Artikel
OKU Tapi OK - Kenapa Sukur Ibrahim Berjaya?
oleh Hidaya Arshad pada 03 Dec 2019
Tarikh 3 Disember diangkat sebagai Hari OKU Sedunia oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) sejak tahun 1992. Bersempena dengan sambutan hari tersebut, kami ingin berkongsi kisah Tuan Mohd Sukur Ibrahim yang diceritakan oleh beliau di dalam buku tulisan beliau, Inspirasi Sukur.

Walaupun saya sudah masuk PDK, dan saya sudah berani dan ada keyakinan diri, tetapi apabila masuk darjah satu, ia tidak sama dengan apa yang saya peroleh semasa di PDK. Pada hari pertama mendaftar, apabila budak-budak nampak sahaja saya, mereka terus terkejut. Ada yang ketakutan dan berlari. Biasalah budak-budak, mereka masih tidak dapat berfikir dengan baik lagi. Apabila saya masuk ke dalam kelas pula, ada budak-budak yang tanya cikgu di hadapan saya, “Cikgu kenapa dia pendek?” “Cikgu mengapa kaki dia kontot?” “Mengapa kaki dan tangan dia pendek?” Ada yang lagi teruk, nampak saya sahaja terus lari dan kata, “Cikgu, ada hantu!” Saya ingat lagi, saya kejar dia dan mungkin kerana terkejut, dua hari budak itu demam. Semasa beratur di kantin pula, budak-budak akan beratur beramai-ramai di belakang saya. Saya ini ibarat bahan tontonan. Semuanya berasa takjub, hairan dengan keadaan diri saya yang tidak seperti mereka. Malah sampai sekarang pun, apabila saya berjalan-jalan akan ada budak-budak yang hairan dengan saya. Budak-budak pula memang makhluk yang jujur lagi berterus-terang. Cepat sahaja mulut mereka kata, “Emak, kenapa dia pendek?”
Dahulu saya memang seorang yang sensitif. Tetapi sekarang, saya dapat melawan perasaan itu. Saya sedar, tidak ada apa salahnya mereka bertanya begitu. Memang saya pendek. Jadi, apa masalahnya? Tetapi kadang-kadang, emak budak-budak ini pula yang membuatkan saya terasa hati. Sepatutnya jawablah elok-elok, tetapi boleh pula mereka kata, “Dahulu dia jahat. Sebab itulah tangan dan kakinya kena potong. Jadi jangan jahat tau!” Walaupun terasa hati, biasanya saya akan ketawa sendiri. Mungkin sudah selalu terkena begitu, saya sudah melihat perkara itu sebagai sesuatu yang lucu pula. Berbalik dengan keadaan di kantin tadi. Ada masanya apabila saya sudah di kaunter, saya akan panggil mak cik kantin. Mereka pun tercari-cari di mana suara itu. Mereka hairan. Ada suara, tetapi tidak ada orang. Sedangkan saya ada di hadapan kaunter. Cuma sebab terlalu rendah, mereka tidak nampak saya. Apabila berjaya melepasi semua cabaran-cabaran tadi, dan saya pun berjaya membeli makanan, ada cabaran lain pula menunggu. Waktu itu, semasa membawa makanan ada budak terlanggar saya dan semua makanan terjatuh. Hari itu saya tidak makan pun. Balik rumah, saya terus beritahu emak tentang perkara itu. Saya kata, saya mahu bawa bekal. Saya mahu makan di dalam kelas sahaja.
