Artikel

Sifat Nabi dan Rasul

oleh Helmi pada 15 Jul 2004

Para nabi dan rasul adalah orang perantaraan antara Tuhan dengan manusia. Bagi mencapai matlamat itu, mereka sewajarnya memiliki sifat-sifat yang dapat menjelaskan kedudukan mereka sebagai model ikutan terbaik daripada Tuhan. Secara ringkas, ciri-ciri itu adalah kecerdasan akal, amanah dalam penyampaian, kemuliaan fitrah dan akhlak, terpelihara daripada sebarang kecacatan dan kekurangan mental dan fizikal, serta aspek-aspek lain sesuai sebagai makhluk Tuhan yang terbaik.

Ciri pertama, nabi dan rasul terdiri daripada manusia. Ini berdasarkan kata-kata Tuhan yang bermaksud, “Katakanlah: Sesungguhnya aku ini hanyalah manusia seperti kamu….”1 Ibn Abbas mengatakan Tuhan menggesa nabi supaya mengakui dirinya berasal daripada keturunan Adam sama seperti manusia lain, kecuali dalam aspek-aspek wahyu yang melibatkan keagamaan dan kenabian. Justeru, Tuhan memilih beberapa orang bagi menerima dan menyampaikan wahyu kepada manusia seperti dijelaskan dalam ayat ini, “Rasul-rasul mereka berkata kepada kaumnya: Kami hanyalah manusia seperti kamu, tetapi Tuhan memberikan kurnia kepada sesiapa yang dia kehendaki antara hamba-hambanya. Tidak patut bagi kami mendatangkan suatu bukti kepada kamu melainkan dengan izin Tuhan.…”2

Kenyataan itu bertepatan dengan keterangan Tuhan, “…Aku memilihmu untuk diriku.”3 Ayat ini menunjukkan mereka diberi persediaan bagi menjalankan tugas kenabian dan kerasulan. Tuhan menetapkan setiap nabi dan rasul seperti yang dilakukannya kepada Muhammad. Sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat ini, “Bukankah dia mendapati kamu sebagai seorang yang kekurangan lalu dia melindungimu, dia mendapati kamu sebagai seorang yang kebingungan lalu dia memberi petunjuknya, dan dia mendapati kamu sebagai seorang yang kekurangan lalu dia melengkapkanmu.”4

Halangan terbesar membentengi dan menghalangi manusia daripada beriman kepada Tuhan, disebabkan sifat kemanusiaan seseorang utusan Tuhan itu. Tuhan berkata, “…Tidak ada sesuatu yang menghalang manusia beriman tatkala datang petunjuk kepadanya, kecuali perkataan mereka: Adakah Tuhan mengutuskan seorang manusia menjadi rasul?”5

Golongan yang menentang para nabi hanya menggunakan alasan ini bagi mengingkari mereka. Mereka berkata seperti yang diterangkan dalam Quran, “…Sesungguhnya jika kamu semua mentaati manusia yang seperti kamu, nescaya apabila demikian, kamu benar-benar menjadi orang-orang yang rugi.”6 Alasan ini juga mereka kemukakan kepada Muhammad. Mereka mengatakan lagi, “Bagaimana kita mengikut sahaja seorang manusia biasa antara kita? Sesungguhnya kalau kita begitu, kita benar-benar berada dalam keadaan sesat dan gila?”7

Mereka menuntut supaya diutus seorang malaikat sebagai nabi sebagaimana disebutkan dalam surah Furqan ayat 21. Atau sekurang-kurangnya seorang malaikat bersama-sama dengan nabi itu seperti dinyatakan dalam surah Furqan ayat 7. Namun begitu, malaikat sukar dilihat oleh manusia. Justeru, Tuhan tidak mengutuskan mereka. Tambahan pula, golongan penentang itu sendiri tidak memahami hakikat sebenar seseorang malaikat. Mereka hanya dapat melihat malaikat pada waktu hampir dengan azab kematian. Kata Tuhan, “Pada hari mereka melihat malaikat, pada hari itu tidak ada lagi berita gembira bagi orang-orang yang berdosa.”8

