Artikel

Topik yang menjadi tumpuan PTS.

oleh Helmi pada 07 May 2004

Kami berminat untuk menerbitkan buku dalam banyak topik. Dalam tahun ini (2004) kami akan menerbitkan 100 tajuk. Kami merancang untuk membangunkan 200 tajuk untuk tahun 2005.

Kami berminat untuk menerbitkan buku dalam banyak topik. Dalam tahun ini (2004) kami akan menerbitkan 100 tajuk. Kami merancang untuk membangunkan 200 tajuk untuk tahun 2005.

Berikut ialah senarai bidang-bidang yang menjadi tumpuan kami. Jika anda bercadang untuk menulis dalam mana-mana bidang yang disenaraikan di bawah, peluang untuk karya anda diterbitkan adalah lebih baik. Ini hanyalah senarai yang difikirkan sesuai oleh editor dan bahagaian pemasaran kami. Jika anda mempunyai idea yang berlainan silalah berhubung dengan kami.
Sains, Matematik & Teknologi.

Siri terbaru yang kami sedang giat rancangkan ialah buku-buku berkenaan Sains, Matematik & Teknologi untuk bacaan pembaca umum. Maklumat lanjut akan kami masukkan jika rancangan untuk siri menjadi lebih terang dan jelas. Dalam masa itu, jangan teragak-agak untuk menghubungi kami jika anda ada mempunyai sebarang idea yang boleh diterbitkan.
Buku Teks Akademik Peringkat Awalan.

Kami berminat untuk menerbitkan buku-buku teks universiti, kolej dan maktab yang digunakan oleh pelajar tahun satu terutamanya.

Malaysia mengimport berpuluh-puluh ribu naskah buku-buku umum, akademik dan lain-lain melalui Singapura setiap tahun. Kami percaya yang kebanyakkan buku-buku akademik ini boleh ditukar kepada buku-buku tulisan pakar tempatan. Ini terutamanya yang melibatkan pengajian tahun pertama di IPTA dan IPTS tempatan.

Kami berhasrat untuk bekerjasama dengan pakar-pakar tempatan untuk menghasilkan buku teks peringkat awal pengajian, dan secara beransur-ansur ke peringkat yang lebih tinggi.
Kesihatan dan Perubatan.

Kami sedang mencari tajuk-tajuk yang berkaitan dengan penyakit yang lazim dialami oleh golongan dewasa di Malaysia. Penulis mestilah datang daripada latar belakang perubatan.

Buku dalam kategori ini mestilah memberi penerangan kepada 3 aspek. Pertama, latar belakang tentang penyakit itu. Kedua, sokongan emosi yang diperlukan oleh pesakit yang mendapat tahu mereka ataupun orang yang mereka sayang mempunyai penyakit itu. Ketiga, kaedah perubatan yang ada. Jika penyakit ini tiada jalan sembuh sepenuhnya, maka strategi untuk menjalani hidup normal oleh pesakit mestilah diberi tumpuan.

Buku perubatan yang bercakap panjang lebar dari segi teknikal sahaja tidak akan dapat membantu pesakit. Tulislah buku yang dapat membantu pesakit anda sepenuhnya.

Termasuk di dalam kategori ini ialah buku-buku perubatan alternatif yang terbukti secara saintifik dapat membantu pemulihan pesakit.
Pendidikan & Perguruan.

Pelita ialah jenama yang kami gunakan untuk klasifikasi buku-buku perguruan.

Pertama, kami mencari buku-buku dalam bidang perguruan yang dapat dimanafaatkan oleh golongan guru. Objektif buku dalam kategori ini ialah untuk membantu meningkatkan kemahiran, kecekapan dan juga memudahkan tugas-tugas guru. Buku yang memberikan teori secara ringkas, dan lebih menekan kepada ‘bagaimana’ menjadi tumpuan kami.

Kedua, jenis buku yang juga menjadi tumpuan kami ialah buku dari guru kepada guru lain. Bagi guru-guru cemerlang di seluruh negara, kongsilah pengalaman, tips dan teknik yang anda gunakan sehingga dapat menjadi guru cemerlang.

Ketiga, kami juga berminat menerbitkan buku-buku perguruan yang dapat digunakan sebagai buku teks dalam Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM). Penulis mestilah mempunyai latar belakang akademik dan kepakaran di dalam topik yang ingin ditulis.
Pengurusan Organisasi.

Bahan-bahan yang ditulis secara praktikal, padat dan mudah dibaca untuk mereka yang berada dalam posisi pengurusan. Pengurus ini boleh merangkumi mereka yang berada di dalam perkhidmatan kerajaan dan juga mereka yang berada di sektor swasta.

Kebanyakkan pengurus datang daripada pelbagai disiplin yang bukan pengurusan secara khusus. Perkara-perkara seperti pengurusan sumber manusia, undang-undang, kewangan, perniagaan dan sebagainya menjadi cabaran yang bukan kecil.
Keusahawanan & Perniagaan kecil/sederhana SMI.

Panduan asas kepada usahawan yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan. Panduan untuk usahawan tidak sama seperti pengurusan di organisasi besar.

Topik asas seperti undang-undang asas penubuhan syarikat, pengurusan kewangan, kutipan hutang, pakej kewangan yang ada ditawarkan, percukaian dan lain-lain tajuk yang sesuai. Bahan-bahannya ditulis secara praktikal, padat dan mudah dibaca oleh para usahawan.

Projek seperti direktori perniagaan kecil (SMI) juga boleh dipertimbangkan.
Pengurusan Kewangan Peribadi.

Hari ini keperluan perancangan kewangan individu semakin kompleks. Tajuk-tajuk yang membantu pengurusan dalam bidang ini seperti Sistem Taksiran Sendiri (STS), Caruman KWSP, Unit Amanah, Pelaburan ekuiti dan juga produk-produk kewangan di pasaran boleh diterbitkan.
Dakwah dan Kefahaman Islam.

Masyarakat Islam hari ini menghadapi cabaran yang bukan sedikit. Kami menyokong penuh usaha-usaha dakwah dan juga kefahaman Islam. Sebagai salah satu cara kami menyumbangkan tenaga ke arah ini, kami menerbitkan dan menyebarkan buku-buku dalam bidang ini.
Wanita & Keluarga.

Kejora ialah siri buku-buku terbitan PTS yang spesifik ditujukan kepada pembaca wanita moden. Buku kejora memfokus kepada perkara seperti keibu-bapaan, kesihatan wanita, perhubungan dan komunikasi dan lain-lain.
Bagaimana dengan topik dalam Bidang lain?

Sila berhubung dengan kami. Hantarkan cadangan anda ke Bahagian Editorial [email protected]

Tentu sekali kami berminat untuk melihat cadangan dalam bidang-bidang lain. Apa yang kami senaraikan di sini tidaklah lengkap. Ini hanyalah apa yang editor dan bahagian pemasaran fikir sesuai untuk bacaan umum. Anda mungkin ada idea lain yang baik.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024