Artikel

Mengurut Ego Lelaki

oleh Helmi pada 20 Jul 2004

SESETENGAH pakar mengatakan lelaki lebih manja daripada perempuan, maka itulah sebabnya lelaki yang gagah ataupun yang garang sekalipun boleh menjadi lemah apabila berada dalam tangan perempuan yang pandai memanjakannya.

Salah satu cara memanjakan lelaki yang amat mereka sukai ialah dengan mengurut semua anggota tubuhnya. Itulah sebabnya lelaki berasa amat bertuah apabila mendapat isteri yang suka mengurut tubuhnya. Tetapi ego lelaki lebih besar daripada ego perempuan. Memang lelaki suka badannya diurut perempuan, tetapi lelaki lebih suka kepada perempuan yang pandai mengurut egonya.

Jari-jari adalah alat mengurut tubuh lelaki. Ada juga teknik mengurut tradisional yang menggunakan bahagian pangkal tapak tangan, siku dan kaki. Lain alat yang digunakan, lain sensasi yang dikecap.

Dalam bidang urut-mengurut komersial, ada dua jenis perkhidmatan mengurut badan yang ditawarkan kepada lelaki. Perkhidmatan yang pertama ialah urutan bagi tujuan menyihatkan jasmani semata-mata. Selepas diurut mereka rasa badan mereka sihat.

Perkhidmatan yang kedua ialah urutan badan juga tetapi tujuannya ialah untuk menyegarkan emosi dan ego lelaki. Selepas diurut mereka rasa bukan hanya tubuh badan mereka sihat tetapi ego mereka turut sihat. Kedua-dua perkhidmatan ini dilakukan oleh pakar-pakar yang berlainan dan mereka menggunakan alat-alat dan teknik-teknik yang sangat berlainan.

Ego lelaki, seperti tubuh mereka, selalu letih dan penat disebabkan faktor-faktor seperti tekanan kerja dan masalah. Bagi setengah-setengah lelaki, apabila mereka balik kerja, ego dan jiwa mereka bertambah-tambah letih disebabkan layanan yang mereka terima daripada isteri di rumah.

Bagaimanakah caranya ego lelaki yang penat dapat disegarkan semula? Alat bagi mengurut ego lelaki ialah kata-kata. Untuk mengurut ego lelaki, bercakaplah dengannya menggunakan gaya bahasa yang ‘mendukung’. Gaya bahasa inilah yang berfungsi merapatkan jarak psikologi antara pasangan. Antara kemahiran komunikasi yang sangat tinggi nilainya ialah kemahiran mengucapkan kata-kata yang ingin didengar oleh orang yang mendengarnya.

Apabila lelaki bercakap kepada pasangannya, dia bukan mahu mendengar satu ataupun dua perkataan sebagai jawapannya. Dia mahu mendengar lebih daripada kata-kata itu. Dia mahu mendengar apa yang ada di sebalik kata-kata pasangannya itu. Jadi, sebelum bercakap bagi mengurut ego lelaki, fikirkan dahulu apa keperluan jiwanya.

Kata-kata yang sangat ingin didengar oleh lelaki daripada bibir perempuan ialah kata-kata yang ‘mengesahkan’ apa yang diucapkannya. Jawapan yang tidak mengesahkan ialah jawapan yang mengatakan lelaki itu salah, silap, tidak betul, bodoh dan seumpamanya. Lelaki ingin mendengar perempuan memberitahunya dia betul, pandai dan baik.
Ada beberapa jenis jawapan yang digemari oleh lelaki. Jenis pertama ialah jawapan yang dengan cara terus terang mengesahkan kata-katanya. Tidak ada dolak-dalik lagi. Kata-kata seperti, “Betul kata abang itu.” ataupun “Saya setuju dengan pandangan abang.” ataupun “Abang betul.” ataupun “Kalau begitu kata abang, saya terima.” ataupun “Saya dapat rasakan apa yang abang rasa.” ataupun “Kalau saya dalam kedudukan abang, saya pun akan buat apa yang abang buat.” adalah kata-kata yang menyukakan ego lelaki.

Pengesahan jenis ini adalah yang paling penting dan yang paling digemari lelaki. Apabila isteri berkata begitu, dengan jelas dia memberitahu suaminya dia nampak sebagaimana suaminya nampak.

