Artikel

Mengangkat Martabad Peradaban Melalui Bahasa.

oleh Helmi pada 19 Jul 2004

Besar dan gah bunyinya tajuk tulisan ini. Bagi pejuang bahasa dan golongan yang percaya akan pentingnya jati diri dan besarnya peranan bahasa dalam pembentukan peradaban, pernyataan seperti pada tajuk itu biasa sahaja.Memang itulah perjuangan dan idealisme mereka.

Bagi golongan yang paksi hidupnya terarah pada kekayaan kebendaan dan kemewahan duniawi, pernyataan seumpama itu mungkin ditanggap dengan sinis. Apatah yang ada pada bahasa? Apatah yang ada pada budaya? Kita tidak bisa maju hanya dengan bahasa dan budaya, kata seorang yang berpengaruh, dalam satu pertemuan pada bulan September 2002.

Kita lupakan sahaja sikap dan pendirian golongan kedua itu kerana pada sepanjang sejarah manusia, memang akan senantiasa ada jenis manusia yang memandang remeh akan aspek-aspek dalaman jati dirinya kerana teledor oleh kejahilannya sendiri.

Dari sudut falsafah dan agama, bahasa merupakan kurniaan istimewa dan penting kepada manusia. Bahasa senantiasa ditautkan dengan akal, yang juga kurniaan istimewa dan penting kepada manusia. Istilah haiwan natiq atau rational animal yang digelarkan kepada manusia justeru merujuk kepada peranan akal dan bahasa sekali gus dalam pembentukan konsep diri insan. Diri insan terbahagi kepada dua juzuk utama, iaitu diri yang batin dan diri yang zahir. Diri yang batin, iaitu akal, kalbu, nafsu dan hati merupakan penguasa diri yang zahir, yang mengarahkan segala gerak dan laku anggota tubuh.

Pada akal itulah bahasa ditautkan, dengan peranannya pada satu segi membantu akal menanggap dan memberikan makna segala sesuatu dan pada segi yang lain menjadi saluran pernyataan apa-apa yang ada dalam akal. Dengan itulah maka manusia dapat memahami, menaakul, menafsirkan dan menyimpulkan sesuatu fenomena di dalam akalnya dan semua proses itu menggunakan bahasa. Demikianlah, segala yang telah dicernakan dalam akal itu kemudian dizahirkan menjadi pernyataan-pernyataan ilmu, maklumat, teori, hipotesis, pendapat dan sebagainya, juga melalui bahasa sebagai wahananya. 

Dengan adanya bahasalah ilmu dapat dibina dan dikembangkan, kerana bahasa, sebagaimana menurut Ferdinand de Saussure, merupakan paduan antara lambang (bentuk-bentuk bahasa seperti bunyi, kata, frasa dan ayat) dengan idea atau isi lambang itu.

Isyarat bahawa pembinaan dan pengembangan ilmu berkaitan rapat dengan bahasa dinukilkan Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 31 melalui kisah pengurniaan bahasa kepada Nabi Adam sebagai manusia pertama di dunia. Allah mengurniai Nabi Adam bahasa (nama, sifat dan kegunaan segala ciptaan dan kejadian di alam) kerana melalui bahasalah segala sesuatu yang berkaitan dengan ilmu dapat dihuraikan.

Maka itu, fungsi utama bahasa dalam kehidupan insan ialah menjadikannya berilmu, baik dalam bidang yang berkaitan dengan ketuhanan mahupun yang berkaitan dengan kehidupan duniawi.

Ulama besar, al-Ghazali dalam menggariskan pengelasan ilmu, meletakkan bahasa sebagai ilmu asas atau prasyarat untuk penguasaan ilmu yang umum dan yang khusus. Bagi ahli tafsir, tiadalah muncul ilmu tafsir tanpa ilmu bahasa kerana al-Qur’an ditafsirkan berdasarkan kekuatan ilmu nahu dan saraf.

Dalam pembinaan peradaban manusia seluruhnya, dari zaman dahulu lagi, faktor bahasa memang senantiasa menjadi begitu penting. Tamadun Yunani dan Rumawi, misalnya, tegak atas kesepaduan segala unsur utama, termasuk bahasa. Dalam zaman itulah (peradaban Yunani mula terbina sejak beberapa abad sebelum Masihi) berkembang suburnya tradisi ilmu, termasuk pengajian bahasa.

Peradaban umat Islam pun ditandai oleh kekuatan bahasa yang bersumberkan bahasa al-Qur’an, sehingga pada zaman Abbasiyyah, ribuan karya ilmu dan persuratan dalam pelbagai bidang dapat dihasilkan dan sebahagian besarnya menjadi sumber inspirasi pertumbuhan ilmu sains dalam tradisi Barat.

Yang melibatkan diri kita pula ialah pertumbuhan dan perkembangan peradaban Melayu yang juga ditandai oleh kekuatan bahasa sehingga muncul tradisi ilmu dan persuratan di pelbagai pusat peradaban Melayu seperti di Melaka, di Pasai, di Aceh, di Patani, di Banjarmasin, di Riau Johor dan sebagainya.

Kini kita kaitkan pula faktor bahasa dengan pembentukan peradaban dalam konteks sezaman. Negara kita mencapai kemajuan sebagai hasil perancangan yang rapi dan secara bersepadu sejak sebelum kemerdekaan.

Yang termasuk dalam perancangan rapi dan bersepadu itu ialah perancangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, selain sebagai bahasa perpaduan dan bahasa rasmi pentadbiran.

Alhamdulillah dalam tempoh lebih kurang 30 tahun pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang bertunjangkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama, lebih 5 juta lepasan sekolah telah dapat dikeluarkan, sebahagiannya melanjutkan pengajian di maktab dan di universiti dan akhirnya mereka itulah yang menjadi penggerak pembangunan dan kemajuan negara dalam pelbagai bidang.

Masih tetap yakinlah kami bahawa faktor bahasa tetap penting dan tidak patut dikesampingkan dalam perancangan pembangunan negara walau dengan tujuan apa sekalipun. Letakkanlah sasaran untuk memandaikan anak bangsa dalam bidang-bidang termoden dan tercanggih.

Letakkanlah impian untuk menjadikan anak bangsa kita setara dengan warga negara maju. Tiada salahnya meletakkan sasaran dan impian itu, malah mulia sekali langkah itu. Usah kita kongkong benak anak bangsa.

Bukalah minda mereka seluas-luasnya kepada dunia dan untuk itu mereka memerlukan penguasaan bahasa-bahasa asing yang penting. Kami setuju 100 peratus.

Hanya harapan satu-satunya yang patut dipertimbangkan ialah bahawa biarlah segala impian, harapan dan sasaran murni untuk anak bangsa kita itu dilaksanakan dengan tidak sampai mengurangkan perhatian kepada pengukuhan jati diri dan nilai diri bangsa, termasuk soal bahasa kita sendiri. 

Peradaban kita mestilah dibina dan ditegakkan dengan berasaskan jati diri dan kekuatan warisan bangsa – dalam hal sistem nilai, akhlak dan budaya bangsa yang pernah menjadi bangsa besar dalam sejarah dunia. Syukurlah, permulaan yang baik ke arah pewujudan kesinambungan itu sudah digerakkan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Mudah-mudahan penempatan peranan bahasa Melayu dalam segala gerak pembangunan negara akan segera menjadi dasar negara.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024