Artikel

Mengurus Bos Kita

oleh Helmi pada 20 Oct 2004

1. Bina kesefahaman dan keserasian. Kita perlu kenal pasti standard dan tabiat kerja ketua kita. Kemudian, rancang bagaimana hendak menyesuaikan gaya kerja kita dengan dia. Berlatih memandang sesuatu daripada perspektif seorang ketua, dan cubalah memahaminya. Dalam masa yang sama juga, kita perlu memastikan ketua kita mampu melihat sesuatu daripada perspektif kita.

2. Pastikan maklumat penting dimaklumkan. Jangan biarkan kita semua bekerja dalam situasi yang penuh dengan kejutan dan curiga. Pastikan ketua kita tahu apa yang sepatutnya dia tahu. Jika tiba-tiba dia tahu sesuatu yang penting daripada orang lain, ini hanya akan memerangkap kita. Jika ini berlaku, takut-takut dia rasa curiga dan boleh menyebabkan konflik.

3. Tunjukkan inisiatif. Dengan ini kita akan dapat membina pengaruh kita terhadap ketua kita. Dia juga akan lebih bergantung kepada kita. Tetapkan matlamat untuk menjadi orang yang paling berkemampuan dan berpengalaman. Tetapi ingat, jangan sesekali kita melangkah bendul, kerana ini menyebabkan kita kelihatan seperti seorang yang berlagak dan berpura-pura.

4. Kemukakan penyelesaian, bukan masalah. Jika kita meng-hadapi masalah, kalau boleh tunggu dahulu sehingga kita dapat mencari penyelesaian. Jangan cepat-cepat mengadu masalah kepada ketua kita, jika kita rasa dapat me-nyelesaikannya. Jika kita asyik merengek dan mengadu, lama-kelamaan dia akan bosan dan mengetepikan kita. Tetapi jangan pula menyembunyikan masalah yang perlu dilaporkan segera. Kita lebih arif menentukan yang mana satu.

5. Berikan sokongan. Walau sehebat mana ketua kita, dia masih perlukan bantuan dan sokongan daripada kita. Kenali kelemahan dan kekurangannya, dan cuba untuk membantunya mengatasi masalah yang timbul. Ini sangat perlu dalam hubungan pekerja dan majikan.

6. Mencari persetujuan bersama. Walaupun sudah ada bidang tugas dan tanggungjawab yang dimeterai dalam kontrak, masih banyak ruang kosong yang mesti diterokai dan dipersetujui bersama. Apabila berlaku kekurangan, segera berbincang untuk mengetahui apakah yang sepatutnya dilakukan. Mungkin tidak ramai ketua dan bos yang sudi berbincang dengan pekerja mereka, tetapi jika kita memberikan pandangan dan meminta tunjuk ajar, mungkin dia akan memberikan kerjasama. Elakkan daripada saling mencurigai dengan mencari kata sepakat dan persetujuan.

7. Jika tidak bersetuju, lakukan dengan positif. Ada masanya kita tidak bersetuju dengan bos kita. Dalam keadaan begini, kita perlulah positif. Jangan sesekali bertindak emosional dan berfikiran negatif. Bercakap dengan hujah, fakta dan statistik dan bukannya atas dasar pendapat dan emosi semata-mata. Jika kita ingin lebih diterima, cadangkan bersama penyelesaian dan alternatif.

8. Jadilah orang yang jujur dan berterus terang. Jika kita tidak dapat lakukan, berbincang dengan ketua kita. Jangan berpura-pura hebat dan serba boleh. Lama-kelamaan dia pasti dapat mengesan-nya.
9. Jangan mengampu. Ada orang yang asyik memuji dan mengangkat bos mereka. Memang-lah pada peringkat awal kita disukai oleh bos. Tetapi tabiat sebegini tidak membawa kita ke mana-mana, kerana jika kita tidak dapat membuktikan prestasi yang baik, kita akan terus berada di takuk yang lama. Lebih teruk lagi, kita akan dicemuh oleh rakan-rakan kita yang lain.
10. Tunjukkan rasa hormat kita. Bukan seperti mengampu, menunjukkan hormat datangnya daripada hati yang ikhlas. Fokus kepada kebaikan yang ada pada ketua kita, dan bina rasa hormat kepadanya. Ini bukan bermakna bos kita sentiasa betul, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu ingat, dia adalah bos kita.

Resipi lain untuk dihidangkan bersama
Resipi 29,34

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024