Artikel

Membaca menambah ilmu pengetahuan

oleh [email protected] pada 05 Apr 2012

Walaupun masa berganti masa, zaman berubah mengikut zaman, golongan yang berilmu senantiasa menjadi insan yang dihormati dan disanjungi. Tanpa ilmu, seseorang itu tidak dapat membuat keputusan yang jauh lebih bijak berbanding dengan orang yang berilmu.

Dewasa ini, kita selalu didedahkan dengan kempen budaya membaca. Slogan kempen membaca seperti Rajin Membaca Pasti Berjaya dan Bangsa Membaca Bangsa Berjaya begitu dekat dihati masyarakat kerana ia mencerminkan kejayaan seseorang. Slogan ini juga boleh dilihat secara meluas di dada akhbar, iklan di televisyen mahupun di tempat-tempat awam.

Senario ini dilihat berjaya ‘memujuk’ masyarakat untuk mengamalkan cara baru dengan lebih kepada ke arah penambahan ilmu pengetahuan. Namun, ianya tidak akan tercapai sekiranya masyrakat hanya mengagungkan slogan semata-mata tanpa mengamalkan budaya membaca ini.

Keperihatinan kerajaan dalam pendidikan negara cukup terpuji. Dasar negara yang mahu melahirkan generasi ilmuan yang ramai, seharusnya membuatkan generasi muda menyahut cabaran ini seiring dengan perubahan global yang semakin mencabar.

Di PTS, kami menerapkan konsep ‘pembacaan’ kepada masyarakat dalam usaha melahirkan ilmuan dan cendekiawan negara. Selain menerbitkan buku-buku yang berkonsepkan sistem pendidikan negara, kami juga mendidik masyarakat agar lebih berilmu dan dekat dengan dunia buku.

Buku-buku terbitan PTS seperti Islamika, Darul Furqan, Litera Utama, Millennia, Profesional, Pop dan lain-lain banyak menerbitkan buku-buku yang sememangnya dapat memberikan kesan pembacaan kepada masyarakat. Diterapkan dengan konsep syariah sebagai teras utama, sudah pasti ianya mampu membuatkan pembaca menghayati serta memahami penggunaan bahasa yang sebenar.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024