Artikel

Mengurus untuk Hasil Cemerlang

oleh Helmi pada 20 Oct 2004

1. Tetapkan standard yang tinggi. Pilih pasukan yang benar-benar berkeupayaan dan berkaliber. Latih mereka dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Kita tidak boleh berkompromi dalam bidang latihan dan pendidikan. Pastikan setiap orang mempunyai pembahagian tugasan yang jelas dan cukup. Ramai orang lemah semangat bukan kerana terlalu banyak kerja, tetapi kerana tidak ada kerja. Jangan selalu biarkan mereka rasa selesa dan malas, sentiasalah berusaha meningkatkan kecekapan dan prestasi mereka.

2. Berikan arahan yang jelas. Arahan kepada diri kita sendiri dan rakan-rakan di sekeliling. Mesti pastikan apa yang hendak dicapai, termasuk sasaran, jangka masa, dan standard yang diperlukan. Tetapkan prioriti dan buat yang lebih utama dahulu. Jangan cuba hendak buat banyak perkara dalam satu masa.

3. Membuat keputusan yang bijak setiap masa. Setiap masa kita akan perlu membuat keputusan. Belajarlah bagaimana mengendalikan otak kita supaya ia dapat melahirkan keputusan dan idea yang bijak. Jangan tergopoh-gapah. Bertenang, tarik nafas, dan gunakanlah otak kita. Walaupun bunyinya ringkas sahaja, tetapi berapa ramai orang yang tidak tahu melakukannya. Cubalah!

3. Kekalkan penguasaan dan kawalan. Pastikan kita tahu apa yang berlaku di sekeliling kita. Sentiasa mengemas kini maklumat berkaitan dengan perkara-perkara yang penting.
4. Tetapkan sistem laporan yang ringkas tapi menyeluruh. Kita boleh membuat mesyuarat atau mengarahkan orang lain menghantar laporan pada kita. Apa yang penting, jangan biarkan diri kita termangu-mangu.

5. Beritahu mereka apa yang kita lakukan. Jika kita seorang bos, kita menjadi tumpuan dan fokus orang lain. Mereka rasa seolah-olah kita adalah milik mereka. Berkongsilah dengan mereka apa yang kita sedang lakukan, dan nyatakan pula alasan kita bertindak sedemikian. Dengan itu, mereka lebih berpuas hati memiliki seorang ketua seperti kita.

6. Hadapi permasalahan, bukan lari. Ada orang yang tidak mahu berhadapan dengan krisis dan konflik. Mereka terus menjadi pelarian dan hidup dalam ketakutan. Kita perlu mempunyai rasa tanggungjawab dalam bekerja. Berterus-teranglah dengan pekerja dan ketua kita apabila berlaku krisis, dan carilah jalan penyelesaian sebelum ia jadi lebih meruncing.

7. Iktiraf pencapaian. Setiap kali orang lain menyelesaikan tugasan mereka, berilah pandangan susulan kita. Kenal pasti hasil-hasil yang baik dan berikan pujian dengan penuh keikhlasan. Sebut dengan jelas perkara yang kita berpuas hati. Jangan lupa mengucapkan terima kasih atas usaha dan kesungguhan mereka. Apa yang penting, kita tidak berpura-pura dan jangan pula terlebih melampau dalam membuat penilaian.

8. Memberi dorongan dan motivasi. Sebelum orang lain perlu motivasi, kitalah orang yang pertama memerlukannya. Binalah karisma dan keyakinan diri supaya kita dapat menjadi pendorong orang lain dalam mencapai matlamat bersama. Walau-pun motivasi ini tidak dapat dilihat oleh mata kasar, kuasanya sangat besar dan berguna untuk kejayaan.

9. Sediakan perancangan alter-natif. Hari tidak selalu cerah, air tidak selalunya tenang. Sering kali timbul perkara-perkara yang dapat menggagalkan rancangan kita. Kenal pasti satu tahap bila rancangan kita akan dianggap sebagai gagal, dan beralihlah kepada perancangan alternatif. Jangan biarkan kita dan orang lain terus mengayuh basikal tidak berantai dan meng-habiskan komitmen kita secara sia-sia.

10. Disiplin dan dedikasi. Tiada apa yang lebih penting jika ingin berjaya melainkan dua perkara ini. Tingkat kedua-duanya dalam diri kita dan rakan-rakan di sekeliling. Ia bukanlah senang. Jika ia mudah, sudah pasti semua orang boleh berjaya.
Resipi lain untuk dihidang bersama
Resipi 12, 20, 42

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024