Artikel
Pelancaran Buku Panduan Mengurus Pusat Sumber Sekolah
oleh Helmi pada 12 Aug 2005
3 Ogos: Buku terbaru terbitan PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. (PTS Professional) berjudul Panduan Mengurus Pusat Sumber Sekolah telah dilancarkan secara rasminya di Pusat Sumber Pendidikan Negeri Selangor (PSPN Selangor). Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Yusoff bin Harun, Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Pn. Ainon Mohd. yang merupakan Pengerusi Syarikat-syarikat Kumpulan PTS dan dalam masa yang sama mentor kepada 12 orang penulis buku ini turut sama hadir sebagai tetamu kehormat. Beliau berbesar hati menyampaikan cenderahati daripada PTS kepada Yg. Berbahagia Dato Hj. Yusoff.
Buku ini merupakan hasil kerjasama PTS Professional dengan PSPN Selangor. Penulis-penulis buku ini terdiri daripada 12 orang pegawai dan jurulatih utama PSPN Selangor. Terbukti bahawa bengkel penulisan yang dihadiri oleh penulis-penulis ini pada 26 & 27 Mei 2005 anjuran PTS Professional tidak sia-sia apabila terbitnya buku ini. Sepanjang bengkel penulisan yang diadakan para penulis dibimbing oleh Pn. Ainon Mohd. yang juga merupakan seorang penulis prolifik tentang teknik penulisan yang efektif. Mereka juga turut didedahkan tentang dunia penerbitan dan undang-undang hak cipta.
Majlis pelancaran ini diadakan sempena pelancaran Sistem Pengautomasian Pengurusan Pusat Sumber, Bahagian Teknologi Pendidikan. Turut hadir semasa pelancaran ini ialah wakil-wakil daripada Pusat Sumber Pendidikan Negeri dari seluruh Malaysia.
Buku ini merupakan buku panduan untuk kegunaan guru perpustakaan dan media, guru pelatih maktab perguruan dan pelajar IPT. Ia juga sesuai untuk calon Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) bagi kertas perpustakaan.
Selepas majlis perasmian tersebut para tetamu kehormat di bawa melawat ke gerai pameran buku-buku PTS yang ditempatkan di luar dewan.
Buku ini akan mula berada di pasaran pada September 2005. Ini merupakan buku pertama dalam siri pengurusan pusat sumber dan perpustakaan PTS. InsyaAllah lebih banyak buku akan diterbitkan hasil kerjasama dengan PSPN Selangor.