Artikel

PBAKL Menanti Peminat Buku Tempatan

oleh Roziyah pada 02 Mar 2011

Penerbit buku tempatan sekali lagi akan berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi meraikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 tidak berapa lama lagi.

PBAKL yang berlangsung selama 10 hari bermula 22 April hingga 1 Mei 2011 ini dijangka dapat menampung sebanyak 697 buah tapak gerai buku dari pelbagai penerbit di seluruh Malaysia.

Pelbagai jenis gerai yang disediakan di ruang Legar Putra, Dewan Tun Hussein Onn, Dewan Tun Dr Ismail, Dewan Tun Razak 3 dan Dewan Tun Razak 4.

Selain pameran buku-buku terbaru di pasaran serta jualan buku dengan tawaran harga yang menarik, pelbagai aktiviti dan program turut diadakan semasa berlangsungnya PBAKL itu nanti. Antara aktivitinya adalah pelancaran buku oleh penerbit dan agensi kerajaan, bicara dan ulasan buku oleh pengarang buku terkenal dalam dan luar negara, ceramah mengenai penerbitan dan pemasaran buku, bengkel penulisan dan sesi bersama penulis.

Memetik dari web klibf.com.my, bagi mempertingkatkan komponen perdagangan hak cipta dan lesen perbukuan dalam industri buku tempatan, pihak penganjur PBAKL 2011 juga menyediakan Pusat Perdagangan dan Hak Cipta bagi menggalakkan pengarang, penerbit dan agen hak cipta dari dalam dan luar negara bagi menjalankan urus niaga hak cipta. Pihak penganjur juga dipetik dalam web PBAKL juga merancang membawa agen-agen dari Asia Tenggara dan Benua Eropah bagi menjalankan urusan perdagangan hak cikpta dan lesen perbukuan bagi manfaat penggiat industri buku di Malaysia.

Melalui tema, ‘Buku: Dunia Tanpa Sempadan menjadi langkah dalam membudayakan tabiat membaca di kalangan masyarakat khususnya generasi muda bagi mewujudkan generasi modal insan yang mempunyai ilmu pengetahuan serta berketerampilan dalam menghadapi persaingan global.

Penganjuran pesta buku ini secara tahunan adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pelajaran melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama pihak industri buku tempatan bagi menggalakkan seluruh lapisan masyarakat menggemari buku dan menanam minat membaca dalam kalangan rakyat di negara ini.

Dengan sokongan masyarakat pembaca, industri buku tempatan juga diharap dapat berkembang maju selaras dengan perkembangan ekonomi negara.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024