Artikel

Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris patut dikaji semula

oleh Helmi pada 22 Oct 2004

SAYA tertarik pendapat Orang Kampung dari Sungai Petani, Kedah 20 Oktober lalu kerana memberi pendapat yang bernas dan masuk akal. Beliau jelas amat prihatin dan meneliti tahap pelajaran anaknya apatah lagi sedar anaknya agak lemah.

Keadaan diburukkan lagi berikutan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Saya pasti ibu bapa yang ada anak pada Tahun 1 dan 2 bersetuju dengan cadangan beliau supaya Kementerian Pelajaran menimbang semula untuk mengajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa Melayu.

Saya juga ibu yang amat prihatin terhadap pembelajaran anak-anak dan sentiasa memantau kerja sekolah serta kertas ujian dan peperiksaan yang diberikan oleh guru.

Daripada pemerhatian saya, standard soalan ulang kaji ataupun ujian dan peperiksaan yang disediakan pihak sekolah atau Kementerian memang mencabar.

Ia amat berbeza sekali ketika saya belajar di sekolah rendah. Kadangkala saya berasa seolah-olah soalan yang diberikan terlalu sukar bagi anak peringkat umur sebegitu.

Saya juga terpaksa ‘bertungkus-lumus’ mengajar anak pertama saya (yang kini pada Tahun 3) mengenai istilah dan konsep di dalam subjek Matematik. Seperti yang dimaklumkan oleh ‘Orang Kampung’, memahami istilah mungkin tidak susah tetapi berlainan pula dengan konsep.

Kalaulah saya sudah bertungkus-lumus mengajar anak dalam bahasa Melayu sejak dari Tahun 1 hinggalah di Tahun 3, saya ibaratkan diri saya sekarang sebagai ‘separuh mati’ mengajar seorang lagi anak yang belajar di Tahun 1.

Bukan saja saya perlu mengajarnya segala istilah dan konsep dalam subjek Matematik tetapi juga subjek Sains dalam bahasa Inggeris.

Tidak dinafikan anak sekarang ramai yang cerdik dan mudah menerima pembelajaran dan ada juga segolongan mereka yang belajar pada Tahun 1 dan 2 mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan pertengahan dan akhir tahun.

Namun begitu, kita tidak harus pula mengetepikan segolongan lagi anak yang masih belum dapat menguasai kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris.

Saya yang menganggap diri saya ‘separuh mati’ dalam mengajar bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains adalah seorang graduan jurusan ekonomi dan bertugas sebagai penulis sejak tamat pengajian di universiti serta banyak menulis artikel di dalam bahasa Inggeris dan Melayu.

Saya bukanlah cekap sangat dalam subjek bahasa Inggeris ketika di sekolah rendah ataupun di sekolah menengah.

Saya ditawarkan biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana mendapat keputusan baik dalam subjek lain selain bahasa Inggeris.

Memang tidak dinafikan, saya dan beberapa rakan seangkatan yang tidak mahir berbahasa Inggeris menghadapi kesukaran pada peringkat awal kursus pra-universiti kerana semua pelajaran diajar di dalam bahasa itu.

Namun, saya berjaya menamatkan pelajaran dan ketika berada di luar negara, saya tidak menghadapi sebarang kesukaran dari segi menerima pembelajaran ataupun berkomunikasi dengan orang ramai.

Benarlah seperti apa yang dikatakan oleh ‘Orang Kampung’, bangsa lain seperti Jerman, Perancis, Jepun, Korea dan China maju bukan kerana bahasa Inggeris tetapi kesungguhan dan komitmen mereka terhadap pendidikan yang menyeluruh.

Saya pasti cerdik pandai negara seperti saintis dan penyelidik serta tokoh korporat yang sebaya saya juga dididik dengan bahasa Melayu ketika mereka di sekolah rendah dan menengah sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.

Malah, ada di kalangan mereka yang mencipta nama dan mengharumkan negara dalam bidang yang diceburi masing-masing.

Seperti beberapa penulis ruangan ini iaitu Saishah, Anak Watan dan Orang Kampung, saya berharap Datuk Hishammuddin Hussein dapat menimbangkan semula isu pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Janganlah sudah terhantuk baru terngadah dan janganlah tunggu sehingga prestasi Ujian Penilaian Sekolah Rendah 2008, baru hendak mengubah keadaan.

RINA WAJA
Cheras, Selangor.


<http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Rencana/20041021090325/Article/>

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024