Artikel

Memburu Buku di Petaling Jaya Book Expo (PJBX)

oleh Hidaya Arshad pada 26 Jul 2019

Petaling Jaya kini diiktiraf sebagai Bandar Pembelajaran 2019 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Pada 31 Januari 2019, Petaling Jaya telah dinobatkan antara 10 bandar di dunia yang menerima pengiktirafan Bandar Pembelajaran 2019 kerana kejayaan dan inisiatif Majlis Bandaraya Petaling Jaya dalam menyemarakkan bidang pendidikan.

Bersempena dengan pengiktirafan ini juga, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) menganjurkan Ekspo Buku Petaling Jaya juga dikenali sebagai Petaling Jaya Book Expo (PJBX).

PJBX 2019 membariskan 30 penerbit buku tempatan yang akan membawakan pelbagai bahan bacaan untuk semua lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, pelajar universiti, kanak-kanak, juga golongan dewasa. Antara penerbit yang terlibat adalah Dewan Bahasa & Pustaka, Sasbadi, Pelangi, Karangkraf, PTS, Al-Ameen Serve, Buku Fixi, Legen Press, Dubook Press, Ana Muslim, Must Read, Galeri Ilmu, UUM Press, dan banyak lagi.

PJBX 2019 turut mengadakan pelbagai aktiviti untuk para pengunjung. Maskot Didi & Friends dan Omar & Hana akan membuat kemunculan pada 30 Julai dan 4 Ogos 2019. Antara aktiviti lain adalah ‘Sembang Kopi Learning City’, sesi bercerita, bacaan sajak, pertandingan mewarna, aktiviti kraftangan, serta aktiviti anjuran Perpustakaan Negara Malaysia - Malaysian Board on Books for Young People (MBBY).

Penganjuran PJBX 2019 mempunyai objektif bagi memupuk dan menyemai budaya membaca di kalangan penduduk Petaling Jaya serta sekitarnya. Ia menawarkan variasi bahan bacaan dengan harga menarik dan diskaun sehingga 80%. Ini bagi membolehkan para pengunjung memilki dan menikmati buku yang mereka idamkan.

PJBX 2019 akan berlangsung selama enam hari bermula dari 30 Julai (Selasa) sehingga 4 Ogos 2019 (Ahad) bertempat di Dewan D’Kelana, Kompleks Sukan Kelana Jaya, Petaling Jaya dan dibuka bermula dari jam 10 pagi sehingga 9 malam (Selasa sehingga Khamis, Ahad) dan 10 pagi sehingga 12 tengah malam (Jumaat dan Sabtu).

*Sumber daripada Kenyataan Akhbar Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024