Artikel

Menyinari Dunia Melalui Karya Penulisan

oleh Maisarah Hanim pada 12 Oct 2023

Saya telah berada di dalam industri buku hampir tiga tahun. Berada di bahagian pemasaran memberi peluang kepada saya untuk berjumpa dengan ramai penulis. Penulis baharu dan penulis lama semuanya saya jumpa.

Persamaan setiap penulis ini adalah mereka semua mempunyai matlamat tersendiri mengapa mereka menulis sesuatu buku tersebut. Dan matlamat mereka ini sentiasa membuatkan saya kagum dan terkesima kerana mereka berjaya menterjemahkan buah fikiran mereka menjadi sebuah buku.

Bayangkan buah fikiran kita dibaca oleh orang lain juga. Mungkin ada yang bersetuju dengan idea kita, mungkin juga ada yang tidak bersetuju. Namun, setiap orang mempunyai pendapat sendiri yang harus kita raikan.

Ketika saya melakukan temubual bersama Angel_K20, penulis siri Squad Relik, beliau berkongsi tujuan utama menulis siri tersebut. Jawapannya membuatkan saya terlopong. Beliau ingin para pelajar terutamanya pelajar sekolah menengah untuk belajar mengenai Kemunculan Tamadun Awal Manusia dengan cara yang mudah.

Angel_K20 membuat bacaan tambahan untuk memastikan fakta-fakta yang ada dalam novela Squad Relik adalah sahih dan bertepatan dengan silibus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Saya amat kagum apabila mendengar ini dari mulut penulis. Mulianya hati dan bersungguh-sungguh dalam merealisasikan hasrat murni ini.

Saya bersama Angel_K20 & Ejart14
Saya bersama Angel_K20 & Ejart14



Penulis-penulis yang saya temui juga memiliki sifat merendah diri dan ilmu yang tinggi. Untuk menjadi seorang penulis, mereka perlu membaca buku yang lebih banyak terlebih dahulu. Bukan sekadar harus memiliki pena dan kertas, tetapi membaca buku-buku berkaitan sebenarnya menjadikan penulisan itu lebih terisi dengan idea yang kreatif, susunan bahasa yang sedap dibaca bijak perkataannya.

Seperti yang dikongsikan oleh puan Sri Rahayu Mohd Yusop yang menulis siri Kronikel Empat Bahtera, beliau telah menyimpan manuskrip siri ini selama hampir 15 tahun dan akhirnya berjaya juga diterbitkan. Beliau merupakan guru bahasa inggeris tetapi berjaya menerbitkan beberapa karya dalam bahasa melayu. Saya secara peribadi amat kagum dengan mereka yang mampu menguasai kemahiran menulis dan bercakap dalam dua bahasa ini. Dan puan Sri Rahayu antara penulis yang amat merendah diri dengan kelebihan yang beliau miliki. Puan Sri Rahayu juga melakukan kajian menyeluruh untuk buku kedua siri ini iaitu Gadis Boneka Hadrah sehingga beliau telah menghafal fakta-fakta yang ada. Perkara seperti ini menunjukkan bahawa puan Sri Rahayu amat komited dengan dunia penulisan.

Puan Sri Rahayu bersama peminatnya di PBAKL 2023
Puan Sri Rahayu bersama peminatnya di PBAKL 2023



Ada antara lain penulis yang bukan ingin mengejar kekayaan melalui penulisan. Mereka menulis kerana minat mendalam dan ingin cerita mereka dibaca oleh orang lain. Niat murni sebegini sememangnya membuatkan saya berasa seperti insan kerdil kerana memikirkan apa bakti saya kepada anak bangsa yang saya telah tinggalkan.


Tulislah. Kerana tulisan akan kekal.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024