Artikel

Wanita dan Rokok

oleh Helmi pada 24 Nov 2004

Soalan
Saya berumur 30 tahun dan akan berkahwin tidak lama lagi. Masalah saya adalah ketagihan merokok. Saya memulakan tabiat ini sejak di bangku sekolah lagi. Saya risau kesannya kepada janin apabila saya hamil dan agak sukar bagi saya untuk berhenti merokok. Apakah kesan buruk merokok secara amnya dan semasa hamil? Bagaimanakah caranya untuk berhenti merokok?

Jawapan
Walaupun sudah diketahui bahaya merokok, kira-kira 3 juta manusia termasuk setengah juta wanita setiap tahun meninggal dunia akibat kesan merokok. Malangnya, peratusan individu yang merokok tetap meningkat terutamanya di kalangan remaja dan wanita.

Banyak kajian yang dilakukan berkaitan dengan rokok dan masalah kesihatan. Banyak usaha yang dilakukan bagi menggalakkan perokok berhenti merokok dan menghalang remaja daripada memulakan tabiat ini.

Di Malaysia, umum difahami bahawa merokok adalah makruh mengikut hukum Islam. Ada juga pandangan sebahagian ulama seperti Yusuf Qardawi berpendapat merokok adalah haram. Sheikh Yusuf Qardawi berpendapat begitu berasaskan kepada kaedah bahawa setiap muslim tidak dibenarkan makan ataupun minum sesuatu yang memudaratkan tubuh badan. Muslim itu bukan hanya milik dirinya sendiri, tetapi milik agama dan umatnya.

Hidup, kesihatan, harta dan seluruh nikmat yang diberikan Tuhan kepada individu itu adalah amanah. Oleh itu, dia sepatutnya menjaga amanah ini dengan sebaik-baiknya. Di dalam Quran, surah al-Baqarah ayat 195, Allah melarang manusia membinasakan diri. Ayatnya membawa maksud, “Jangan kamu mencampakkan diri-diri kamu kepada kebinasaan.”

Di bawah disenaraikan kesan-kesan merokok iaitu:
1.Kesan pada sistem pernafasan: Merokok secara aktif (penghisap rokok) ataupun pasif (orang yang tidak merokok tetapi menghidu asap rokok) boleh menyebab-kan serangan asma yang lebih kerap. Ia juga meninggikan risiko jangkitan radang paru-paru. Keadaan ini berlaku kerana merokok melemahkan proses semula jadi pembersihan atau mucociliary paru-paru. Merokok juga menyebabkan masalah batuk, berkahak dan susah bernafas.

2.Kesan terhadap sistem kardiovaskular (jantung dan saluran darah): Merokok adalah penyebab utama penyakit jantung, meninggikan risiko angin ahmar, meninggikan risiko enam kali ganda pendarahan di dalam otak (subarachnoid haemorrhage) dan menyebabkan masalah pada saluran darah arteri tersumbat pada bahagian kaki ataupun tangan.
Risiko saluran arteri tersumbat dan lemah jantung lebih meninggi 20 kali ganda bagi wanita yang merokok serta menggunakan pil perancang yang mengandungi kedua-dua hormon estrogen dan progestogen. Risiko ini bertambah dengan umur dan pil perancang jenis ini tidak diberikan kepada wanita yang merokok dan berumur lebih daripada 35 tahun. Merokok meninggikan kadar kolesterol dalam darah dan kadar ini menurun apabila individu itu berhenti merokok.

3.Kesan pada sistem ketahanan: Merokok mengurangkan keberkesanan sistem ketahanan badan. Kajian menunjuk-kan perokok lebih senang dijangkiti virus HIV. Pesakit yang dijangkiti HIV (HIV positif) dan pada masa yang sama merokok, lanjutan mendapat penyakit AIDS adalah lebih cepat berbanding dengan pesakit HIV yang tidak merokok.

4.Penyebab barah: Barah paru-paru, tekak, saluran esofagus, perut, pankreas, buah pinggang dan pundi-pundi kencing semuanya berkait rapat dengan merokok. Barah-barah jenis ini menjadi penyebab kematian dalam jumlah yang besar di kalangan wanita.

Masalah merokok dan kehamilan:
1.Risiko keguguran secara tabii meninggi sehingga 27 kali ganda.

2.Kadar kandungan luar rahim lebih tinggi. Keadaan ini disebabkan oleh kesan nikotin terhadap fungsi silia pada tiub Fallopio.

3.Terdapat bahan kimia dalam rokok yang mempunyai kesan toksik kepada uri. Manakala, nikotin pula menyempitkan saluran darah di dalam uri. Oleh itu, pembesaran janin terjejas dan lazimnya ibu-ibu yang merokok melahirkan bayi yang lebih kecil daripada normal (IUGR: Intrauterine Growth Retardation).

4.Terdapat juga kaitan antara perokok dengan kematian bayi dalam kandungan. Keadaan ini berlaku kerana masalah uri yang tidak dapat menyalurkan darah kepada bayi dengan berkesan.

5.Placenta praevia di mana uri terletak pada bahagian bawah rahim dan menutupi saluran kelahiran dan placenta abruption iaitu uri terpisah daripada dinding rahim sebelum kelahiran bayi berlaku lebih kerap kepada ibu-ibu yang merokok.

6.Kelahiran pramatang juga berlaku lebih kerap kepada ibu-ibu yang merokok.

Masalah kepada anak yang dilahirkan oleh ibu yang merokok adalah:
1.Bukti yang kuat mengesyorkan bahawa merokok boleh menyebabkan SIDS (Sudden Infant Death Syndrome) iaitu kematian bayi secara mengejut lazimnya di tempat tidur. Lazimnya, SIDS berlaku pada bayi yang berumur 2 hingga 4 bulan.

2.Kajian juga menunjukkan pencapaian pendidikan kanak-kanak yang mempunyai ibu yang merokok adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan yang tidak.

Saudari dinasihatkan berjumpa doktor bagi mendapat nasihat dalam usaha berhenti merokok terutamanya sebelum saudari kahwin dan hamil. Beberapa cara yang boleh diamalkan untuk berhenti merokok adalah:

1.Persediaan minda terutamanya untuk melalui rasa gian antara 2 hingga 4 minggu pertama selepas berhenti merokok. Saudari akan berasa lebih baik selepas masa ini berlalu.

2.Buangkan semua rokok yang ada dan barang-barang yang berkaitan dengan rokok.

3.Elakkan suasana yang menekan.

4.Elakkan kawan-kawan ataupun persekitaran yang menggalakkan merokok.

5.Jangan cepat putus asa dan jangan sekali-kali mengambil walaupun sebatang rokok sekurang-kurangnya selama setahun.

6.Gunakan duit yang dapat disimpan kerana tidak membeli rokok untuk membeli sesuatu yang berharga ataupun membeli sesuatu secara berkala seperti majalah.

7.Banyakkan berdoa supaya usaha ini dapat diteruskan dan mendapat sokongan daripada keluarga, kawan dan masyarakat amnya. Menguatkan iman dan bertekad untuk menjaga amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin.

8.Rangsangan dari luar seperti iklan dan paparan pujaan remaja yang merokok perlu diberhentikan.

9.Memperbanyakkan ilmu pengetahuan berkenaan gejala merokok dan melihat sendiri kesan buruknya terhadap manusia.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024