Jenis kedua ialah jawapan yang menggambarkan perasaan positif si isteri. Jawapan jenis ini pun sangat digemari oleh suami, dan ia sangat penting diucapkan oleh isteri supaya suami tahu apa yang dipercakapkannya membuat isterinya suka. Perasaan positif termasuklah rasa suka, seronok, gembira, lega, lapang, syukur dan lain-lain perasaan apabila mendengar apa yang dikatakan oleh si suami.

Lelaki suka mendengar kata-kata seperti, “Saya puas dengan abang.” ataupun “Saya suka apa yang abang beri.”, ataupun
“Seronoknya, abang dah balik!”, ataupun “Abang ni pandailah usik saya!” ataupun “Saya gembira abang sudah berjaya.” ataupun “Tahniah, abang.” ataupun “Abang memang hebat!” Kata-kata seperti itu sangat memenuhi keperluan jiwa lelaki. Ia membuat mereka berasa diri mereka istimewa dan berbeza daripada lelaki lain. Ia amat memenuhi keperluan ego suami.

Jawapan jenis ketiga ialah jawapan yang menyatakan persetujuan. Kebanyakan isteri, apabila mereka bersetuju dengan pendapat suami, mereka diam-diam sahaja. Perbuatan begitu tidak menyeronokkan hati suami. Jadi, katakanlah dengan jelas kita bersetuju dengan suami.

Apabila bersetuju katakan kepada lelaki, “Saya setuju dengan abang. Idea itu memang baik.” ataupun “Saya sokong pendapat abang.” ataupun “Betul kata abang itu.” ataupun “Saya boleh terima pandangan abang.” Menyokong lain, mendukung lain. Menyokong bermakna isteri bersetuju dengan pendapat suami. Mendukung bermakna isteri dapat merasakan apa yang suami rasakan.

Ada kalanya lelaki bercakap-cakap bukan disebabkan dia mempunyai sebarang idea, pendapat ataupun cadangan yang hendak disampaikan kepada pasangannya. Sebaliknya dia cuma mencari ketenangan jiwa. Mungkin dia mencari orang yang bertimbang rasa ataupun mengerti apa yang sedang dialaminya. Mungkin dia cuma mencari hiburan dan sokongan sahaja. Jadi, ucapkanlah kata-kata yang lelaki itu mahu dengar.

Perempuan yang pandai mengurut ego lelaki tahu ada beberapa bentuk ayat yang tidak boleh digunakan apabila melayan lelaki bercakap. Ayat-ayat itu disebut ayat-ayat penafian. Kita dikatakan menafikan sesuatu apabila kita mengatakan perkara itu salah. Contoh ayat penafian ialah seperti, “Cakap awak itu salah.” ataupun “Abang ni merepek sahajalah!” ataupun “Bohonglah abang ni!” ataupun “Takkan macam itu pulak! Tidak masuk akal sahaja bunyinya.” ataupun “Abang ni mengarutlah!” ataupun “Eh! Orang tua ni buang tabiat kah?”

Kata-kata begini sangat menyakitkan hati lelaki. Apabila mendengar kata-kata perempuan seperti itu, maka ego lelaki pun kemik. Tabiat suka bercakap dengan gaya ini sangat merosakkan perhubungan. Inilah antara faktor-faktor mengapa ada lelaki tidak seronok hendak bercakap-cakap dan berbual-bual dengan perempuan.

Lazimnya, apabila berlaku keretakan pada hubungan, pihak perempuanlah yang lebih banyak menanggung kesannya. Oleh itu adalah bijaksana jika perempuan belajar cara-cara menjaga ego lelaki dan memelihara keharmonian hubungan dan rumah tangga.

Tidak dinafikan kemahiran berkomunikasi juga amat penting bagi lelaki, tetapi sekiranya salah satu pihak sanggup memulakan langkah pertama, itu pun sudah sangat besar faedahnya. Jangan tunggu sampai pasangan berubah dahulu baru hendak mengubah cara-cara sekarang. Jangan terperangkap dalam pemikiran ‘ayam dengan telur’. Isu mencipta kebahagiaan untuk suami demi keuntungan diri si isteri sendiri bukannya isu ayam dengan telur.

Tukar cara-cara bercakap yang salah menggunakan cara-cara yang betul. Nanti, dengan sendirinya, apabila ego lelaki sudah sihat dan segar di dalam rumah sendiri, dia akan mengubah cara layanan yang dia gunakan sekarang dengan cara layanan yang lebih baik.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024