Artikel

Terminologi Ilmu Perbandingan Agama

oleh Helmi pada 24 Nov 2004

Bab 2
Terminologi Ilmu Perbandingan Agama

Sebelum kita memulakan perbahasan dengan lebih lanjut berkenaan agama-agama yang dikategorikan sebagai agama Monoteisme, terlebih dahulu kita mulakan perbahasan dengan membincangkan beberapa terminologi atau istilah-istilah yang sering digunakan oleh para pengkaji ilmu Perbandingan Agama. Antara istilah-istilah itu adalah sebagai berikut.

Monoteisme
Monoteisme berasal daripada dua gabungan perkataan Greek mono dan theos. Mono bererti satu dan theos bermakna Tuhan. Manakala, agama Monotheisme merujuk kepada agama yang mempercayai Tuhan hanya satu. Agama-agama yang dikategorikan sebagai agama Monoteisme adalah agama Islam, Kristian dan Yahudi.

Agama Islam hanya mempertuhankan Allah. Quran menyatakan dalam bab al-Ikhlas, ayat 1 hingga 4 yang bermaksud, “Katakanlah (Wahai Muhammad), Dialah Allah yang satu. Allah yang dituju (untuk memohon hajat). Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan (berbapa). Dan tiada sesuatu pun yang menyerupainya.”

Manakala agama Kristian pula dikatakan mengamalkan konsep Monoteisme. Agama Kristian mempercayai doktrin Tritunggal. Tritunggal bermaksud satu Tuhan dalam tiga; Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus. Tetapi, ketiga-tiga Tuhan ini tidak dianggap sebagai wujudnya tiga Tuhan yang berlainan. Sebaliknya, agama Kristian mempercayai mereka adalah satu. Dengan kata lain, tiga dalam satu. Mereka mempercayai ketiga-tiga Tuhan ini adalah satu Tuhan iaitu yang disebut sebagai Tritunggal atau Triniti.

Agama Yahudi juga mengamalkan konsep Monoteisme. Ini kerana, mereka melakukan penyembahan dan peribadatan hanya kepada Yahweh yang menjadi Tuhan mereka yang satu. Di samping itu, mereka tidak mengakui adanya Tuhan lain yang berkuasa selain daripada Yahweh.

Politeisme
Politeisme juga berasal daripada dua gabungan perkataan Greek iaitu polus dan theos yang bermaksud banyak Tuhan. Manakala agama Politeisme pula merujuk kepada agama yang mempercayai kewujudan banyak Tuhan. Dengan perkataan lain, agama Politeisme ini menyembah banyak Tuhan.

Sebagai contoh, agama Hindu mempercayai wujudnya banyak Tuhan. Misalnya, Tuhan Brahma, Vishnu dan Shiva. Selain daripada tuhan-tuhan ini, agama Hindu juga mempercayai kewujudan beribu-ribu dewa yang dianggap mempunyai kuasa seperti:
Surya (Dewa Matahari)
Agni (Dewa Api Suci)
Indra (Dewa Perang)
Waruna (Dewa Alam Angkasa)
Wertra (Dewa Jahat)
Candra (Dewa Bulan)
Wayu (Dewa Angin) dan banyak lagi.

Panteisme
Panteisme juga berasal dari perkataan Greek iaitu panta. Panteisme merujuk kepada agama-agama yang mempercayai setiap benda adalah suci dan mempunyai unsur-unsur ketuhanan. Dengan perkataan lain, agama ini mempercayai Tuhan wujud di dalam setiap benda ataupun setiap benda adalah Tuhan.

Contoh agama yang mengamalkan sistem kepercayaan ini adalah agama Hindu. Ini kerana agama Hindu mempercayai adanya kuasa ketuhanan dan dewa-dewa dalam setiap benda. Oleh kerana itu, ada sesetengah penganut agama Hindu yang menyembah pelbagai jenis benda yang dipercayai didiami oleh dewa-dewa. Mereka menyembah matahari, bulan, pokok-pokok besar, sungai dan lain-lain lagi.

Henoteisme
Henotheisme merujuk kepada agama yang mempercayai kewujudan banyak Tuhan. Mereka menyembah kesemua tuhan-tuhan itu tetapi mereka meletakkan hierarki ketuhanan dalam penyembahan mereka. Dengan kata lain, mereka mempercayai ada Tuhan yang paling berkuasa antara Tuhan yang mereka sembah. Di sini dapat disimpulkan, tahap kuasa tuhan-tuhan mereka adalah berbeza. Ada Tuhan yang mempunyai kuasa mutlak, ada Tuhan yang berkuasa sederhana malah, ada juga Tuhan yang lemah berbanding Tuhan-tuhan lain.

Monoletri
Monoletri pula merujuk kepada sistem menyembah satu Tuhan tetapi dalam masa yang sama mereka juga mengiktiraf dan mengakui kewujudan Tuhan lain bagi kaum lain.

Dualisme
Dualisme pula merujuk kepada agama yang mempercayai dua Tuhan atau dua kuasa iaitu kuasa baik dan kuasa jahat. Agama Dualisme ini mempercayai alam angkasa ini ditadbir ataupun diperintah oleh dua Tuhan yang mempunyai sifat yang berlainan iaitu Tuhan baik dan Tuhan jahat.

Contoh agama Dualisme adalah sebagaimana yang terdapat dalam fahaman sesetengah pengikut agama Zarathustra. Ini kerana, agama Zarathustra mengenal adanya dua kuasa yang mempunyai sifat-sifat yang berlawanan antara satu sama lain iaitu kuasa kebaikan dan kuasa kejahatan. Agama Zarathustra mempercayai Ahura Mazda adalah kuasa kebaikan yang selalu mengurniakan kebaikan seperti kebahagiaan dan rezeki. Manakala Ahriman pula adalah kuasa kejahatan yang selalu menyebabkan berlakunya bala bencana dan musibah. Oleh itu, mereka menyembah Ahura Mazda bagi mendapatkan pelbagai kebaikan dan menyembah Ahriman supaya mereka mendapat perlindungan daripada segala bencana dan malapetaka.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024