistem falsafah yang dimulai dengan Mimamsa; (IC4) Doktrin-doktrin Budha; (IC5) Undang-Undang, terutamanya Naradiya dan Bharggaviya; (IC6) Uttarakalpa mazhab Shiva; dan (IC7) Ilmu tentang 64 kala, termasuklah tatabahasa sehinggalah ontologi.

Walaupun ada beberapa bidang ilmu Campa yang tidak begitu difahami sekarang tetapi bidang sains (dan matematik) pada zaman Melayu Campa dahulu dimasukkan ke dalam bidang astronomi, falsafah dan ontologi yang sengaja ditebalkan itu. Bukti ilmu-ilmu ini kebanyakannya dalam bahasa Melayu ialah betapanya batu-batu bersurat Campa (sumber maklumat ini) yang berjumlah 206 buah itu, hanya 69 daripadanya sahaja dalam bahasa Sanskrit atau bukan Melayu Campa.

Sumbangan sains daripada dua tamadun ini dalam tempoh bertindannnya kewujudan kedua-dua tamadun ini sehingga abad ke-7M sukar dipisahkan kerana tamadun Campa peringkat pertamanya abad ke-2 hingga ke-8M bertindan rapat dengan tempoh kewujudan tamadun Funan dan Bantu-batu bersurat Campa sering dijumpai di Funan akibat pelarian orang-orang Campa ke Kemboja besar-besaran dalam abad ke-15M itu.  Pemeribumian ilmu zaman Funan dan Campa telah sampai pada tahap ijtihad (pengaryaan sediri atau inovasi) apabila tamadun ini meninggalkan ciptaan sistem angka perpuluhan yang mengandungi sifar yang tertua di dunia dengan hasil ciptaannya selambat-lambatnya dalam awal abad ke-6M, ketika Eropah dalam gelap gulita (perincian sistem angka ini dalam Shaharir 2000). Tamadun ini juga meninggal unit-unit sukatan: unit panjang, luas, isi padu dan berat yang cukup bersistem dan komprehensif mendahului bangsa-bangsa di Eropah. Umpamanya sistem tahil dan bahara nampaknya dicipta pada zaman dua tamadun Melayu ini. 

Tamadun-Tamadun rumpun Melayu, seperti kerajaan Majapahit atau Mataram (Jawa Tengah) dan kerajaan Airlangga (Jawa Timur), juga kaya dengan ilmu dalam bahasanya sendiri, Jawa Kuno dan Kawi, yang sebahagian besarnya berupa hasil daripada penterjemahan ilmu daripada Sanskrit sehingga dalam proses pemindahan ilmu itu, bahasa Jawa turut berkembang pesat lalu bahasa Jawa Purba itu mengandungi kira-kira separuh perkataannya daripada bahasa Sanskrit (Zoetmulder 1982/2000). Zaman Majapahit misalnya, melahirkan seorang sarjana-pemuisi besarnya yang bernama Prapanca dengan karya agungnya 1365 berjudul Nagarakritigama yang mengandungi pelbagai ilmu, termasuklah sains.  Status kepustakaan Jawa Purba dapat dilihat dalam Poerbatjaaraka (1957), Kern & Rassers (1982),  dan Dawee Daweewarn (1982) yang menunjukkan kegiatan pemeribumian (penjawaan) ilmu dari Hindia yang agak hebat itu.

