Artikel

Menetapkan Matlamat

oleh Helmi pada 19 Oct 2004

Resipi Satu

Menetapkan Matlamat

1. Anda bukan dari sekolah tadika dan terus masuk ke universiti. Anda tahu matlamat paling asas dan paling utama apabila datang ke universiti. Ibu bapa, guru-guru, abang, kakak, atuk dan nenek sudah menyebutnya. Sekiranya anda masih terlalai ataupun terlupa akan matlamat ini, maka hidup anda di universiti kelihatan menuju kegagalan. Oleh itu, tetapkan matlamat itu sekarang. Jangan tunggu esok. Mulakan sekarang!

2. Jangan simpan matlamat dalam otak sahaja. Tulis supaya kita nampak! Buat senarai matlamat jangka pendek, sederhana dan jangka panjang. Gunakan senarai bagi memastikan matlamat harian tercapai. Dengan ini kita akan lebih fokus dan tidak tergelincir. Selain itu, dengan melihat matlamat yang ditetapkan setiap hari kita boleh menyemak, mengubah suai ataupun mengingatkan diri tentang keutamaan perkara-perkara yang perlu dilakukan.

3. Setiap orang sebaik-baiknya ada senarai panjang matlamat yang hendak dicapai dalam hidup ini. Dalam senarai ini kita tidak mampu melakukannya sekali gus. Ada yang perlu didahulukan maka perlu diutamakan. Mana yang boleh dikemudiankan perlulah dikemudiankan. Cuba melakukan semua hanya meletihkan diri dan tidak memberikan hasil terbaik. Tetapkan keutamaan mengikut kepentingan anda. Selesaikan mengikut keutamaan dan keupayaan diri.

4. Matlamat yang tidak jelas ataupun terlalu umum tidak cukup kuat bagi mendorong diri maju ke depan. Bagi matlamat yang kuat, tidak cukup anda menyatakan anda mahu cemerlang di kampus. Cemerlang yang bagaimana? Sebaik-baiknya anda menyatakan, “Saya ingin mencatatkan PNGK lebih daripada 3.3 semester ini dan mewakili universiti dalam badminton.” Contoh lain, “Saya akan menjadi jurutera profesional yang bekerja dengan syarikat petroleum antarabangsa” ataupun, “Saya akan menjadi diplomat yang bekerja di PBB.” Semakin khusus matlamat anda, maka semakin jelas sasaran yang anda tuju. Ia akan lebih memudahkan anda menyemak dan memastikan matlamat ini dicapai. Setelah berjaya, anda boleh beralih kepada matlamat seterusnya.

5. Apabila kita menetapkan matlamat yang hendak dicapai, ia perlulah berupaya meletakkan diri kita ke suatu tahap yang lebih tinggi. Matlamat ini perlu mencabar keupayaan diri tetapi masih dalam jangkauan untuk dicapai. Ia memerlukan usaha di luar zon selesa. Namun begitu, matlamat ini memerlukan anda rasional dengan keupayaan diri. Sekiranya suara anda boleh merosakkan telinga, tidak masuk akal anda boleh menjadi penyanyi soprano. Namun begitu anda boleh bertolak ansur dengan menjadi pemuzik ataupun konduktor orkestra profesional.

6. Matlamat tidak terlaksana dengan sendiri. Perancangan, tindakan, usaha dan disiplin amat diperlukan dalam proses men-zahirkan matlamat ini. Matlamat jangka panjang di puncak gunung hanya dicapai dengan mendaki satu persatu mata tangga-tangga batu yang menjadi matlamat-matlamat jangka pendek. Sebagai contoh, adalah bagus anda menetapkan matlamat mencapai PNGK 4.0 setiap semester. Namun, ini tidak bermakna anda tidak membuat kerja lain selain belajar, belajar dan membaca buku. Bersukan, bersosial dan nikmatilah hidup di menara gading kerana kenangannya nanti tidak akan berulang semula Pencapaian PNGK 4.0 itu hanya nombor. Hidup ini terlalu mahal untuk diukur sekadar dengan nombor.

7. Ramai orang hanya suka melihat kejayaan sebagai sumber inspirasi. Adakah orang yang berjaya itu sentiasa berjaya dan tidak pernah gagal? Sebenarnya, orang yang tidak pernah gagal adalah orang yang tidak berbuat apa-apa! Jangan mengaku kalah hanya kerana sedang menghadapi masalah. Kegagalan akan menang apabila kita berhenti mencuba dan berusaha.