Sejak hari itulah, emak bekalkan saya makanan. Sejak itu jugalah saya sangat jarang datang ke kantin pada waktu rehat. Apabila balik sekolah, lain pula cabaran yang menanti. Ayah saya seorang askar. Sebagai seorang askar, dia memang seorang yang sangat tegas. Jadi, dia akan memeriksa buku-buku sekolah saya. Dia mahu tahu apa yang saya buat di sekolah. Dia tidak mahu saya main-main. Sebagai tanda seriusnya ayah, dia akan memastikan saya mendapat nombor satu di dalam kelas pada setiap tahun. Mesti! Wajib! Bayangkan. Pernah juga saya tanya ayah, “Kalau dapat nombor dua, tak boleh ke?” Ayah jawab tegas, “Tak boleh. Kalau tidak, ayah tidak akan tandatangan buku laporan kamu.” Memang sudah jadi adat sekolah, ada hari ibu bapa berjumpa dengan guru. Pada waktu itulah cikgu akan menerangkan tentang prestasi murid, dan seterusnya ibu bapa akan menandatangi buku laporan murid tadi. Untuk saya, memang tiap-tiap tahun ayah yang akan datang. Sebab saya memang dapat nombor satu di dalam kelas. Sampailah ketika saya berada dalam darjah lima. Waktu itu saya cuma mendapat nombor dua di dalam kelas. Ayah saya memang tidak mahu datang. Dia kotakan kata-katanya. Terpaksalah emak saya yang datang. Waktu emak saya datang itu, mukanya sangat sedih. Sepertinya saya ini dapat nombor corot di dalam kelas. Saya tengok muka emak, kemudian bandingkan dengan muka kawan emak saya. Kawan emak saya itu bukan main gembira lagi. Dia kata, “Terima kasih cikgu. Tahun lepas dia dapat nombor 30, tahun ini dapat nombor 20. Naik nombor dia, cikgu.”
Tegasnya ayah saya dalam pelajaran, bukan sekadar memastikan saya dapat nombor satu, tetapi saya juga mesti mendapat markah tertinggi dalam setiap subjek. Baik subjek Matematik, Bahasa Melayu, Pendidikan Agama Islam, Bahasa Inggeris, dan semuanya. Semasa sekolah rendah, saya akur sahaja dengan keinginan ayah saya. Kemudian, apabila sudah masuk sekolah menengah, apabila saya sudah meningkat remaja, saya mula rasa mahu memberontak. Saya tanya diri saya, kenapa saya perlu disiplin yang ketat begini? Orang lain tidak ada pun disiplin seperti yang saya kena? Emak ayah orang lain biasa sahaja reaksi mereka, apabila anak-anak mereka dapat nombor 30. Tetapi, mengapa ayah mahu sangat saya dapat nombor satu. Walaupun saya kata memberontak, ia tidaklah seperti memberontak budak-budak zaman sekarang. Terus meninggi suara di hadapan orang tua. Atau terus lari dari rumah. Saya memberontak, saya cuma tanyakan soalan itu dalam hati. Saya cuma rasa betul-betul tidak puas hati. Apabila saya sudah dewasa, saya mula mengerti mengapa ayah benar-benar menerapkan disiplin yang ketat ke atas saya. Baru saya faham, mengapa ayah mahu saya mendapat nombor satu di dalam kelas. Disiplin ketat ayah itu, adalah persediaan untuk saya menghadapi dunia luar. Orang seperti saya, perlu 10 kali kental jiwanya berbanding orang biasa. Perlu 10 kali berdisiplin. Ini kerana saya tidak akan mampu bersaing secara fizikal dengan orang lain. Saya tidak ada kelebihan itu, tetapi saya mampu bersaing dengan mereka melalui jiwa dan disiplin.
Ayah juga mahu saya mendapat nombor satu, kerana apa lagi bekalan yang terbaik untuk orang seperti saya, selain daripada ilmu? Apa lagi? Ilmu adalah antara perkara yang dapat mengangkat darjat seseorang dengan izin Allah. Sampai sekarang disiplin ayah itu masih melekat kuat dalam diri saya. Antara yang saya tidak boleh lupa, bagaimana ayah mewajibkan kami tidur dahulu selepas balik dari sekolah. Apabila bangun petang, barulah kami belajar. Ia bukan sekadar disiplin, tetapi ia juga strategi untuk kami menjadi lebih cerdas dan cergas. Atas kerana itu, saya sering berpesan kepada budak-budak sekolah. Apabila kamu berasa terkongkong dengan pelbagai peraturan yang dikenakan oleh ibu bapa kamu, ketahuilah, ia bukan sekadar peraturan, tetapi ia adalah disiplin. Ia sangat berguna dan berharga pada kemudian hari. Dalam hidup, tanpa disiplin kita tidak akan mampu ke mana-mana.