Bahasa Melayu pada zaman Srivijaya dirujuki oleh sarjana agung China, I-Tsing, pada abad ke-7M, yang menetap di Srivijaya selama 7 tahun, sebagai Kun-Lun.  Perkataan Kun-Lun ini ialah pelat sebutan China kepada perkataan Melayu Purba (Melayu-Mon-Khmer), Pnom,  yang sebelum abad ke-7 M, penulis China menyebutnya Fou-nan sehingga terbitnya nama kerajaan Funan itu. Perkataan fou-nan atau pnom itu pula sama maknanya dengan perkataan Sanskrit/Tamil, malai/malaya, dan setara dengan bahasa Melayu sekarang, gunung. Sahlah perkataan Melayu itu daripada Malai/Malaya itu kerana dalam tulisan China abad ke-7M perkataan ini muncul sebagai Mo-lo-yu, Molo-yoou, Mo-lo-yeu, dan Maliyu-eul (ejaan Rumi yang terdekat dengan aksara China itu), dan penulis Arab kurun ke-9M nenyebutnya Malayur. Jika berdasarkan lagenda asal-usul kerajaan Funan, Malai/Malaya itulah yang berkemungkinan besar nama asal kerajaan Funan itu. Tetapi jika dilihat akrabnya kerajaan Funan dengan China, maka nama kerajaan Melayu Funan itu asalnya kerajaan Pnom lalu menjadi Fou-nan dan diterjemah kepada Sanskrit sebagai Malai/Malaya. Walau bagaimanapun, Kun-Lun itu ialah bahasa/bangsa Melayu Purba yang dijadikan perantaraan ilmu orang-orang Melayu zaman Srivijaya itu yang dibuktikan oleh sarjana China , I-Tsing, itu juga:  Buku-buku dalam Kun-Lun itu jika diterjemah kepada bahasa China zamannya nescaya menjadi beribu-ribu jilid banyaknya.  Karya agung sarjana Hindia yang bernama Dharmakirti (yang lain daripada seorang sarjana Melayu zaman Sriwijaya yang sama namanya, tetapi bergelar Sarjana Akbar)  diterjemah kepada bahasa Melayu (Kun-Lun) oleh sarjana Sriwijaya bernama Atisa atau Atica yang berasal dari India yang pernah belajar dengan Dharmakirti Sarjana Akbar Srivijaya itu. 

Pemeribumian (pe-Melayu-an) ilmu zaman Srivijaya juga telah mencapai tahap ijtihadnya hingga mereka mampu berkarya sendiri pula. Selain daripada kemungkinan ada sekurang-kurangnya inovasi sistem angka perpuluhannya (Shaharir 2000), mereka juga nampaknya sarjana Srivijayalah yang mencipta unit-unit bilangan yang lebih besar daripada ribu seperti laksa (10 ribu, Inggerisnya, Myriad hanya muncul tidak lebih awal daripada abad ke-13 M), keti (100 ribu, dan tiada padanan Inggerisnya), dan juta (Inggerisnya, million yang muncul pada abad ke-17 M sahaja) yang semuanya sudah ada pada batu-batu bersurat Srivijaya 7M-11M lagi. Di samping itu sarjana-sarjana Melayu zaman Srivijaya jugalah nampaknya yang mencipta imbuhan unit seperti eka- (Ing: mono-/uni-),  bi-/dwi- (Ing: di-/duo-/ bi-) , tri- (Ing: tre-/ tri-), catur-/kater-/sruti- (Ing: quadra-/quadri-/tetra-), indra-/indriyas-/panca-/sanka- (Ing: penta-/quin-/quinque/quinti-), munis-/septa-/sisi- (Ing: hepta-/ septa/septi-/septua-); carana-/rasas-/sita- (Ing: hexa-/sex-/sexi-), witi- (Ing: octa-/octi-octo-), nanda-/nandanta-/nardanta-/navan-/nuka- (Ing: ennea-/nano-/nona-), dasa-/dasi-/waisya-/waisyi-/vaisya-/vaisyi- (Ing: deca-/deci—), dwidasa-/dwidasi/patanga- (Ing: dodeci-/duodeci-) yang sudah tercatat di batu-batu bersurat Melayu abad zaman Srivijaya (kurun ke-7 hingga ke-12M), sedangkan padanan Inggeris (Ing) itu hanya muncul, paling awalnya pun, pada Zaman Pertengahan Eropah (abad ke-13M) sahaja, yang diambilnya daripada Yunani dan Latin. Dengan imbuhan-imbuhan Melayu-Sanskrit ini, sarjana Melayu sekitar abad ke-18 hingga ke-19 M, mencipta bilangan yang besar: bilion (milyar di Indonesia itu pengaruh Belanda yang baru), trilion, katerlion, sankalion, sisilion, sitalion, witilion, nukalion, dan waisyilion (=10 diikuti dengan 35 sifar), sedangkan Inggeris baru bersetuju dengan bilangan million (mulai wujud akhir abad ke-14, sedang juta daripada Sanskrit ayuta, dalam bahasa Melayu dipercayai wujud berabad-abad sebelum itu), dan seterusnya billion, trillion,  quadrillion, quintillion, septillion, sexillion, octillion, dan nanollion (semuanya mulai wujud sejak abad ke-17 tetapi dengan makna yang lain dan hanya mulai 1970-an dipersetujui maknanya seperti sekarang), dan decillion (=waisyilion Melayu) mulai diwujudkan pada abad ke-20 ini sahaja. Kejayaan tamadun Melayu zaman Hindu-Budha-nya mungkin akan lebih hebat lagi jika adanya karya-karya agung sains dari tamadun besar lain, termasuk Hindia, yang diterjemah kepada bahasa sendiri (Melayu Purba). Aspek ini nampaknya terabai.

