Artikel

Indahnya Hidup Dengan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

oleh Abdullah pada 19 Nov 2019

Di zaman sosial media hari ini, percakapan tidak lagi penting. Setiap daripada kita lebih banyak menggunakan tangan berbanding mulut untuk berkomunikasi. Walaupun berada di dalam satu rumah atau satu pejabat, kita lebih gemar untuk berkomunikasi menggunakan internet, di whatsapp atau aplikasi media sosial yang lain.

Kini, mengumpat tidak perlu lagi menggunakan mulut. Diam tidak lagi bermaksud ketenangan. Dalam diam ada umpatan yang disampaikan. Setiap hari kita melupakan sunnah Nabi untuk bercakap yang baik-baik.

Dalam surah an-Nur, ayat 8 Allah berfirman, yang bermaksud,

“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”

Allah mengecam perbuatan ini. Perbuatan melemparkan tuduhan-tuduhan atau cerita-cerita buruk tentang orang lain. Walaupun kita tahu kisah atau aib seseorang, simpanlah hanya untuk diri kita dan Allah s.w.t sahaja yang tahu. Janganlah kita mengaibkan orang lain di media sosial atau ketika bersama kawan-kawan rapat.

Isteri Abu Lahab disebutkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran sebagai pengajar untuk kita semua. Ummu Jamil iaitu isteri Abu Lahab sertai ke tempat wanita berhimpun untuk menceritakannya keburukan Nabi s.a.w.

Akibat perbuatan itu, Allah s.w.t. petik namanya di dalam al-Quran iaitu Surah Al-Masad, ayat 1 hingga 5.

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ ﴿١﴾ مَا أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ ﴿٢﴾ سَيَصْلَىٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ ﴿٣﴾ وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ ﴿٤﴾ فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِّن مَّسَدٍ

“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, daripada tali-tali yang dipintal.”

Nabi s.a.w. sangat marah kepada golongan yang membuka aib saudaranya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya untuk disakiti. Siapa yang membantu keperluan saudaranya maka Allah akan membantu keperluannya. Siapa yang menghilangkan satu kesusahan seorang Muslim, maka Allah menghilangkan satu kesusahan baginya daripada kesusahan-kesusahan hari kiamat. Dan siapa yang menutupi (aib) seorang Muslim maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Riwayat Bukhari)

Berhati-hati ketika kita menulis sesuatu atau ketika bercakap dengan kawan baik. Kadang-kadang mungkin tidak sengaja menceritakan keaiban saudara kita sendiri. Semoga kita sentiasa dalam rahmat Allah s.w.t. Bercakap yang baik-baik juga adalah sunnah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024