Tuhan menunjukkan rahmat ke atas manusia dengan mengutuskan nabi daripada kalangan manusia supaya mereka dapat memahami, berhubung dan berbincang mengenai perkara yang datangnya daripada Tuhan. Di samping itu, Tuhan mengemukakan jawapan pada persoalan itu, “Tidak ada sesuatu yang dapat menghalangi manusia supaya beriman tatkala datangnya petunjuk kecuali perkataan mereka: Adakah Tuhan mengutuskan seorang manusia menjadi rasul? Katakanlah: Seandainya ada malaikat-malaikat yang berjalan-jalan sebagai penghuni di bumi ini, nescaya kami turunkan dari langit kepada mereka seorang malaikat sebagai rasul.”9

Oleh kerana penduduk bumi terdiri daripada manusia, Tuhan melantik seorang manusia juga sebagai rasul. Tuhan berkata maksudnya, “Sesungguhnya Tuhan memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Tuhan mengutuskan antara mereka seorang rasul daripada golongan mereka sendiri.”10

Seorang rasul yang bukan daripada golongan manusia dan bertutur dengan bahasa asing tidak diutus kepada manusia kerana segala pengetahuan yang disampaikan tidak dapat difahami.11 Sekiranya manusia dapat melihat malaikat dengan mudah, Tuhan pasti mengutuskan mereka, tetapi disebabkan perkara ini di luar kemampuan manusia, Tuhan mengutuskan seorang manusia sebagai utusannya. Tambahan lagi, hanya malaikat dan orang-orang yang memiliki keistimewaan sahaja dapat berbuat demikian.12

Sekiranya Tuhan menghendaki malaikat turun dari langit sebagai saksi kebenaran nabi, malaikat dijadikan daripada seorang lelaki daripada keturunan Adam. Ini boleh menyebabkan manusia hilang keyakinan kerana mereka tidak dapat lagi membezakan antara malaikat dan manusia. Mereka akan menolak hakikat itu, keadaan ini akan menambahkan keraguan yang sedia ada dalam diri mereka, sehingga akhirnya mendorong mereka mengetepikan segala kebenaran dan kenabian para utusan Tuhan.13 Quran menjelaskannya dalam ayat, “…dan kalau kami jadikan rasul itu daripada seorang malaikat, pasti kami jadikan mereka seorang lelaki dan pasti kami meragu-ragukan mereka di atas apa yang mereka ragu-ragukan ke atas diri mereka sendiri.”14

Ciri kedua, nabi dan rasul terdiri daripada lelaki. Quran menjelaskannya dalam ayat, “Kami tidak mengutuskan rasul-rasul sebelum Muhammad melainkan beberapa orang lelaki yang kami berikan wahyu kepada mereka.”15 Ini membuktikan semua nabi dan rasul terdiri daripada lelaki, tidak ada seorang pun wanita. Ayat ini juga secara langsung menafikan kaum wanita diberikan peranan kenabian dan kerasulan. Tetapi terdapat beberapa ayat Quran yang menunjukkan wahyu juga dikurniakan kepada wanita. Antara mereka ialah ibu Musa seperti dicatatkan dalam surah al-Qasas ayat 7 dan Maryam seperti yang terdapat dalam surah Maryam ayat 24.

Para ulama tafsir berpendapat, perkataan wahyu dalam Quran yang dihubungkan kepada beberapa orang wanita dinamakan ilham. Ia bukanlah bererti wahyu kenabian. Walau bagaimanapun, al-Asy‘ari, al-Qurtubi16 dan Ibn Hazm al-Andalusi17, berpendapat Tuhan juga mengurniakan kenabian kepada wanita. Mereka bersependapat ketika membahaskan kenabian Maryam. Manakala sebahagian ulama lain pula menetapkan kenabian kepada Hawa, Sarah, ibu Musa, Hajar dan Asiah.18 Namun begitu, mereka tidak menentang ayat-ayat Quran yang menunjukkan semua rasul adalah lelaki. Ini berbeza dengan kenabian kerana mereka berpendapat, Quran tidak menyentuh persoalan ini secara terperinci. Mereka mengatakan wanita boleh menjadi nabi kerana kenabian juga diberikan kepada orang-orang tertentu supaya diamalkan tanpa perlu menyampaikannya kepada orang lain.