Sains Melayu Zaman Pasca-Hindu-Budha hingga Akhir Abad ke-19M
Kajian Shaharir (2003a) dan Wan Mohd Soghir (1991-kini) yang memaparkan hampir semua manuskrip Melayu karya abad ke-15 hingga akhir ke-19, menunjukkan memang usaha pemeribumian ilmu Islam atau peng-Islam-an ilmu Melayu pra-Islam cukup kuat. Bidang falsafah, perubatan (lebih dikenali dengan nama tib) dan mantik memang nampaknya orang Melayu banyak manuskripnya. Namun kelemahan yang ketaranya, samalah dengan tamadun-tamadun Melayu sebelum ini, ialah nampak tiadanya terjemahan karya-karya besar sains zaman Tamadun Islam, termasuklah bidang astronomi atau falak dan mantik sekalipun. Malah manuskrip Melayu yang tertua bertarikh 1590 ialah terjemahan karya al-Nasafi tentang falsafah sains-tauhid yang dikupas oleh al-Attas (1988) itu. Manuskrip terjemahan astrologi-astronomi yang lain yang dijumpai ialah Kitab Abi Masyar al-Falaki, oleh Ahmad Abdul Qadir Ibni Abdul Rahman pada 1209H/1794M yang ada di Perpustakaan Negara Malaysia, yang dipercayai terjemahan tertua dalam bidang falak-najm/astronomi-astrologi ini.

Mengikut Wan Mohd Soghir (2000, 2002)  karya-karya sarjana di PASCABIMAAF zaman Islamnya hingga awal abad ke-20, karya-karya sains terdiri daripada falsafah sains, mantik,  sains kimia, kaji logam,  hisab, falak, dan perubatan. Karya-karya yang disenaraikannya hampir semuanya karya asli walaupun sebenarnya banyaklah yang berupa terjemahan dan adaptasi bebas kepada karya-karya dalam bahasa Arab. Ada ramai juga sarjana Melayu yang berkarya dalam dwi-bahasa (Arab dan Melayu) sehingga ada yang menghasilkan sebuah karya dalam dwibahasa (terjemahan Arab ke Melayu atau sebaliknya).  Ini semua menunjukkan pemindahan ilmu ke dalam bahasa sendiri tetap dilakukan dengan hebatnya. Kaedah ini masih diamalkan oleh sarjana-sarjana Jepun sekarang, iaitu menulis dalam bahasanya sendiri dan pada masa yang sama, bahan yang sama, jika difikirkan perlu, terus ditulis dalam bahasa Inggeris pula, setengahnya oleh penterjemah Jepun. Bidang ilmu falak, yang dianggap orang Melayu cukup terkehadapan suatu masa dahulu, Wan Mohd Soghir hanya berjaya memaparkan beberapa buah sahaja, dan agak baru-baru pula kerana buku falak yang terawalnya ialah sebuah karya asli  Syeikh Abbas Kutakarang, di Aceh 1849, berjudul Siraj al-Zhalam. Kekurangan buku terjemahan dari tamadun asing kepada bahasa sendiri inilah yang menjadi satu daripada penyebabnya tamadun Melayu tidak berkembang sehebat tamadun-tamadun lain di Eropah dan di Asia Pasifik.

Simbiosis dan Sinergi Bahasa Sendiri dengan Pembangunan Sains dan Matematik Sepanjang Zaman
Kepentingan pemindahan ilmu daripada tamadun lain menerusi bahasa sendiri yang diamalkan dalam tamadun Melayu pra- dan pasca-Hindu-Budha-nya tetap diwarisi oleh para pemimpin Melayu ketika mula tertubuhnya negara-bangsa barunya yang dinamai Indonesia, dan kemudiannya Malaysia itu. Impian Jose Rizal di Phillipina seperti ini ditakdirkan tidak kesampaian, sebaliknya Philippina menjadi satelit Inggeris-Amerika di Alam Melayu menerusi dokongannya terhadap bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi pembangunanya, dan sejak itulah Philippina menjadi semakin terasing daripada rumpun Melayu. Di bawah ini diperturunkan secara ringkasnya (perinciannya dalam Shaharir 2005) hujah-hujah betapanya dasar penggunaaan bahasa asing dalam pendidikan ilmu tidak akan berhasil seperti yang diimpikan oleh pihak pembuat dasarnya, setengahnya diperincikan lagi pada hujah-hujah yang dahulunya kurang lengkap, iaitu tentang model Negara Maju dan Negara Membangun yang maju menerusi bahasa asing:

1. Sunnatullah. Pemindahan ilmu kepada bahasa sesuatu kaum itu perlu bagi memudahkan kefahamannya seperti yang ditegaskan dalam al-Qur-aan Suraht Ibrahim (14), Ayaht 4.

