Artikel

Misteri Sejarah Islam Tarik Minat Muhammad Alexander

oleh Roziyah pada 15 Jun 2010

Sejarah Islam terutamanya mengenai arkeologi quranik yang masih tersimpan pelbagai misteri telah menarik minat Muhammad Alexander untuk terus menulis buku berkaitan sejarah, tamadun dan agama bagi memperluaskan pengetahuan masyarakat.

Pensyarah tetap di Universiti Brawija ini telah menghasilkan buku pertama dalam sejarah yang berjaya membuka misteri siapa sebenarnya tokoh Zulqarnain (pemilik dua tanduk) dalam Al Quran, surah Al Kahfi.

“Berdasarkan analisis kandungan saya, terbukti bahawa Zulqarnain adalah Raja Muda Alexander the Great, putera Raja Philips dari Macedonia, Greek,” ujar Muhammad Alexander.

Menurut Alexander, selama ini semua buku yang membahaskan persoalan Zulqarnain masih kurang disokong oleh fakta atau data yang ilmiah dan cenderung subjektif (kurang adil).

Melalui buku Yakjuj dan Makjuj dan yang terbaru, Alexander adalah Zulqarnain, beliau mahu menyampaikan kepada umat Islam agar rajin membaca, adil, berwawasan terbuka dan menggunakan logik akal sihat dalam membahas apa-apa persoalan.

Hal ini kerana, kisah Zulqarnain terbukti dalam Al-Quran tidak berdasarkan semua sumber barat kuno (Greek- Roman) dan barat moden (mengenai Alexander the Great).

Beliau juga tidak pernah merasa risau semasa menulis topik-topik sensitif malahan bilangan pembaca yang senang dengan penemuan dalam buku tersebut makin bertambah.

“Sekiranya seorang penulis risau ataupun takut, lebih baik jangan jadi penulis,” ujar beliau dalam nada gurauan.

Beliau kini dalam proses menyiapkan novel misteri berkaitan dengan sejarah Islam, serta buku puisi keagamaan, iaitu The Great Walls : Strategi China menghadapi Yakjuj & Makjuj, The Kingdom of Heaven : Perjalanan Isa Al Masih menemui kesesatan bani Israel dan Socrates Alhi Falsafah Athen adalah Luqmanul Hakim.

“Saya ingin buku-buku saya diterjemahkan ke dalam bahasa arab. Saya juga ingin menjalin kerjasama dan tajaan untuk membuat dokumentari filem berkenaan dengan lokasi-lokasi penting bersejarah yang ada dalam kedua buku saya itu,” menurut beliau apabila ditanya harapan terhadap buku-bukunya.

 

Artikel ini dipetik dalam Majalah Pop Club dalam Muka Surat 43, keluaran 28 mei 2010)


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025