Hujah mereka berdasarkan dua dalil Quran iaitu yang pertama, “…Lalu kami mengutus roh kami kepadanya, maka ia menjelma di hadapannya dalam bentuk manusia yang sebenarnya.”19 Kedua, “Wahai Maryam, sesungguhnya Tuhan memilih kamu, mensucikan kamu dan melebihkan kamu daripada semua wanita di dunia yang sezaman denganmu.”20 Al-Asy’ari berpendapat kedudukan seseorang nabi adalah daripada sudut pertemuan dengan malaikat dan cara pe-nerimaan wahyu. Justeru, mereka yang terlibat dalam peristiwa itu dianggap nabi.21

Ulama juga mengemukakan bukti mengapa Tuhan memilih Maryam yang mengatasi seluruh alam, iaitu “Tuhan melebihkan Maryam daripada semua wanita di dunia,”dan juga daripada hadis Muhammad yang bermaksud, “Ramai di kalangan kaum lelaki mencapai tahap kesempurnaan, tetapi tidak demikian kepada kaum wanita kecuali Asiah isteri Firaun dan Maryam anak Imran.”22 Ini membuktikan pemilihan Tuhan adalah kerana kesempurnaan mereka. Ia dapat dijadikan hujah bagi membolehkan wanita-wanita ini dianggap sebagai nabi. Umumnya, kebanyakan ulama menolak kenabian ataupun kerasulan wanita. Al-Nawawi mengambil keterangan daripada al-Juwayni yang mengatakan, berdasarkan ijmak Maryam bukanlah seorang nabi.23 Al-Hasan al-Basri mengatakan, tidak ada seorang wanita ataupun jin yang diutuskan sebagai nabi. Demikian juga pendapat kebanyakan ulama fikah.24

Ciri ketiga adalah keperluan memenuhi fitrah jasmani. Keperluan kepada makanan dan minuman adalah salah satu asas hidup. Sebagai manusia, mereka juga tidak dapat mengelakkan diri daripadanya. Tuhan berkata, “Kami tidak menjadikan tubuh-tubuh yang tidak memakan makanan dan tidak pula mereka itu orang-orang yang kekal.”25 Nabi dan rasul juga tidak dapat menghindarkan diri daripada kehidupan berkeluarga dan beranak-pinak. Malahan terdapat beberapa orang nabi mempunyai isteri dan anak yang lebih ramai daripada Muhammad. Ibn Abbas menjelaskan Muhammad tidak dapat mengingkari kehidupan beristeri dan mempunyai anak.26 Ini sesuai dengan kata-kata Tuhan, “….dan sesungguhnya kami mengutuskan beberapa orang rasul sebelum kamu dan kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan.”27

Proses kehidupan sebagai manusia juga dialami oleh para nabi. Ini terbukti daripada penjelasan Ibrahim dalam Quran, “…. Dan Tuhanku, dia yang memberi makan dan minum kepadaku, apabila aku sakit, dialah yang menyembuhkan aku, yang mematikan aku kemudian menghidupkan aku kembali.”28 Setiap nabi dan rasul bekerja bagi menyara kehidupan seharian mereka. Contohnya, Musa menggembala kambing Syuaib. Ibn Hajar mengatakan hikmah para nabi bekerja menggembala kambing adalah supaya mereka sentiasa tunduk, membiasakan hati mereka supaya bersendiri dan mempertajamkan siasah antara umat mereka.29 Begitu juga, Daud bekerja sebagai tukang besi. Tuhan berkata, “…. Dan kami mengajarkan Daud membuat baju besi untuk digunakan bagi memelihara diri kamu dalam peperangan.”30