8. Kita tidak menulis matlamat hidup ini atas papan batu. Ada waktu-waktunya kita perlu duduk merenung diri berkenaan perjalanan hidup terutama semasa di kampus. Mungkin di tahun pertama kita masih kabur tetapi meningkatnya usia sepatutnya kita meningkatkan kematangan. Semak semula sasaran dan matlamat anda sama ada jangka pendek, sederhana ataupun jangka panjang. Sekiranya perlu dan anda pasti ia sudah tersilap, jangan ragu-ragu untuk mengubahnya secara total.

9. Pecah-pecahkan matlamat anda. Mungkin matlamat anda terlalu banyak sehingga nampak sukar. Bahagikan ia kepada tahunan, bulanan, mingguan dan harian. Sekiranya anda hendak mengumpulkan sebanyak RM100,000.00 dalam masa 30 tahun, berapakah duit yang perlu anda tabungkan setiap hari? Berapa banyak yang hendak dimasukkan ke dalam akaun pelaburan setiap bulan?

Catatan Seorang Anak Saudara

Saya ada seorang pak cik. Pangkat bapa saudara sepupu sebelah abah. Umur lewat 40-an. Sejak kecil hidup susah dan selepas berkeluarga, hidup sederhana dengan kerja kerani di UPM, Serdang. Walau hidup sederhana tetapi murah rezeki dengan anak. Ada 13 orang semua setakat cerita ini ditulis. Saya tidak pasti berapa lelaki dan berapa perempuan. Nama anak-anaknya pun saya ingat yang tiga paling tua. Dia tidak ada kereta ataupun motor. Ulang-alik pergi kerja tumpang kereta kawan. Bayar bulan-bulan.

Semenjak saya pandai membaca, saya sudah tahu dia menduduki STPM setiap tahun. Selama bertahun-tahun sebenarnya. Cita-citanya cuma satu iaitu hendak masuk universiti. Mungkin rezeki tidak ada barangkali, dia sentiasa hampa. Tapi niat baik itu pasti ada jalannya. Beliau pergi berjumpa Naib Canselor memohon nasihat dan bantuan. Kata si Naib Canselor, “U kerja di universiti… kalau tak nak belajar tak tau saya nak cakap apa!”
Ok! Dia terima cabaran NC tetapi untuk melaksanakannya berat. “Syed… I tak larang U nak belajar tetapi kerja-kerja office U kena buat juga,” kata si ketua jabatannya antara mendorong dan menghalang. Apabila dia pergi ke kelas tiga jam maknanya dia kena balik tiga jam lewat. Kadangkala kena tidur terus di pejabat ataupun di masjid universiti.
Sewaktu mendengar khabar pakcik saya belajar di UPM sambil kerja dengan segala kesusahan begitu, saya jadi tidak yakin langsung. “Paling-paling pun enam bulan sahaja dia tahan”, cekel hati kecil saya. Tahun-tahun terus berlalu dan saya tidak begitu mendengar sangat tentang berita pakcik saya itu. Maklumlah saya waktu itu juga sibuk dengan pengajian peringkat M.Sc dan keluarga pula tinggal di Pahang. Setiap minggu ulang-alik. Penat!

