Artikel

Membina Komitmen Rakan-rakan

oleh Helmi pada 22 Oct 2004

Pastikan anda betul-betul mengenal pasti bentuk komitmen yang perlu dilakukan demi menjayakan sesuatu misi. Kemudian, barulah anda mencanangkannya kepada rakan-rakan yang lain. Jika anda asyik tergagap-gagap dan salah memberikan maklumat, keyakinan mereka terhadap anda akan merosot.

Adakan suatu perjumpaan bagi membentangkan bentuk komitmen yang perlu dilakukan oleh semua. Ketika ini anda memerlukan kemahiran membuat pembentangan. Pastikan mereka semua benar-benar memahami apakah bentuk komitmen itu dan apakah akibat jika tidak berjaya melakukan yang terbaik.

Motivasikan mereka. Beri kata perangsang yang boleh mendorong motivasi dalam diri mereka untuk memberikan komitmen secara sukarela dan dalam keadaan yang penuh kefahaman. Anda boleh terangkan dengan cara yang lebih menarik apakah faedah dan manfaat yang akan mereka peroleh jika berjaya melakukan seperti apa yang dirancang.

Beri peluang untuk mereka bersuara. Benarkan mereka memberi komen, menyatakan pendapat dan mengemukakan soalan. Bina komunikasi dua hala yang membenarkan lontaran idea dan pendapat disuarakan secara terbuka. Memang memerlukan masa, tetapi ia sebenarnya sangat positif bagi membina suatu hasil kerja berpasukan yang mengagumkan.

Dengar dan telitikan komen susulan daripada mereka. Beri masa kepada mereka. Anda sudah pun menggunakan masa anda untuk pembentangan dan penerangan dari awal tadi. Jadi sekarang, apa salahnya jika anda duduk sebentar dan dengar apa yang orang lain cakap pula. Jangan asyik mencelah dan hendak tunjuk pandai pula.

Kenal pasti apakah bentuk komitmen yang boleh diberikan. Beri masa kepada setiap ahli untuk berfikir. Kemudian, suruh mereka nyatakan dengan jelas bentuk-bentuk komitmen yang mereka mampu lakukan. Buat dalam senarai mengikut keutamaan.

Kenal pasti apakah harapan dan hasrat daripada mereka. Berlawanan daripada sebelum ini, ahli juga diminta berfikir apakah komitmen yang dia perlukan daripada orang lain. Buat dalam bentuk prioriti juga. Dengan kedua-dua senarai komitmen dan harapan ini, bincangkan bagi mengagihkan kerja-kerja dan tugasan supaya masing-masing dapat saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Minta kepastian dan kata putus daripada mereka. Minta semua memberikan ikrar janji setia untuk memberikan komitmen dalam perkara tersebut. Bina ayat-ayat ikrar janji setia yang jelas dan boleh menambahkan semangat semua ahli pasukan yang lain. Sebut setiap seorang, atau secara beramai-ramai. Mungkin nampak seperti ringkas, tetapi ianya sangat berguna untuk prestasi dan masa depan sesebuah pasukan itu.

Selesaikan masalah dan krisis secara berpasukan. Ini akan dapat mengukuhkan ikatan pasukan dan membina semangat kerja berpasukan yang baik. Minta setiap orang memberikan idea dan alternatif bagi mencari penyelesaian terbaik. Setiap orang mempunyai kemahiran dan pemikiran yang tersendiri; ini akan menghasilkan idea-idea gabungan yang cukup menarik dan kreatif.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024