2. Perlunya Ilmu dijiwai (sampainya makna sesuatu kepada hati kata al-Attas (1989)) oleh pelajarnya dan ini hanya mampu dilakukan dan berlaku menerusi bahasanya sendiri (bahasa ibundanya, bahasa budayanya) sahaja.

3. Ilmu tidak bebas budaya dan benarnya ilmu mudah maju dalam acuan sendiri. Oleh sebab ilmu tidak bebas nilai maka pembangunan ilmu dalam bahasa sendirilah yang bukan sahaja berpeluang keemasan untuk menjiwai, dan merasasi pergantungan ilmu pada budaya, tetapi mudah melahirkan sarjana tersendiri pula hasil pertembungan budayanya dengan budaya asing dalam ilmu yang sedia ada . 

4. Setiap tamadun besar dunia dahulu dan kini membina tamadunnya menerusi bahasanya sendiri kecuali Ireland (yang dibicarakan lagi bersingan) sehinga masing-masingnya ada Zaman Penterjemahan-nya masing-masing.

5. Manifestasi daripada keunggulan bahasa sendiri dalam pembangunan sains sesebuah negara dapat disaksikan dalam perkara-perkara berikut:
5.1. Olimpiad Antarabangsa yang digondoli oleh negara-negara yang menggunakan bahasanya sendiri.
5.2. Para pemenang Hadiah Nobel sains dan Pingat Field matematik yang hampir semuanya digondoli oleh mereka yang terdidik dalam bahasanya sendiri sekurang-kurangnya hingga peringkat sekolah menengah, tetapi lebih ramai lagi sehingga ijazah pertama atau keduanya.
5.3. Buku-buku sains agung dunia yang didapati hampir semuanya ditulis dalam bahasanya sendiri yang kemudiannya diterjemah ke dalam bahasa-bahasa lain yang ingin maju dalam acuannya sendiri pula.
5.4. Ahli sains berpengaruh di dunia menunjukkan hampir kesemuanya ahli sains yang berpendidikan sains dalam bahasasnya sendiri.
5.5. Berjayanya Tamadun melayu Purba dan kini Negara-bangsa barunya Malaysia dan Indonesia melalui zaman penterjemahan lisannya, iaitu yang tidak banyak menghasilkan karya terjemahan tetapi menggunakan bahasa sendiri sebagai bahasa pengantar ilmu, menerusi pendidikan sains dalam bahasa sendiri. Kini sudah ramailah sarjana lulusan yang berenang dalam zaman itu dan kini mengukir namanya di persada antarabangsa. 

6. Jenayah peradaban dan pengkhianat bangsa. Tamadun Melayu sejak abad ke-2M, dan abad ke-20 ini, dua negara barunya, Malaysia dan Indonesia, telah membina korpus ilmu dalam bahasa Melayu yang termanifestasi dalam bentuk lisan, dan setengahnya dalam bentuk prasasti (batu bersurat) dan manuskrip yang terkenal seluruh dunia dgn banyaknya, buku teks sekolah (begitu banyak), latihan ilmiah atau tesis (yang cukup banyak), teks/buku universiti (walaupun amat kurang), dan makalah ilmiah/separa ilmiah (walaupun agak kurang) kesemuanya berada suatu tahap yang bererti sehingga meninggalkan atau melupakan ilmu dalam bahasa tersebut sudah boleh dianggap sebagai suatu tindakan jenayah peradaban, dan pengkhianat bangsa. 

7. Pemindahan ilmu menerusi terjemahan masih berterusan terjadinya di negara-negara maju sekarang pun seperti dari bahasa Jerman, Perancis dan Jepun kepada bahasa Inggeris dan sebaliknya.

