Artikel

Memacu Iman Dengan Ramadan, Merawat Takwa Dengan Tarawih

oleh Rohidzir Rais pada 10 Jul 2013

Alhamdulillah kita bertemu lagi dengan Ramadan yang mulia. Rasulullah SAW sendiri hanya diberikan sembilan kali kesempatan bersama Ramadan, sedang kita melaluinya saban tahun berpulu-puluh kali. Sewajarnya kesempatan ini diambil semahu-mahunya bagi melengkapkan kekurangan pada bulan-bulan lain. Sekiranya kita diibaratkan dalam perlumbaan, Ramadan adalah pusingan terakhir yang menentukan siapa juara dan siapa kecewa. Sudah tentu setiap ‘pelumba’ akan memecut sehabis tenaga pada pusingan ini.

Dari segi ganjarannya pula, kita seperti bermain permainan video dan Ramadan adalah pusingan bonus yang memberikan pelbagai mata percuma, peluang melipatgandakan mata serta pelbagai hadiah menarik bagi meningkatkan kecerdasan, merawat kecederaan dan memanjangkan ‘nyawa.’

Ramadan adalah puncak festival ibadah tahunan umat Islam. Ia diiktiraf Allah sebagai bulan terbaik daripada bulan-bulan lain. Justeru, pada bulan tersebut, Allah menganugerahkan ganjaran berlipat kali ganda kepada siapa sahaja yang melakukan ibadah kepada-Nya. Di antara tawaran-tawaran hebat pada bulan itu, terdapat satu tawaran yang eksklusif bagi bulan Ramadan sahaja, solat Tarawih.

Istimewanya solat Tarawih, ia hanya boleh dikerjakan pada bulan Ramadan. Rasulullah juga sangat menyukai solat ini dan menganggapnya sebagai pelengkap ibadah Ramadan. Baginda menamakan solat Tarawih ini sebagai Qiam Ramadan atau mendirikan Ramadan. Sudah tentu sebagai ibadah seistimewa ini, Allah menjanjikan ganjaran terbaik bagi mereka yang menghidupkan Ramadan dengan solat Tarawih. Menurut Rasulullah,

Sesiapa yang melakukan qiam Ramadan (solat Tarawih) dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan segala dosa yang telah dilakukanya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Justeru itu, perlaksanaan solat Tarawih bukan hanya untuk mendirikan Ramadan, tetapi matlamat yang lebih utama adalah untuk merawat dan membimbing iman manusia. Sudah tentu manusia yang sepanjang tahun disibukkan dengan pelbagai urusan dunia pasti lelah dan rebah imannya. Kekalutan memenuhi kewajipan dunia, acap kali menyekat kita daripada menumpukan ibadah kepada-Nya. Bulan Ramadan ini sepatutnya menjadi terapi bagi membangunkan kembali iman serta memuliharanya. Sementara, solat Tarawih pula berfungsi sebagai ubat mujarab bagi memulihkan iman kita.

Selamat merawat iman dan takwa dan selamat menikmati Ramadhan yang mulia.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024