Artikel

Mempengaruhi Orang Atasan

oleh Helmi pada 22 Oct 2004

Sentiasa membuat persediaan sebelum berjumpa mereka. Jangan melangkah ke pejabat mereka dalam keadaan bingung dan tidak pasti. Dapatkan fakta-fakta penting mengenai apa yang hendak diperkatakan. Ingat, pendapat anda mungkin ditolak mentah-mentah jika tiada hujah dan data yang menyokongnya. Semakin kronik sesuatu perkara itu, semakin penting persiapan yang mesti dilakukan.

Jangka apakah reaksi orang atasan dengan apa yang anda cadangkan. Bayangkan apakah soalan dan pertanyaan yang akan muncul di mulut mereka. Bersedia memberikan jawapan yang baik dan berpengaruh. Berlatih seumpama hendak menghadiri suatu temu duga. Berdiri di hadapan cermin dan ucapkanlah jawapan-jawapan yang sepatutnya.

Bentangkan idea anda dengan ringkas, mudah dan padat. Jangan berjela-jela bercakap perkara yang tidak perlu. Orang atasan biasanya tiada banyak masa untuk semua ini. Kadangkala, semakin lama anda bercakap, semakin tidak yakin orang atasan terhadap anda. Jika anda diberikan masa sepuluh minit, gunakanlah masa sepuluh minit itu untuk meyakinkan dia mengenai idea anda; ataupun anda akan ditinggalkannya kerana membuang masanya sahaja.

Mulakan dengan kehangatan. Berikanlah ucapan selamat yang ikhlas daripada hati yang bersih. Hulurkan salam dan genggam dengan penuh bertenaga (tapi jangan patahkan jari majikan anda!) Pandang matanya dengan penuh berseri dan tunjukkan anda benar-benar menyukai orang atasan anda itu.
Jangan menokok-tambah. Jika idea tersebut ada kelemahan, terangkan kepadanya apakah bentuk kelemahan itu. Jangan berkata bahawa ianya sempurna dan cacat-sifar. Berikan gambaran yang sebenar terhadap apa yang ada sekarang. Orang atasan bukanlah terlalu bodoh untuk ditipu. Lambat laun, pasti mereka akan tahu juga.

Sentiasa kelihatan positif dan optimis. Tonjolkan keyakinan terhadap kejayaan dan keberkesanan idea-idea anda itu. Tunjukkan mimik muka dan bahasa badan yang meyakinkan orang yang mendengarnya. Elakkan tingkah laku yang menunjukkan ketegangan dan kegusaran.

Jika dia bercakap, berikan tumpuan dan respons. Berikan tumpuan yang tajam dan respons yang memuaskan. Ini akan memberikan tanggapan anda memang benar-benar hendak memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepadanya. Ia menunjukkan anda tidak akan mengecewakannya.

Jika tidak berjaya, cari alasan untuk bertemu lagi. Fikirkan alasan yang munasabah untuk bertemu semula. Alasan itu perlu kukuh, jika tidak, anda akan kelihatan seperti seorang penyibuk yang hanya tahu menghabiskan masa orang lain. Satu taktik yang menarik ialah; jika dia menegur sesuatu perkara dalam kertas kerja tersebut, beritahulah anda akan membuat pembetulan dan akan datang semula menunjukkan hasil pembetulan tersebut. Bahkan ia akan memberikan imej anda seorang yang cekap!

Ucapkan terima kasih dan penghargaan. Sebut secara jelas dan terperinci kenapa anda berterima kasih. Apakah ciri-cirinya yang perlu diberi penghargaan. Biasanya orang akan rasa lebih berdiplomasi apabila dipuji dan dihargai. Tetapi ingat, jangan sampai mengampu.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024