8. Sewelnya pemadanan Budaya Inggeris-Amerika dengan Sejagatisme/Globalisme. Interaksi diplomasi antara Negara-Ngara maju tidak dilakukan dalam bahsa Inggeris sahaja, dan tiada Negara Maju dan Negara Membangun yang pemimpinnya tidak terpesona dengan budaya Inggeris yang mengubah dasar bahasa pembangunannya atau kelangsungan hidup rakyatnya kepada bahasa Inggeris. Usaha mengurangkan bahasa komunikasi rasmi antarabangsa memang ada seperti bahasa rasmi Kesatuan Eropah kini terlampau banyak dan mereka berhasrast mengurangkannya kepada 3 atau 4 bahasa sahaja. Baru-baru ini pula, beberapa buah negara anggota Kesatuan Eropah, dijuarai oleh Perancis dan UK, mengkritik Amerika Syarikat yang dianggapnya sedang berusaha menjadikan seluruh dunia menghayati kebudayaannya yang dianggapnya berbahaya. 

9. Perjuangan alam sekitar. Pengabaian sesuatu bahasa dalam pendidikan bangsa berkenaan merupakan suatu peracunan kepada bahasa tersebut yang akan memupuskan spesies bahasa yang mewarnai kebudayaan sesuatu spesies bangsa itu.
10. Elitisme, Paretoisme, dan tidak tersebar luasnya ilmu.  Pendidikan sesuatu bangsa menerusi bahasa asingnya menjadikan pendidikan itu tidak dapat dicapai oleh sesektor besar bangsa itu. Ini ditunjukkan oleh Laporan UNESCO dan Bank Dunia, serta statistik di Singapura yg menunjukkan hanya 40% daripada rakyatnya dijangka mampu tercapai pada ilmu yang diajar dalam bahasa Inggeris, dan statistik di India yang lebih teruk lagi. Berdasarkan pada data-data itu, dijangkakan hanya 20% drp Melayu Malaysia dijangka akan tercapai pada ilmu yang diajar dalam bahasa Inggeris.  (Lihat juga huraian dalam hujah 11 di bawah ini).
11. Ruginya Negara Membangun dan Negara Maju yang membangun/memajukan Negara berkenaan menerusi bahasa asing. Ireland maju menerusi dokongan bahasa asingnya (bahasa Inggeris) telah menazakkan bahasanya sendiri, bahasa Seltik yang kini sedang giat diikhtiari oleh para aktifisnya supaya tidak hilang langsung.  Identiti orang Ireland yang berasaskan kepada kebudayaan bangsa berbahasa Seltik dikatakan hampir pupus diambil alih oleh kebudayaan Inggeris, sehingga. ada sarjana berketurunan Ireland yang berkerakyatan Ireland tetapi yang berani diisytiharkan oleh komuniti Inggeris sebagai sarjana Inggeris sahaja (Apa bezanya?!).

Negara Membangun yang maju sehingga mencapai tahap Negara Terindustri Baru pula yang selalu disebut ialah Singapura kerana negara ini berjaya kononnya disebabkan dasar bahasa Inggerisnya. Tetapi sebenarnya Singapura patut dibandingkan dengan Taiwan, Hongkong, dan malah Thailand yang tidak mengabaikan bahasanya sendiri dalam arus pembangunannya. Banyak indeks kemajuan bagi ketiga-tiga negara ini yang mengatasi indeks berkenaan untuk Singapura! Singapura juga menghadapi krisis identiti yang parah sehingga selalulah dizahirkan oleh beberapa orang pemimpinnya dan cendekiawannya. Kempen Gong-Fu-Tzeisme/ Confuciusisme terpaksa diadakan bagi mengimbangi nilai Barat yang sedang membobrok kemanusiaan bangsa Singapura kerana kini di sekitar 40% rakyat Singapura hanya tahu Inggeris/Singlish (bahasa Inggeris ala China Singapura) sahaja tetapi tidak sama dengan bangsa Inggeris dan oleh itu berbudaya karikatur Barat daripada karikatur Barat, meminjam ungkapan al-Faruqi. Kerajaan Singapura pun sudah menyedari sejak beberapa tahun yang lepas bahawa rakyat Singapura yang berpotensi besar berjaya dalam perolehan ilmu menerusi bahasa Inggeris sahaja tidak lebih daripada 40% yang dianggapnya amat merugikan Singapura. Ekorannya, pendidikan dalam bahasa Mandarin telah dihidupkan kembali di sekolah-sekolah terpilih, dan atas pertimbangan kekuatan China pada masa akan datang, kursus Sarjana Pengurusan Perniagaan dalam bahasa Mandarin diwujudkan di Universiti Singapura sejak beberapa tahun yang lepas. 

