Artikel

NOVELA : Laut Biru Kepada Penulis. Genre Baru Buat Pembaca

oleh Roziyah pada 09 Aug 2011

Oleh: NORHASLINDA BT ABDUL RAZAK. 

Novela didefinisikan oleh Kamus Dewan edisi keempat sebagai sejenis novel pendek. Novela adalah sejenis cerpen panjang yang mengutarakan konflik yang lebih ringan berbanding novel yang menampilkan pelbagai konflik dan perjalanan plot yang lebih panjang. Sekadar menyebut beberapa contoh seperti Dr. Jekyll and Mr. Hyde, The Time Machine, Breakfast at Tiffany’s dan A Christmas Carol, ini semua adalah judul novela yang terkenal daripada Barat dan tidak asing lagi bagi kebanyakan kita, lebih-lebih lagi novela bertajuk Dr. Jekyl and Mr. Hyde yang dijadikan bacaan komponen sastera bahasa Inggeris yang wajib dihadam oleh para pelajar menengah rendah di Malaysia. Penulisan berbentuk novela yang telah lama bertapak di negara Eropah menyebabkan mereka mempunyai koleksi novela yang cukup banyak. Berbanding Malaysia, novela adalah genre sastera baru yang masih samar-samar dan belum diketahui ramai. Novela sendiri diambil daripada perkataan Itali iaitu novelo yang bermaksud ‘baru’. Sesetengah pendapat menyatakan novela lazimnya terdiri daripada tujuh belas ribu perkataan dan adakalanya mencecah tujuh puluh ribu patah perkataan. Tidak seperti novel, penceritaan novela tidak dibahagi-bahagikan kepada bab atau bahagian kerana ia lebih kepada bacaan ringan dan nipis serta mampu dihabiskan pembaca dalam masa yang singkat.

         Melihat penulisan novela mampu melangkah jauh sehingga menghasilkan nama-nama besar seperti John Steinbeck dan Charles Dickens di negara Barat, PTS Litera Utama Sdn. Bhd yang juga anak syarikat PTS Publication & Distributors kini mengorak selangkah ke hadapan dengan memperkenalkan genre penulisan ini kepada khalayak pembaca di Malaysia. Novela sulung terbitan PTS Litera Utama karya Elisya mula diperkenalkan. Novela setebal 139 muka surat ini menjanjikan kepuasan bagi pembaca yang mencari bahan bacaan ringan dan santai dengan harga yang jauh lebih murah berbanding novel biasa. Jangan dilihat pada ketebalannya, tetapi lihatlah pada sisi positif yang ditampilkan sebagai pengajaran dalam novela ini. Novela bukan sekadar sesuai sebagai bacaan remaja, malah tidak rugi dicuba oleh pembaca dewasa yang mencari kelainan dalam bacaan. Melihat kepada kulit novela ini sahaja pembaca mungkin sudah dapat mengagak kisah yang terkandung di dalamnya. Sememangnya itulah yang ingin disampaikan oleh Elisya yang mempertaruhkan kisah gadis bernama Alyah yang serba sederhana hidupnya. Wajahnya sederhana, kepintarannya sederhana, pergaulannya sederhana, keluarganya sederhana sehinggakan adakalanya dia berasa hampa dengan hidupnya. Kemudiannya, datuknya meninggalkan pesan kepadanya sebelum meninggal dunia, menyatakan bahawa cucunya itu seorang yang sangat bertuah kerana hidupnya sudah dijadikan sederhana. Datuknya menyuruhnya menjadi orang yang sentiasa bersederhana. Walaupun dia kurang percaya nasihat datuknya, dia tetap memegang nasihat itu bagi menyedapkan hatinya sendiri.

    Oleh sebab keputusan peperiksaannya yang sederhana, dia tidak berjaya menyambung pelajarannya ke peringkat tertinggi. Jadi, dia memutuskan belajar di kolej swasta. Oleh sebab keluarganya yang sederhana, dia terpaksa bekerja di kedai runcit bagi mendapatkan pendapatan tambahan.

    Dia juga tinggal serumah dengan dua orang lagi rakan perempuan yang kedua-duanya sangat berbeza dan sangat esktrem dalam soal melihat hidup. Seorang sangat oportunis dan seorang lagi sangat negatif. Alyah yang serba-serbi sederhana inilah yang menjadi orang tengah kerana kedua-duanya sering bergaduh.

      Pada waktu itulah Alyah sedikit demi sedikit mula bersyukur kerana menjadi seorang yang sederhana, dalam masa yang sama, dia perlu melawan hasutan rakan-rakan serumahnya itu yang ekstrem dalam setiap perkara. Ikuti novela Si Gadis-Gadis First Class bagi mengetahui pengakhiran kisah kesederhaan Alyah dan keesktreman Intan Sara dan Siti Kalsom.

Penulis adalah editor di Unit Terjemahan, PTS Litera Utama Sdn. Bhd.







Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024