Artikel

Mengenali Jahiliah Sezaman

oleh Helmi pada 28 Aug 2004

Jahiliah adalah isme-isme, falsafah dan cara hidup yang tidak berasaskan al-Quran dan Sunnah. Pada hari ini, ia menonjol dalam pelbagai bentuk dan rupa seperti komunisme, sosialisme, demokrasi dan sebagainya. Said Hawa di dalam al-Asas fit Tafsir berkata: “Zaman jahiliah bukanlah suatu zaman yang mempunyai tarikh yang khusus di dalam sejarah. Ia sebenarnya adalah suatu keadaan yang berlaku apabila hukum hakam dan syariat yang berhubung dengan kehidupan ditentukan mengikut kehendak hawa nafsu manusia terpisah daripada minhaj dan syariat yang ditetapkan Allah. Jika sesuatu zaman dan tempat mempunyai ciri-ciri ini, ia telah menepati ciri-ciri jahiliah”.

Berpandukan definisi ini, jahiliah tidak hanya wujud pada zaman sebelum kebangkitan nabi, sebaliknya ia boleh wujud pada setiap zaman termasuk pada zaman pasca-moden ini. Allah mengutuk orang-orang yang reda dengan cara hidup jahiliah.

Berhubung dengan ini, menurut nabi: “Allah paling murka pada mereka yang beragama Islam tetapi mengikut landasan jahiliah dan juga pada mereka yang ingin menumpahkan darah seseorang tanpa hak.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tabrani. Ia juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari dengan sedikit tambahan.

Umat Islam perlu mengenali jahiliah yang wujud pada zaman mereka supaya dapat menjauhi dan mencegah kewujudannya. Khalifah Omar al-Khattab pernah berkata, “Akan terungkai ikatan Islam satu demi satu daripada seseorang jika dia hidup tanpa mengenali jahiliah.”

Tiga jahiliah yang agak menonjol pada hari ini adalah Darwinisme yang berkaitan dengan asal usul manusia, konsep Machiavellianisme yang berkaitan dengan nilai kebaikan dan keburukan dalam kehidupan dan sekularisme yang berkaitan dengan pemisahan agama daripada kehidupan.

Darwinisme
Teori Evolusi diasaskan oleh pakar biologi dari England yang bernama Charles Robert Darwin (1809-1882M). Beliau mengutarakan pendapatnya di dalam bukunya yang bertajuk The Origin of Species by Means of Natural Selection pada tahun 1859. Darwin menegaskan, semua makhluk yang hidup, sama ada manusia ataupun haiwan, berasal dari keturunan yang sama (common ancestor).

Keturunan awal ini kemudiannya berubah daripada satu tahap ke tahap yang lain bagi menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang sentiasa berubah. Hasil daripada perubahan-perubahan itu yang memakan masa jutaan tahun, akhirnya lahirlah makhluk kompleks yang bernama manusia.

Jika teori ini benar, kita pasti bertemu dengan makhluk-makhluk pertengahan yang separuh binatang dan separuh manusia, separuh binatang laut dan separuh binatang darat, separuh burung dan separuh haiwan biasa kerana teori evolusi menuntut wujudnya makhluk seumpama itu sebagai bukti kebenarannya.

Namun, hingga ke hari ini makhluk seumpama itu tidak ditemui sehingga pada suatu masa Darwin sendiri meragui teorinya. Di dalam bukunya The Origin of Species beliau berkata, “Jika makhluk-makhluk berubah dari satu spesies ke spesies lain, mengapa tidak ditemui spesies yang pertengahan itu (transitional forms)? Mengapa kehidupan wujud dalam keadaan teratur dan tidak kelam-kabut? Mengapa makhluk penghubung antara satu spesies dengan spesies lain tidak wujud? Perkara inilah yang memeningkan kepalaku selama ini!”

Bagi membuktikan kewujudan spesies pertengahan ini, penipuan dilakukan oleh ahli-ahli sains tertentu. Sebagai contoh, 50 tahun dahulu pakar-pakar dalam bidang evolusi (evolutionist) menggemparkan dunia dengan penemuan sejenis ikan jenis Coelacanth yang dikatakan hidup 410 juta tahun dahulu dan tidak wujud lagi pada hari ini. Bagi mereka, ikan ini adalah bukti kewujudan spesies pertengahan berbentuk separuh ikan dan separuh haiwan darat kerana ia mempunyai paru-paru, otak, sistem penghadaman dan sistem yang membolehkannya berjalan di darat.

Namun, pada 22 Disember, 1938, jenis ikan yang sama ditemui di Laut India diikuti dengan 200 penemuan lain dalam jangka masa beberapa tahun sahaja. Pada hari ini, ahli-ahli sains mengesahkan bahawa ikan Coelacanth ini adalah ikan asli yang tidak ada perkaitan sama sekali dengan spesies pertengahan yang disebutkan oleh pakar-pakar evolusi. Majalah Bilim ve Teknik mendedahkan, apa yang didakwakan oleh mereka berhubung ikan Coelacanth yang mempunyai otak, paru-paru dan sebagainya adalah pembohongan semata-mata.

Begitu juga dengan penemuan tulang rahang dan tempurung otak Piltdown Man yang dikatakan daripada spesies pertengahan antara binatang dan manusia. Tulang ini ditemui di Piltdown, England pada tahun 1912 oleh seorang ahli sains yang bernama Charles Dawson. Selepas beberapa ujian dilakukan, akhirnya pada tahun 1953 didedahkan bahawa tulang rahang itu diambil daripada seekor orang hutan yang baru meninggal dunia dan tempurung otaknya adalah tempurung otak manusia yang sebenar!