India juga diseret kekancah polemik model pembangunan menerusi bahasa Inggeris kerana kononnya India berjaya: berjaya melahirkan pemenang Hadiah Nobel, berjaya dalam TM, dan sebagai pengeksport pekerja terbesar di dunia. Dalam hal pekerja dunia ini, bilangan 30 ribu orang India yang bekerja di Silicon Valley, California berbanding dengan 3 ribu (ada yang menyebut 5 ribu) pekerja Jepun dijadikan kayu ukur kehebatan India dalam penguasaan ilmu menerusi bahasa Inggeris. Di samping, apa hebatnya rakyat sesebuah negara bekerja di negara lain dan meninggal negara sendiri yang merempat, perbandingan pekerja India dengan pekerja Jepun di Silicon Valley itu patut dilihat kelemahan sosioekonomi India yang tidak dapat memberi pekerjaaan kepada rakyatnya, dan juga patut dilihat nisbah dengan penduduk dua buah negara itu. Nisbah penduduk India dengan Jepun ialah sekitar 1 bilion dgn 130 juta, atau 8:1 sedangkan nisbah pekerja India dengan Jepun di Silicon Valley itu ialah 10: 1 (atau 6:1, bergantung pada dua sumber itu) yang jelas tidaklah jauh daripada yang sewajarnya, lebih-lebih lagi mengenangkan kadar pengangguran di India lebih tinggi drp di Jepun.  Prestasi India yang selalu mendapat tempat 10 atas dalam pertandingan Olimpiad Antarabangsa mata pelajaran sains dan matematik sekolah itu juga selalu dikaitkan dengan pendidikan dalam bahasa Inggeris di India. Lagi sekali prestasi India ini patut dibanding dengan China yang jauh meninggalkan India dalam Olimpiad ini. Model pendidikan manakah yang lebih baik? Laporan Bank Dunia tentang kemunduran India dalam banyak sukatan ekonomi dan sosial berbanding dengan Negara-Negara Membangun lain di Asia dan di Amerika Selatan sekalipun sengaja diabaikan oleh mereka ini. Perbandingan pencapaian pembangunan India dengan China (yang hampir sama saiznya) juga diabaikan, kerana sebenarnya dalam semua sektor, China mengatasi India, sedangkan China membangun dalam kebudayaannya sepenuhnya. Berkenaan dengan, kononnya India hebat dalam TM berbanding dengan bangsa-bangsa lain di Asia khususnya dengan bangsa yang sistem pendidikannya bukan dalam bahasa Inggeris seperti Jepun atau Taiwan itu sukar diterima, malah tidak patut diterima sebagai hipotesis pun. Hipotesis ini seolah-olah menegaskan bahawa bangsa bukan Inggeris yang berpendidikan sains menerusi bahasa Inggeris besar kemungkinannya lebih baik daripada bangsa Inggeris sendiri! Alangkah absurdnya! Hipotesis ini juga berbahaya kerana potensinya memupuk rasisme, fasisme, malah ke-Nazisme-an.  Berkenaan dengan 2 orang pemenang Hadiah Nobel fizik dari India, Chandrasekhar dan Raman, lebih merupakan kejayaan individu India ini sahaja, bukannya kejayaan sistem pendidikan India dalam bahasa Inggeris. Malah mereka ini ada hubungan darah sekeluarga, dan melalui liku-liku pendidikan awalnya yang sama: sebahagian besar pendidikan peringkat awalnya dilakukan oleh tutor peribadinya di rumah masing-masing. Lebih-lebih lagi seorang daripadanya, Chandrasekhar itu sudah hampir sukar diakrabkan dengan bangsa India di India kerana sebahagian besar hidupnya di Amerika Syarikat malah menjadi rakyat Amerika Syarikat dan menang Hadiah Nobel atas nama Amerika Syarikat, dan oleh itu secara rasminya India pernah melahirkan hanya seorang pemenang Hadiah Nobel Sains sahaja. Penulis pernah membuat kesilapan (Shaharir 2005) mengatakan kedua-duanya berpendidikan dalam bahasanya sendiri (Hindu atau lebih tepat lagi Tamil) hingga ke Sekolah Menengah Atas kerana sumber yang diperoleh penulis dahulu mengatakan mereka ini belajar di Hindu High School (yang berlainan). Kemudiannya penulis mendapat tahu bahawa sekolah itu memang asalnya aliran Hindu/Tamil, tetapi pada zaman dua orang bakal sarjana ini belajar di sekolah masing-masing itu, bahasa pengantarnya sudah bertukar kepada Inggeris walaupun namanya tidak berubah. Walau bagaimanapun, kedua-dua pemenang Hadiah Nobel ini mendapat pendidikan tidak formal di rumahnya dalam bahasa Hindu/Tamil dan Inggeris dengan baiknya. Terutamanya Raman, beliau dikatakan amat tidak ummi budaya Hindu-Tamilnya, sebahagiannya kerana isterinya seorang yang handal sastera Tamil hingga mampu menterjemah beberapa novel Hindu/Tamil ke dalam bahasa asing.  Mungkin itulah sebabnya beliau tidak berhijrah ke Barat seperti Chanderasekhar. Walau bagaimana pun, bilangan pemenang Hadiah Nobel dari India patut di banding dengan pemenang Hadiah Nobel dari China (yang lebih ramai). Kenapa kita mahu meniru model pendidikan sains di India dalam bahasa Inggeris dan bukan di China dalam bahasanya sendiri? 

