Artikel

Sultan Muhammad Al-Fateh: Penakluk Konstantinopel @ PBAKL 2012

oleh [email protected] pada 06 Apr 2012

Benarlah sabda Rasulullah saw yang bermaksud, Kota Konstantinopel hanya dapat ditawan apabila wujudnya sebuah pemerintah yang ketuanya baik, tenteranya baik dan rakyatnya baik.

Hanya selepas 800 tahun sabda Rasulullah ini, penaklukan kota yang menjadi rebutan ketua pemerintahan ketika itu, benar-benar berlaku semasa pimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh. Beliau yang berusia 21 tahun ketika itu dengan berani, gagah dan bersemangat pahlawan kental berjaya mengancurkan keegoan musuh Islam yang sudah lama menjadikan kota itu sebagai pusat pemerintahan.

Dilantik sebagai pemimpin negara seusia 19 tahun dari ayahandanya Sultan Murad, Sultan Muhammad Al-Fateh telah menunjukkan kecerdasan otaknya dalam menangani beberapa masalah yang timbul. Ditemani oleh ulama yang terkenal pada zamannya, Syeikh Bayram dan disusuli dengan anak muridnya, Syeikh Syamsuddin Al-Wali, didikan agama yang diberikan kedua ulama ini mempengaruhi kehidupan beliau.

Berbekalkan dengan hadis Rasulullah yang tersemat utuh di hati, menjadikan Sultan Muhammad Al-Fateh bertambah bersemangat dalam cuba menakluk kota Konstantinopel. Dipelajari ilmu perang dari bapa saudaranya, menjadikan Sultan Muhammad Al-Fateh terus gagah dan mahir dalam ilmu perang dalam usaha memerangi musuh Islam.

Walaupun di anggap terlalu muda memegang tampuk pimpinan, namun sebenarnya ianya jauh dari pemikiran rakyatnya ketika itu. Dengan bersikap penuh tawadduk dan rendah diri, Sultan Muhammad Al-Fateh tanpa segan silu mendengar setiap cadangan mahupun buah fikiran dari para menterinya dengan mencontohi apa yang pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah saw.

Selepas 52 hari bertempur dengan pihak musuh pimpinan Maharaja Konstantine, akhirnya kota yang menjadi rebutan itu, jatuh ke tangan Islam. Pimpinan hebat dari Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya membuahkan hasil di samping usaha keras dan gigih dari pejuang Islam bagi merebut syahid di jalan Allah.

Perisitiwa agung ini, terus menjadikan Islam tersebar luas di beberapa negara Eropah. Dengan pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik menjadikan pimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh terus disanjungi rakyat dan digeruni lawan.

Buku karya Abdul Latif Talib ini sedikit sebanyak akan membuatkan pembaca merasai ‘semangat’ seperti semangat jihad tentera Turki menakluk kota Konstantinopel. Buku ini sesuai di jadikan contoh kepada generasi muda masa kini dalam usaha untuk menegakkan syariat Islam disamping mengambil inspirasi pimpinan berani Sultan Muhammad Al-Fateh.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024