Ciri keempat, nabi dan rasul tidak mempunyai sifat-sifat ketuhanan. Para nabi dan rasul sentiasa berusaha membersihkan diri daripada sifat-sifat itu. Isa dikatakan mempunyai sifat-sifat Tuhan. Ini dijelaskan dalam ayat, “Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang berkata: Sesungguhnya Tuhan ialah al-Masih, putera Maryam, padahal al-Masih sendiri berkata, “Hai bani Israel, sembahlah Tuhanku dan Tuhanmu.”31 Sebahagian lain pula mengatakan, Tuhan adalah salah seorang daripada tiga iaitu Tuhan, Isa dan Maryam. Tuhan berkata dalam ayat, “Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan, Tuhan adalah salah seorang daripada tiga.”32

Walau bagaimanapun, Isa dibersihkan daripada tuduhan itu. Tuhan berkata, “Ingatlah ketika Tuhan berkata: Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia, “Jadikanlah aku dan ibuku dua orang tuhan selain Allah.” Isa menjawab, “Maha suci engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku mengatakannya. Jika aku pernah mengatakannya, maka tentulah engkau mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak tahu apa yang ada pada diri engkau.”33

Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai ciri-ciri perbezaan, persamaan, dan keistimewaan. Begitu juga para nabi mempunyai ciri-ciri yang ditentukan oleh Tuhan. Kata Tuhan, “Tuhan maha mengetahui di mana dia menempatkan tugas kerasulan.”34 Tuhan memberikan amaran dan peringatan kepada orang-orang mukmin supaya mereka tidak menyakiti Muhammad sebagaimana yang dilakukan oleh bani Israel kepada nabi-nabi mereka. Al-Bukhari menceritakan hadis mengenai keadaan bani Israel yang menyakiti Musa semata-mata kerana curiga kepadanya. Mereka mendakwa Musa menghidap beberapa jenis penyakit yang berat, ekoran daripada kehidupannya yang terasing.35

Justeru, Tuhan menurunkan ayat bertujuan membersihkan Musa daripada tuduhan itu, serta sebagai peringatan supaya perbuatan yang sama tidak dilakukan kepada Muhammad. Tuhan berkata, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Musa, maka Tuhan bersihkan daripada tuduhan yang mereka katakan, dan dia adalah seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Tuhan.”36 Ibn Hajar dalam ulasan mengenai hadis itu mengatakan, daripada segi fitrah kejadian dan akhlak, para nabi berada pada tahap yang sempurna. Apabila ada orang yang cuba merendah-rendahkan kedudukan mereka, sesungguhnya dia menyakiti para nabi. Perkara itu boleh membawa kepada keingkaran dan kekufuran.37

*****
Sifat-Sifat Wajib Nabi dan Rasul
Pada hakikatnya, para nabi dan rasul adalah manusia yang mencapai tahap ketinggian dan kemuliaan. Mereka layak menerima pujian daripada Tuhan berdasarkan sifat-sifat mereka yang terbaik daripada kalangan hamba-hamba Tuhan. Antara sifat-sifat wajib bagi mereka adalah benar. Tuhan berkata mengenai Ibrahim dan Idris dalam ayat, “Ceritakanlah Muhammad kisah Ibrahim dalam kitab ini. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan lagi seorang nabi.”38 Dalam ayat yang lain, “…dan ceritakanlah wahai Muhammad kepada mereka kisah Idris yang disebut dalam Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan lagi seorang nabi.”39 Begitu juga Tuhan menceritakan kepada Muhammad mengenai Ismail dalam ayat yang bermaksud, “Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang rasul dan nabi.”40 Kedudukan mereka sebagai seorang yang benar tidak dapat dipertikaikan lagi kerana Quran menjelaskannya sebanyak tiga belas kali.41