Hujah-hujah di atas itulah sepatutnya menguatkan iltizam kita untuk kembali ke jalan yang benar dan lurus dalam pembangunan sains sesebuah negara dan jalan itu semestinyalah melalui Zaman Penterjemahan bangsa. Zaman ini tidak pernah terlambat untuk diadakannya! 

Mampunya Malaysia Membina Bingkai Sains dalam Acuan Sendiri
Bingkai acuan pembangunan sains sendiri semestinya menerusi penterjemahan lisan dan bersekali dengan karya terjemahan. Tamadun Melayu sejak zaman Funan hingga kini belum pernah berjaya besar dalam mewujudkan keadaan ini. Abad ke-20 ini pun gagal: Percubaan SITC 1952 menerusi penubuhan Pejabat Karang Mengarang di bawah Pendeta Zaaba gagal, DBP dan UKM (sebagai mangkin mujarab bagi universiti-universiti lain) tidak berjaya dan telah mengaku kalah, malah Ketua Pengarah DBP terbaru (2005) dilaporkan menegaskan DBP akan menumpukan kepada sastera sahaja, dan semua universiti sekarang merancang hebat untuk mengInggeriskan universiti masing-masing. Institut Terjemahan Negara pula tidak berfungsi seperti yang sepatutnya sejak mula ditubuhkannya lagi sehingga kini terdengar pula tugasnya ialah untuk menterjemah karya agung Melayu kepada bahasa Negara Maju (terutamanya Inggeris), bukan sebaliknya: menterjemah karya agung bangsa yang lebih maju daripada kita kepada bahasa kita. 

Tidak syak lagi, satu daripada sebab dasar bahasa di Malaysia mudah berubah atau diubah, ialah kegagalan penterjemahan, pengadaptasian, penyaduran, atau penulisan asli buku sains dalam bahasa Melayu. Malah hingga tahun 1997, mengikut perhitungan penulis (Shaharir 2002) hanya sekitar seribu buah buku sains dan teknologi peringkat universiti yang ada dalam bahasa Melayu (iaitu dengan kadar sekitar 76 buah setahun sahaja, yang tidak pula dirancang dengan rapinya dan oleh itu tidaklah menyangkut banyak bidang, dan sejak 1995 semakin merosot), sedangkan keperluan buku teks sains asas klasik dalam bahasa Melayu untuk bidang sains dianggarkan sekitar 2 ribu buah, dan buku sains tambahan semasa sekitar 1700 buah setahun. (Lihat Lampiran 1, dan perinciannya dalam Shaharir 2005)

