Artikel

Tukar Tempat Kerja?

oleh Helmi pada 22 Oct 2004

Analisis diri; berapakah ‘nilai dan harga’ diri anda sekarang? Setinggi mana kelulusan anda? Sebanyak mana pengalaman anda? Adakah anda seorang yang dikenali sebagai seorang yang cemerlang? Adakah anda mempunyai bukti untuk itu? Berapa anugerah yang anda terima? Selepas itu, tanya pula kepada diri sendiri; adakah anda ‘dilayan’ setaraf dengan ‘harga dan nilai’ anda di tempat kerja sekarang? Adakah anda berpuas hati? Adakah peluang untuk anda lebih dihargai di tempat sekarang?

Apakah kemahiran dan bakat yang anda miliki? Selidik dengan teliti apakah kemahiran dan bakat anda. Kadangkala kita terlepas pandang kebolehan kita sendiri. Buat senarai kursus-kursus yang pernah anda hadiri dan sejauh manakah anda mampu mempraktikkan latihan-latihan tersebut. Jika anda mempunyai kemahiran yang sukar ditemui, mungkin anda mempunyai peluang yang cerah bagi mendapatkan pekerjaan baru yang lebih memuaskan.

Sejauh manakah anda boleh menerima risiko? Jika anda berhenti, bagaimana untuk menyara hidup? Selama mana duit simpanan anda mampu bertahan? Bayangkan perkara paling buruk yang mungkin berlaku dan tanya kepada diri sendiri; adakah anda mampu menanganinya? Adakah ia lebih teruk daripada keadaan sekarang? Berapa lama anda dijangka untuk berada dalam keadaan itu?

Apakah pekerjaan yang anda idam-idamkan? Ia biasanya suatu pekerjaan yang serasi dengan jiwa, minat, dan cara hidup anda. Suatu pekerjaan yang menjadikan hidup anda lebih ceria dan bersemangat. Tetapi kerja yang macam mana? Tentukan juga pekerjaan yang menyebabkan hidup anda tidak bermakna dan membosankan. Kemudian, bandingkan dengan keadaan yang ada sekarang.

Senaraikan perkara yang anda suka terhadap sesuatu pekerjaan. Kenapa anda sukakan pekerjaan tersebut? Kerana kadar gajinya? Tugasan dan bidang tugasnya? Saiz dan keadaan organisasi? Rakan sekerja dan rakan-rakan satu pejabat? Atau mungkin kerana budaya organisasi?  Buatl analisis secara ikhlas berpandukan keinginan dalam diri anda sendiri.

Dapatkan maklumat mengenai peluang yang ada. Dapatkan maklumat syarikat, badan-badan atau jabatan-jabatan yang mungkin boleh memberikan kepuasan kerja seperti yang anda inginkan. Ia mungkin di luar dan mungkin juga jawatan dalam organisasi anda sekarang. Analisis sama ada ianya benar-benar akan memberikan apa yang anda mahukan ataupun tidak.

Buat perancangan. Selepas membuat keputusan, buatlah suatu perancangan ringkas organisasi pilihan pertama dan kedua (jika anda ingin bertukar tempat kerja). Kemudian, jangkakan apakah masalah dan halangan yang akan berlaku jika anda memohon ke jawatan tersebut. Rancang bagaimana menghadapi masalah tersebut dan strategi yang baik. Tentukan bersama rangka masa untuk melakukan semua itu.

Teliti secara halus tawaran yang anda peroleh. Buat penilaian terhadap kelebihan dan kekurangan tempat itu, berbanding tempat kerja anda sekarang. Sejauh manakah perbezaan itu? Yang manakah lebih diperlukan? Berapa gaji? Apakah ganjaran dan faedah lain? Berapa lamakah tempoh bekerja? Bagaimana dengan kos pengangkutan?

Jika anda tidak berapa pasti, dapatkan nasihat daripada orang lain. Jika anda sudah mendapat tawaran kerja, tetapi tidak berapa yakin untuk membuat keputusan; bertanya kepada orang lain yang lebih tahu. Seeloknya ia daripada kalangan rakan yang anda percayai, serta tidak berat sebelah dalam memberikan pendapat. Jika dia pernah bertukar kerja, ia adalah suatu pengalaman yang baik untuk ditimba daripadanya. Elakkan bertanya kepada orang yang dengki dan berhati busuk; kerana mereka mungkin akan merosakkan perancangan anda nanti.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024