Artikel

Negara Islam Pertama

oleh Helmi pada 25 Nov 2004

Nabi Muhammad mendirikan negara Islam yang pertama di bandar Madinah. Negara Islam itu dikenali sebagai Negara Madinah. Beliau menggubal perlembagaan negara Islam itu yang kemudian dikenali sebagai Perlembagaan Madinah. Perlembagaan Madinah adalah perlembagaan bertulis yang pertama dalam sejarah dunia.Prinsip-prinsip utama dalam Perlembagaan Madinah adalah:

1. Definisi siapa yang dikatakan warga Negara Madinah. Dalam perlembagaan Madinah disebut dengan terang bahawa agama Islam adalah asas bagi negara Madinah dan orang Islam adalah masyarakat yang satu tanpa mengira keturunan, bangsa ataupun kabilah. Perlembagaan ini mengakui orang-orang Yahudi yang tinggal di Madinah sebagai rakyat yang mesti dilindungi selagi mereka patuh kepada pemerintahan Islam.

2. Nabi Muhammad sebagai ketua negara dan tempat rujukan apabila berlaku perselisihan pendapat sama ada dalam memahami perlembagaan itu ataupun berkenaan undang-undang Islam. Nabi Muhammad diiktiraf oleh semua warga negara Madinah, baik mereka yang Islam, Kristian mahupun Yahudi, sebagai ketua negara mereka.

3. Mengisytiharkan prinsip-prinsip keadilan dan kesamarataan. Dalam perlembagaan ini juga ada ayat-ayat Quran dan kata-kata Nabi Muhammad yang menjadi asas keadilan dan kesamarataan dalam melaksanakan pemerintahan. Perlembagaan ini membenarkan kebebasan beragama seperti orang-orang Yahudi dapat mengamalkan agama mereka. Juga disebut kebebasan individu seperti hak keselamatan diri, keluarga dan masyarakat dan hak memiliki harta.

4. Menyatukan golongan imigran dari kota Mekah yang datang menetap di Madinah dengan penduduk asal bandar Madinah serta menjadikan masjid sebagai tempat penyebaran ilmu, tempat pertemuan orang-orang Islam, tempat rakyat mengadakan majlis perundingan dan tempat perbicaraan dijalankan.

5. Membuka kawasan pusat perdagangan untuk orang-orang Islam di Madinah yang menjalankan sistem ekonomi secara Islam.

6. Mengadakan angkatan tentera bagi mempertahankan negara dan menyebarkan agama Islam kepada raja-raja negara-negara jiran yang bukan.

Negara Islam yang didirikan oleh Nabi Muhammad adalah negara yang menjadikan dewan perundingan rakyat dan akhlak sebagai dua ciri utama sistem politik Islam.

Syed Amir Ali mengatakan dalam Perlembagaan Madinah dirumuskan hak-hak dan kewajipan antara orang-orang Islam sendiri, serta hak -hak dan kewajipan orang Islam dengan penduduk Yahudi. Orang-orang Yahudi menerima perlembagaan itu dengan puas hati.

Dokumen Perlembagaan Madinah itu disimpan dengan baik dalam lembaran-lembaran Ibnu Hisyam. Ia menjadi bukti Nabi Muhammad adalah seorang genius. Nabi Muhammad adalah seorang negarawan yang membangunkan sebuah negara baru berdasarkan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan universal.
Selepas Uqbah bin Nafiq berjaya membuka Eropah bagi kemasukan Islam ke benua itu, beliau pernah berkata, “Wahai Tuhan Muhammad, andainya lautan ini tidak menjadi penghalang bagiku, nescaya aku jelajahi setiap pelosok dunia ini demi menyebarkan ayat-ayat Tuhan, saksikanlah wahai Tuhanku.”
Rabi’ bin Amir pernah mengungkapkan serangkai kata-kata yang masyhur:  “Sesungguhnya Tuhan mengutus kami supaya membebaskan sesiapa yang Tuhan kehendaki, supaya manusia tidak menyembah manusia, dan supaya mereka menyembah Tuhan Yang Maha Esa, supaya kami membebaskan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dan membebaskan mereka daripada pelbagai tekanan agama kepada keadilan Islam.”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024