Bilangan sarjana sains Malaysia kini sudah menjangkau lebih drp 4 ribu orang yang membolehkan kita mengadakan kemampuan menghasilkan seribu manuskrip buku terjemahan setahun dengan andaian sahaja daripada sarjana itu yang bersedia berbakti kepada pembangunan buku negara (suatu andaian yang konservatif). Dalam Shaharir (2005) dianggarkan peruntukan yang diperlukan untuk menghasilkan 2 ribu buah buku teks asas sains universiti yang klasik itu hanyalah sekitar RM35 juta sahaja. Tambahan peruntukan diperlukan untuk terjemahan buku sains semasa yang dianggarkan berjumlah 1700 buah setahun itu perlu dipenuhi juga. Dalam Jadual 2 ada disyorkan rancangan penterjemahan semua buku ini setiap tahun berdasarkan kemampuan sarjana yang dianggarkan di atas tadi. Jadual itu bermatlamatkan menghasilkan 2 ribu buah buku teks asas klasik itu dalam masa 4 tahun, dan pada masa yang sama penterjemahan buku-buku semasa dapat dilakukan dengan kadar peningkatan yang sewajarnya. Kos tahunannya dipaparkan pada Jadual 3 yang menunjukkan kerajaan hanya perlu memperuntukkan paling banyaknya purata RM17 juta setahun sahaja. Kadar pengeluaran buku ini tentunya boleh diperbaiki lagi, lebih-lebih lagi jika penerbitan buku negara ini menjadi dasar negara yang dipertanggungjawabkan kepada universiti kelak dan hubungan strategi dengan negara jiran dapat dilakukan.

Rancangan penterjemahan (Jadual 2) itu menunjukkan dalam masa 12 tahun kita sudah mencapai tahap pemeribumian ilmu (Shaharir 2003b) yang setanding dengan beberapa buah negara maju sekarang, kerana sebahagian besar ilmu ada dalam bahasanya kita sendiri. Jika projek ke jalan puncak pembangunan ilmu ini diandaikan penyertaan sarjana tempatan ditingkatkan kepada separuh daripada bilangan semasa kini (yang mudah berlaku jika dasar universiti/kerajaan berubah) dan diperluaskan pula pelaksanannya kepada sarjana-sarjana di BIAS (Brunei, Indonesia, dan Singapura) yang mudah dilakukan menerusi hubungan ikhtisas atas nama persatuan ilmu di negara masing-masing, umpamanya bidang sains matematik antara Persatuan Sains Matematik Malaysia dengan Himpunan Matematikawan Indonesia, maka tempok sampai ke puncak itu dipercaya kurang daripada sedasawarsa sahaja. Ini perancangan pemeribumian fasa pertama sahaja. Fasa seterusnya ialah penerusan penerbitan buku terjemahan semasa yang dianggar 1700 buah setahun itu di samping penerbitan karya-karya asli yang lebih bermutu (tingkat keperibumiannya, Shaharir 2003b) dan lebih berceratu (banyak bilangannya) berbanding dengan :karya asli sepanjang 20 tahun yang lepas. Ini bukan impian tetapi kenyataan yang hanya bergantung kepada iltizam dan kudarat politik kepemimpinan negara sahaja.

Institut Terjemahan Negara perlulah merancang seperti contoh perancangan yang disyorkan ini, dan memastikan peruntukannya diperoleh menerusi peruntukan IRPA itu, atau peruntukan lain daripada kerajaan. Kerajaan pula boleh dan sewajarnyalah mewujudkan galakan pihak swasta juga supaya memikul tanggungjawab sosialnya membina ilmu dan bangsa Malaysia yang bertamadun berasaskan ilmu. Tetapi, sebelum itu, kerajaan kini perlulah balik ke pangkal jalan  dahulu! BAHASA PENGANTAR SAINS DAN MATEMATIK SEKOLAH  KEMBALI DALAM BAHASA MELAYU (sekurang-kurangnya secara dominannya) sesegera mungkin

Resolusi

1. Menteri Pelajaran Malaysia membenarkan guru-guru mengajar Sains dan Matematik Sekolah dalam bahasa Melayu dan sterusnya memastikan soalan peperiksaan sekarang diteruskan dalam dwibahasa: bahasa Melayu dan Inggeris dan sekaligus pelajar boleh menjawab dalam bahasa-bahasa tersebut secara berasingan.
2. Kerajaan membatalkan rancangan setiap IPTA sekarang yang hendak mengInggeriskan semula sepenuhnya atau sebahagian besar kursus atau program yang berhubung dengan SAMA.
3. Kerajaan dengan serta merta mengarahkan Insitut Terjemahan Negara Malaysia Berhad supaya merancang dan melaksanakan terjemahan dan penerbitan 2000 buah buku sains asas klasik yang diperlukan dalam kursus-kursus sains universiti dalam masa 5 tahun, dan serentaknya penerbitan terus-menerus buku-buku sains tambahan semasa yang mencukupi, dalam masa 10 tahun terdekat ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025