Artikel

Tarbiah Ramadan: Bagaimana Mahu Istiqamah?

oleh Farah Liana Nordin pada 26 Apr 2022

Ku mengharapkan Ramadan kali ini penuh makna,

Agar dapat kulalui dengan sempurna,

Ku mengharapkan Ramadan kali ini penuh makna,

Tak ingin kubiarkan Ramadan berlalu saja

Terngiang-ngiang bait lagu nyanyian kumpulan nasyid Raihan dan Man Bai yang bertajuk Harapan Ramadan. Pejam celik pejam celik, kita sudah pun memasuki minggu terakhir di dalam bulan Ramadan. Berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum Ramadan pergi meninggalkan kita. Tahun hadapan belum tentu kita berpeluang untuk bertemu semula. Terasa pantas masa berlalu.

Berbicara mengenai Ramadan, semua sedia maklum bahawa ia merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Allah SWT memuliakan bulan Ramadan dengan pelbagai keistimewaan berbanding bulan-bulan yang lain. Pahala dilipatgandakan bagi amalan-amalan yang dikerjakan. Kemuncak Ramadan adalah Lailatul Qadar yang merupakan anugerah terbesar buat umat Islam. Ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan.

Berkat Ramadan, kita berusaha untuk meningkatkan ibadah bahkan ada juga yang menjadikan Ramadan sebagai permulaan untuk memulakan sesuatu amalan. Jangan hairan apabila melihat seseorang itu menjadikan bulan Ramadan sebagai titik perubahannya apatah lagi jangan kita mencemuhnya kerana Ramadan itu sendiri adalah madrasah bagi penyucian jiwa. Fitrah manusia inginkan kebaikan namun dek tekanan hidup dan persekitaran, ada kala kita tersasar daripada landasan sebenar kehidupan.

Tarbiah Ramadan bukan hanya perihal memperbaiki dan menambahbaik ibadah sahaja tetapi membentuk peribadi menjadi lebih baik lagi dengan menghayati sifat-sifat mahmudah. Kejayaan tarbiah Ramadan ini dapat dilihat pada peribadi mulia serta ibadah dan amalan seseorang yang dilakukan secara berterusan dan tidak terhenti setakat pada akhir Ramadan sahaja.

Hidup ini sendiri adalah sebuah perjalanan dan ia merupakan satu proses yang berterusan sehingga kita tiba di titik akhir kehidupan iaitu kematian. Dalam menempuh perjalanan yang panjang ini, sudah pasti kita perlukan bekalan dan sudah tentu kita perlu mempunyai tujuan. Itulah kunci untuk kita terus istiqamah.

“Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-Alaq: 3-5)

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-’Alaq ini jelas menunjukkan kepentingan membaca dan menuntut ilmu dalam kehidupan. Setiap amalan dimulai dan disertai dengan ilmu bagi memastikan ia berterusan dan bukan sekadar ikutan dan bermusim sahaja.

Tidak ada istilah terlambat dalam memulakan pembacaan. Jadikan bulan Ramadan ini sebagai bulan membaca bagi kita menambahbaik ilmu dan amalan untuk bekalan kehidupan. Kami di PTS Media Group berbesar hati memperkenalkan koleksi buku bukan fiksyen yang merangkumi aspek Hijrah, Akidah, Sunnah, Al-Quran dan Ibadah buat bacaan semua. Semoga amalan dan kefahaman kita bertambah baik dengan membaca bahan bacaan yang berkualiti dan bermanfaat.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024