Secara dasarnya, teori Darwin menafikan kewujudan Tuhan. Kuasa penentu dalam proses evolusi ini adalah natural selection atau ‘kuasa semula jadi’. Justeru, pengasas teori komunisme, Karl Max mengagumi Charles Darwin sehinggakan di dalam bukunya Das Kapital beliau menganggap dirinya sebagai pengikut setia Charles Darwin.

Islam menentang teori Darwin sebagaimana Islam menentang semua teori yang mengingkari kewujudan kuasa Tuhan. Tambahan daripada itu, nabi bersabda, “Manusia berasal dari Adam dan Adam berasal dari tanah”. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Abu Daud.

Machiavellianisme
Machiavellianisme mengikut Academic Press Dictionary of Science and Technology bermaksud ‘perangai yang cenderung melakukan tipu daya dan putar belit demi mencapai cita-cita dan kehendak peribadi’. Ia diasaskan oleh pemikir dari Florence, Itali yang bernama Niccolo Machiavelli (1469-1527M). Beliau hidup pada zaman kebangkitan Barat yang dikenali sebagai Renaissance.

Antara buku-buku beliau yang terkenal adalah The Prince dan Discourses. Dalam tulisan-tulisan Machiavelli, beliau secara dasarnya membezakan antara ‘kehidupan peribadi’ dan ‘kehidupan politik’ pemerintah. Dalam berpolitik, moral dan agama tidak perlu dijadikan landasan bagi mencapai kejayaan. Justeru, individu dapat menggunakan apa jua cara sekalipun bagi mengekalkan kuasanya. Konsep ini kemudiannya dikenali sebagai Machiavellianisme dan pada hari ini menjadi pegangan yang dianuti oleh ramai orang dalam masyarakat. Konsep nilai yang terkandung dalam Machiavellianisme ini adalah ‘niat membersihkan cara’ atau the end justifies the means.

Sistem nilai ini memberi keutamaan pada kehendak diri serta hawa nafsu. Ia sama sekali tidak mementingkan landasan agama. Mengikut sistem ini, berpolitik secara licik dan zalim demi mengekalkan kuasa adalah halal dan begitu juga dalam aspek-aspek lain. Machiavellianisme amat bercanggah dengan Islam kerana Islam mementingkan kesucian niat dan cara dalam setiap amalan. Berhubung dengan ini, dalam surah al-Baqarah ayat 112, Allah berfirman,  “Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah di samping melakukan kebaikan, baginya ganjaran dari sisi Tuhannya. Tidak ada ketakutan ke atasnya dan dia tidak akan berdukacita.”

Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, “(Ayat ini) menjelaskan, Allah hanya menerima amal yang mempunyai dua kriteria, iaitu pertamanya ikhlas dan keduanya muhsin. Muhsin bermaksud melakukan sesuatu sesuai dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Jika sesuatu amal dilakukan dengan tulus ikhlas tetapi caranya tidak mengikut (syariat) ia tidak diterima (oleh Allah).”

Justeru dalam Islam, di samping niat, cara juga perlu dijaga supaya ia menepati kehendak syariat sama ada yang berkaitan dengan batas-batas hak dan batil, halal dan haram, sah dan batal ataupun sunnah dan bidaah.

Sekularisme
Salah satu isme yang menguasai umat Islam pada hari ini adalah sekularisme. Kalimat sekularisme berasal dari kalimat Latin saeculum dan kalimat Inggeris secularism. Mengikut The American Heritage Dictionary of the English Language: Fourth Edition, kalimat secularism bermaksud “religious skepticism or indifference. The view that religious considerations should be excluded from civil affairs or public education.”

Kenyataan ini bermaksud, “konsep sekularisme memisahkan agama daripada kehidupan dan pendidikan”. Sebagai contoh, dalam konteks Amerika Syarikat, presiden keduanya, John Adams, pernah berkata: “The government of the United States of America is not in any sense founded on the Christian religion.” Ia bermaksud, “kerajaan Amerika Syarikat ditegakkan tanpa berlandaskan agama Kristian sedikit pun”. Hal ini disebutkan di dalam Treaties And The Other International Acts oleh John Adams.

Kesan yang menonjol daripada konsep sekularisme ini adalah siasah dan sistem pemerintahan negara dipisahkan daripada agama. Konsep ini jelas bercanggah dengan Islam kerana dalam surah al-Baqarah ayat 208, Allah berfirman, “Wahai mereka yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu ikut langkah-langkah syaitan. Syaitan merupakan musuh yang nyata bagimu”.

Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata: “Allah mengarahkan hambanya yang mukmin yang membenarkan Rasulnya supaya berpegang dengan segala ikatan Islam dan syariatnya serta melaksanakan ajaran Islam sepenuhnya di samping meninggalkan segala larangannya sedaya upaya mereka…..”

Apabila umat Islam mengutamakan ajaran dan cara hidup yang lain daripada Islam dalam bidang-bidang tertentu, mereka boleh diumpamakan seperti seorang yang membuang nikmat untuk digantikan dengan bala. Dalam surah al-Baqarah ayat 211 Allah berfirman, “Sesiapa yang menggantikan nikmat Allah (dengan yang selainnya) selepas ia dikurniakan dengannya, sesungguhnya Allah amat keras seksaannya”.

Berhubung dengan ayat ini, as-Syeikh Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir berkata, “Antara perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai menggantikan nikmat Allah adalah, menggantikan sistem, undang-undang dan perlembagaan Islam dengan yang lain daripada Islam, menggantikan akhlak Islam dengan etika dan moral jahiliah dan menggantikan kefahaman Islam dengan kefahaman jahiliah. Sebenarnya umat Islam pada hari ini telah melakukan kesemua ini justeru adakah kita berasa pelik apabila akhirnya bala Allah menimpa kita?”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024