Di satu majlis keraian keluarga saya terjumpa dengan pakcik saya itu. Masih kurus macam dulu. Kasihan melihatnya begitu. “Macam mana study ami?”, tanya saya dengan telinga sudah bersedia dengan jawapan yang saya rasa saya akan dengar. “Patutnya dah tamat dah, tapi tidak apalah… kita enjin lama, buatlah perlahan-lahan”, jawabnya sambil senyum-senyum tanpa tahu apa ada dalam hati saya.
“Hah? Masih lagi ke…” tanya saya terperanjat. Bukan terperanjat dia kena lanjut tempoh pengajian tetapi macam mana dia boleh tahan bertahun-tahun begitu. “Result ok?”, saya menyerang lagi tetapi sudah mula kagum.
“Boleh la… sekarang ni PNGK 3.4 sikit-sikit. Ingat mahu dapat 1st class tapi dah tak boleh lagi dah. Kalau dapat semua A pun subjek yang tinggal ni pun tak dapat 3.5”. Masa itu muka saya rasa tebal semacam. Malu pun ada.
“Apasal ami susah-susah macam ini, bukan boleh buat apa pun? Sudah boleh kira hari hendak pencen!”, tanya saya hairan.
“Saja hendak cabar anak-anak. Kalau walid dia sudah tua pun boleh buat dengan susah payah macam ini, diorang tidak faham jugak tak tau la hendak cakap apa lagi”.
“Ok… ok… nanti bila hendak konvo bagi tahu la. Kena panggil orang paper ni! Mesti interview. Yang direndam tak empok, dibakar tak hangus macam ni la yang patut orang tahu”, kata saya sambil senyum-senyum kelat pahit.
Benar dan sesungguhnya benar. Beliau naik ke pentas konvokesyen dengan Kelas Kedua Atas. Sikit sangat lagi hendak dapat Kelas Pertama.
Sekarang beliau masih bekerja dan belajar. Buat Sarjana. Saya takut hendak tanya lagi. Ini bukan kes di bakar tidak hangus, tetapi langsung tidak dimakan api!


Resipi Enam

Etika Masa Seorang Mahasiswa

1. Selamatkan masa, kenal pasti ‘pencuri-pencuri’ masa anda. Lihat jadual waktu yang anda ada. Adakah anda terlebih meluangkan masa pada sesuatu yang tidak penting? Sekiranya anda hanya perlukan sedikit masa, kenapa hingga menghabiskan sebahagian besar masa? Katakan anda hilang 30 minit bagi satu kerja tidak penting, dan ada tiga tugasan seperti itu. Maknanya, dalam masa sehari, anda sudah ‘hilang’ satu jam setengah. Bagaimana sekiranya tujuh hari? Banyak bukan? Oleh itu, kenal pasti dari sekarang apakah perkara-perkara yang telah ‘pencuri’ curi masa anda dari sekarang.

2. ‘Taat’ pada jam anda. Jam adalah penunjuk kepada waktu dan perjalanan setiap hari. Anda membuat jadual waktu juga mengikut kepada waktu-waktu. Ramai orang tidak menyedari betapa ‘berkuasanya’ jam yang mereka miliki. Jam sepatutnya ‘ditaati’ sekiranya anda ingin berjaya dan cemerlang dalam hidup. Jangan ‘berdalih-dalih’ dengan jam anda; menangguhkan kerja, lewat, membazirkan masa, tidak tepati janji, dan sebagainya.

3. ‘Hormati’ jadual waktu anda. Selain ‘mentaati’ jam, anda juga perlu ‘menghormati’ jadual waktu anda. Anda sudah memerah otak bagi memikirkan jadual yang ter-baik untuk anda. Anda mem-buatnya dengan penuh motivasi dan keyakinan hendak berjaya dalam hidup. Tiba-tiba, anda ingin ‘mempermainkannya’? Di mana letaknya harga diri anda apabila anda ‘memperlekehkan’ hasil usaha keyakinan diri anda? Hormatilah diri anda sendiri. Hormatilah jadual waktu anda.

4. Isi masa-masa yang ‘tersembunyi’. Sedar ataupun tidak, terdapat banyak masa ‘tersembunyi’ yang dapat dimanfaatkan. Contohnya semasa anda sedang menunggu bas, dalam perjalanan ke rumah, menunggu rakan-rakan di padang, selang antara dua waktu dan banyak lagi. Apa yang biasa pelajar lakukan pada ketika ini? Berbual? Bersembang? Termenung? Dan banyak lagi yang belum tentu mendatangkan faedah kepada diri mereka. Jangan begitu. Isilah masa-masa ini dengan sesuatu yang berfaedah. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

5. Jadilah seorang ‘pencuri’ masa. Orang yang bijak bukan sahaja pandai menggunakan masanya, tetapi juga pandai menggunakan masa orang lain. Bagaimana? Mereka pandai bekerjasama dengan rakan-rakan di sekelilingnya untuk melakukan kerja bersama. Sekiranya ada yang kelapangan dan membuang masa, dia akan mengagihkan kerja dan kerja secara berpasukan. Tetapi, ini tidak bermakna anda perlu menjadi pemalas. Mengagihkan tugasan bukan bermakna lari daripada tugas. Ia adalah dua perkara yang berbeza. 

