Artikel
Meriahkan Hujung Minggu di Fiesta Seronoknya Cuti 30 November Ini
oleh Amirah Hassan pada 23 Nov 2012
PTS Media Group Sdn. Bhd menganjurkan program ‘Fiesta Seronoknya Cuti’ selama tiga hari bermula 30 November hingga 2 Disember 2012. Program ini adalah kerjasama strategik antara PTS Media Group, mahasiswa bidang Penerbitan dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam, dan Menara Kuala Lumpur selaku penaja lokasi.
Objektif utama program ini adalah menggalakkan budaya membaca dalam kalangan remaja dan kanak-kanak dan secara tidak langsung menyokong penuh ‘Kempen Membaca’ yang disarankan oleh kerajaan. Program ini juga sejajar dengan misi PTS memandaikan bangsa melalui pembacaan buku-buku yang menggunakan bahasa Melayu Tinggi.
Selain itu, acara utama bagi program ini adalah melibatkan 500 orang peserta membaca selama dua jam sebagai simbolik kepada kempen galakan membaca di dewan bankuet Mega View Menara Kuala Lumpur pada ketinggian 288 meter dari aras bumi. Program yang dinamakan 'Membaca Setinggi Awan' merupakan program yang diinspirasikan oleh Y. Bhg. Dato' Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, NAIB CANSELOR, UiTM. Program ini adalah merupakan program yang dianjurkan buat julung kalinya dan merupakan penganjur pertama yang mengadakan bacaan beramai-ramai di menara komunikasi tertinggi di Asia Tenggara.
Selain itu antara aktiviti- aktiviti menarik disediakan khusus bagi menarik perhatian para pengunjung adalah Bazar Buku PTS, Fiesta Komik-M, dan perjumpaan tahunan pembaca bersama novelis remaja terkenal, Ain Maisarah pada 2 Disember.
Bazar PTS ini menampilkan gerai jualan istimewa disokong dengan kehadiran penulis-penulis novel remaja dan kanak-kanak PTS. Secara tidak langsung, para pengunjung berpeluang mengenali buku-buku keluaran PTS dan para penulis dengan lebih dekat selain mendapat potongan harga istimewa dengan setiap pembelian buku.
Bukan itu sahaja, para pengunjung khususnya golongan remaja dan kanak-kanak berpeluang melihat demo melukis komik oleh pelukis komik profesional di Fiesta Komik-M. Fiesta ini juga turut menawarkan lukisan karikatur oleh artis Komik-M. Ia juga membuka peluang kepada peminat komik tanah air mengenali artis dan produk komik tempatan dalam sesi ramah mesra bersama pekomik.
Seramai 300 orang pembaca istimewa akan hadir bagi memeriahkan perjumpaan tahunan pembaca Ain Maisarah dan melakukan aktiviti-aktiviti menarik bersama beliau seperti aktiviti indoor dan outdoor mengikut rumah sukan yang terdapat dalam siri novel Sekolah Sri Bangsar. Para pembaca juga berpeluang menghadiri uji bakat khas bersama novelis ini.
Para pengunjung juga turut disajikan dengan pelbagai aktiviti-aktiviti sampingan yang menghiburkan khas untuk mereka yang mahu bersantai di samping dapat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan. Program seperti ini dapat memberikan galakan secara terbuka kepada orang ramai dalam menyemai sifat suka membaca di peringkat awal.