Sifat kedua ialah amanah atau seperti kisah anak Syuaib mengenai Musa dalam surah al-Qasas, “Wahai bapaku, ambillah dia supaya bekerja dengan kita, kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil bekerja dengan kita adalah orang yang kuat dan boleh dipercayai.”42 Begitu juga dengan sifat amanah Yusuf sehingga beliau dilantik sebagai penasihat. Quran menceritakan, “Raja berkata: Sesungguhnya mulai hari ini kamu menjadi seorang yang berkedudukan tinggi dan dipercayai di sisi kami.”43 Hud ada menjelaskan kepada kaum ‘Ad, “Aku menyampaikan amanah-amanah Tuhanku kepadamu dan aku hanyalah pemberi nasihat yang kamu boleh percayai.”44 Di samping itu, enam kali rangkai kata rasul yang dipercayai ditemui dalam Quran, dalam surah al-Syu’ara’ ayat 107, 125, 143, 162, 178, dan surah al-Dukhan ayat 18. Ini menunjukkan sifat amanah tidak dapat dipisahkan sama sekali daripada diri para nabi dan rasul Tuhan.

Sifat ketiga iaitu menyampaikan adalah berdasarkan perintah Tuhan kepada Muhammad. Tuhan berkata dalam ayat, “Wahai Muhammad, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu, dan jika kamu tidak kerjakan apa yang diperintahkan, bererti kamu tidak menyampaikan amanahnya. Tuhan memelihara kamu daripada gangguan manusia.”45 Apabila ditinjau daripada sudut Quran, tugas menyampaikan lebih ditekankan kepada rasul berbanding nabi. Perkataan menyampaikan yang dituruti dengan perkataan risalat boleh didapati sebanyak tiga kali, manakala bentuk al-balagh al-mubin pula disebut sebanyak tujuh kali. Semua ayat itu berhubung rapat dengan tugas-tugas rasul.

Sifat keempat, bijaksana ketika menghadapi hujah-hujah pihak lawan dan ketika menyeru manusia kepada agama Tuhan, Ibrahim membuktikan kelebihan ini kepada Namrud. Quran menceritakan perdebatan yang berlaku antara kedua-duanya, “Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang berdebat dengan Ibrahim mengenai Tuhannya kerana Tuhan memberikan orang itu pemerintahan. Ketika Ibrahim mengatakan: Tuhanku adalah yang menghidupkan dan mematikan. Namrud berkata: Aku dapat menghidupkan dan mematikan. Ibrahim berkata: Sesungguhnya Tuhan menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat, lalu terdiamlah orang kafir itu.”46 Kemudian dijelaskan lagi, “Itulah hujah kami berikan kepada Ibrahim bagi menghadapi kaumnya.”47

Begitu juga apa yang berlaku kepada Musa ketika ditentang oleh Firaun. Tuhan menceritakan dalam Quran dengan maksudnya, “Firaun bertanya: Siapa Tuhan semesta alam ini? Musa menjawab: Tuhan pencipta langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara kedua-duanya, jika kamu semua mahu mempercayainya. Firaun berkata kepada orang-orang di sekelilingnya: Apakah kamu tidak mendengarkan? Musa lalu berkata: Tuhan kamu dan Tuhan nenek moyang kamu yang dahulu. Firaun berkata: Sesungguhnya rasulmu yang diutuskan kepada kamu semua benar-benar orang gila. Musa berkata: Tuhan yang menguasai timur dan barat dan apa yang ada di antara keduanya, itulah Tuhanmu jika kamu menggunakan akal. Firaun berkata: Sesungguhnya jika kamu menyembah Tuhan selain aku, pasti aku menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan.” 48

Justeru, para nabi dan rasul wajib bersifat bijaksana kerana kelemahan berfikir boleh menyebabkan mereka tidak berupaya menegakkan hujah dan bantahan kepada pihak lawan.49 Di samping beberapa sifat itu, para nabi dan rasul dipelihara daripada segala perbuatan yang dapat merendahkan kedudukan mereka di sisi Tuhan secara khusus dan di sisi masyarakatnya. Mereka dibersihkan zahir mahupun batin daripada segala dosa dan maksiat, secara sengaja atau tidak sengaja, juga daripada dosa kecil dan besar.50 Hakikat keistimewaan para utusan Tuhan tidak dapat dinafikan. Mereka sebagai manusia yang terpilih menerusi ketentuan Tuhan, sudah pasti tidak dapat diatasi ataupun disamakan dengan semua manusia yang lain.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024