6. Tukar tabiat masa. Tukar daripada tabiat melengahkan kepada tabiat cekap dan pantas. Daripada pemalas kepada rajin dan bersemangat. Daripada membuang masa kepada memanfaatkan masa. Bagaimana? Binalah sikap baru dalam diri anda. Mulai hari ini, pandanglah diri anda sebagai seorang yang menghargai masa. Anda tidak akan menjadi juara sekiranya anda sendiri tidak memandang diri anda sebagai seorang juara. Andalah yang perlu mengiktiraf diri anda sebelum orang lain mengiktirafnya. Oleh itu, pandanglah diri anda sebagai orang yang menepati masa, menghargai jadual waktu, cekap, serta cemerlang dalam menguruskan kerja dan waktu.

7. Ada orang lain yang lebih sibuk. Orang yang berjaya sememangnya melakukan banyak perkara sebelum berjaya. Sekiranya anda tiada masa hendak mensia-siakan masa anda, mungkin itu satu petanda anda sedang melalui liku-liku mereka yang berjaya. Jangan berpatah balik sekarang. Teruskan lagi perjuangan anda!

8. Masa adalah emas dalam tanah. Apa yang anda perlu lakukan adalah melombong dan mencanainya supaya menjadi barang kemas yang cantik dan berharga. Emas dalam tanah yang tidak diterokai tidak akan memberi apa-apa faedah kepada manusia. Oleh itu, lombonglah sekarang! Dan sedarilah masa itu adalah emas. Sekiranya anda inginkan emas, anda perlu melombongnya terlebih dahulu. Selepas itu, ia perlu dibersihkan daripada lumpur dan kotoran. Kemudian, ia perlu dipanaskan dalam relau yang sangat panas dan akan ditempa dengan lembut dan berhati-hati. Begitu juga dengan masa anda. Ia akan menjadi emas yang cantik sekiranya anda berusaha dan tekun bagi menjadikannya begitu.

9. Bantulah orang lain. Memberi bantuan kepada orang lain secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran anda mengenai kualiti masa anda sendiri. Apabila anda menolong orang lain, anda seolah-olah ‘memasuki’ ke dalam masa mereka. Apabila ini berlaku, anda akan dapat membandingkan dengan masa anda dan kemudiannya anda akan berusaha lebih bagi menambahkan kecemerlangan masa anda.

Catatan Seorang Pensyarah

Situasi:
Seorang pelajar siswa melangkah masuk ke bilik saya selepas mengetuk pintu dan memberi salam. Wajah berkerut tanda ada sesuatu yang tidak kena. “Encik lapang ke? Saya ada perkara mahu bincang sikit”. “Saya sibuk sekarang ini. Sekejap lagi ada mesyuarat di HEA,” jawab saya lurus.
“Saya ada masalah ni!”, jawab siswa itu. Nadanya sedikit mendesak.
Oleh kerana ingat Piagam Pelanggan Universiti yang menjadi majikan saya, otak ligat mencari ruang membantu pelajar dan tidak tertinggal mesyuarat sebentar lagi.
“Ok lah… kamu ada masalah… baiklah! Tapi sebelum kamu bercakap, saya mahu tanya sikit kamu ni,” kata saya.
“Isteri kamu tidak sihat ke?”. “Saya belum kahwin lagi encik!” jawab si siswa terperanjat.
“Ok! Belum kahwin maknanya tidak ada anak, emak ayah kamu di kampung tidak sihat ke?” sambung saya. “Tidak, semuanya sihat!”, jawab siswa makin keliru.
“Bagus! Ada adik beradik kamu masuk hospital sakit tenat ke?” “Tidak!”
“Kamu pula, sihat ataupun tidak?”
“Saya sihat Encik.”
“Duit ada… cukup belanja?”
“Cukup… baru dapat PTPTN!”, jawab siswa. Dia mula faham.
“Habis itu apa masalah kamu?”
“Rasanya saya tidak ada masalah besar cik semua ok, under control!” si siswa mula senyum.
“Hah!... macam itulah saya mahu pelajar kursus saya,” sambil memegang bahu pelajar itu. “Nanti bila kamu sudah kerja, meeting pukul 2.30… hah!  itu baru big problem!!” gurau saya.
“Terima kasih encik!”, jawab si pelajar tersenyum lega sambil melihat saya bergegas mengemas kertas hendak ke bilik mesyuarat.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024