Artikel

Pembaca Ulas Buku Armagedon 2012 dalam Blog

oleh Roziyah pada 21 Sep 2010

Salah seorang pembaca buku Armagedon 2012 dalam blog beliau menulis ulasan yang hebat mengenai buku Armagedon 2012: Bencana Akhir Zaman hasil tulisan Muhammad Alexander yang diterbitkan PTS Islamika baru-baru ini.

Tuan Muhd Syaari Abdul Rahman dalam blognya http://www.iskandarfateh.com mengulas secara terperinci mengenai buku Armagedon 2012 yang menjelaskan mengenai kiamat.

"Buku ini – berjajaran dengan penulisnya yang sedang mendapatkan PhD dalam bidang sejarah dan peradaban - membuktikan dengan pelbagai hujah bernas bagaimana 'segarnya' setiap kisah di dalam al-Quran. Menjadi sifat sejarah sememangnya akan berulang kerana itu adalah hukum Tuhan dan hukum alam sekaligus.

"Skrip perang Badar digambarkan penulis akan kembali di akhir zaman dan mukjizat Ramadhan sebagai bulan kemenangan umat akhirnya akan diserlahkan jua oleh Allah S.W.T. Penurunan Al-Quran pada bulan Ramadhan (sebagaimana dalam permulaan surah Ad-Dukhan @ asap tebal global) yang sejajar dengan ayat mengenai 'penurunan' besi (surah al-Hadid) dibuktikan secara ilmiah akan berlaku menjelang 'the end of world' yang sebenar-benarnya," jelas Tuan Syaari dalam blognya.

Bagi tuan Syaari, buku Armagedon 2012 ini menjanjikan perbahasan berat dan mendalam mengenai 4 dari 10 tanda besar Kiamat iaitu Dajjal, asal (dukhan), penurunan Nabi Isa dan kemunculan Yakjuj dan Makjuj.

"Tahniah pada PTS dan penulis atas gambarajah yang mempermudah otak kanan pembaca memahami kronologi dan perincian setiap kronologi Kiamat ini meskipun saya memahami pandangan penulis bukanlah satu kebenaran mutlaq dan bisa terdedah pada perbezaan pandangan dari sarjana dan masyayikh lain. Apapun Tuan Muhammad Alexander telah melaksanakan tanggungjawabnya untuk memberikan peringatan pada ummah, Allah sebaik-baik pembalas atas usaha jihad pena beliau," ujar beliau melalui blognya.

Beliau juga berpendapat jika mahu dilakukan sesi Bedah Buku atau prebiu kepada buku ini oleh Tuan Muhammad Alexander, penganjur perlu bersedia menyajikan program selama 2-3 hari penuh (seminar pagi sehingga petang) lengkap agar Tuan Muhammad Alexander dapat menyampaikan hujah dan pembuktiannya serta methodologi kajian beliau sepenuhnya dalam suatu 'pengembaraan' yang tersusun tanpa ada seorang penumpang pun terbabas pemikirannya dalam menanggapi buku ini mahupun nas-nas bersangkutan akhir zaman.

"Kerapkali kontroversi berlaku dan buku 'terlalu cepat' laris di pasaran akibat salah tanggapan pembaca pada apa yang ditulis, bukan apa yang didengar sendiri dari lidah penulis," jelas beliau lanjut.

Tuan Syaari juga menjelaskan dalam buku Armagedon keluaran PTS ini, pembaca dapat menyaksikan kehebatan susunan nas al-Quran oleh Allah yang pendek tetapi tajam dalam menyampaikan sesuatu maksud, termasuk hikmah penganugerahan Ramadhan dan malam Lailatul Qadar pada ummat Muhammad sahaja.

"Mungkin atas sebab inilah Nabi Musa dan Nabi Isa berdoa supaya diberikan peluang menjadi umat Nabi Muhammad di akhir zaman, namun hanya doa Nabi Isa diperkenankan dan atas sebab itu baginda akan 'dikembalikan' di akhir zaman bagi memenangkan umat Islam umat Muhammad (baca pembuktian al-Quran mengenai kedatangan Nabi Isa di akhir zaman di halaman 302 – 309 buku ini) dan membuktikan janji palsu penyamar Nabi Isa iaitu al-Masih Dajjal," jelas beliau lagi.

Pada bulan November 2009, dunia dikejutkan dengan filem arahan Ronald Emmerich yang bertajuk 2012. Idea asal filem ini dipetik daripada kalendar kaum Maya yang mendakwa kitaran besar dunia tempoh ini akan berakhir pada tahun 2012 atau lebih tepat lagi pada 21 Disember 2012.

Selain disokong oleh kalendar kaum Maya yang banyak didakwa berlaku secara 'kebetulan', mereka juga mendakwa pada 2012, sistem suria kita (Galaksi Bima Sakti) akan mengalami konfigurasi luar biasa, medan magnet bumi menjadi lemah dalam masa yang pantas, fenomena hubungan perubahan medan magnet bumi dan hubungan manusia berlaku dan lebih menarik lagi adalah perlanggaran planet Nibiru (Planet X) dengan bumi. Filem ini turut dibahas dan dikaji oleh ramai para intelek termasuk daripada NASA sendiri.

Muhammad Alexander mengkaji peristiwa kiamat ini sebelum filem 2012 ini ditayangkan. Kajian ini dimuatkan di dalam buku Armagedon 2012 yang membahas kekeliruan para intelek dalam menghasilkan filem 2012 serta membahas fenomena kiamat yang disebut di dalam al-Quran dan hadis secara kronologikal.

Turut dimuatkan gambar, carta dan hasil-hasil kajian mengenai kiamat yang dilakukan oleh para saintis. Ini menjadikan buku Armagedon 2012 sebagai buku yang membahaskan tentang kiamat yang terlengkap, tersusun dan gambaran yang mudah difahami.

Dapatkan buku Armagedon 2012 yang kini sudah berada di rangkaian kedai buku seluruh Malaysia atau layari Bookcafe.com.my bagi membeli buku ini secara online.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025