Artikel

Pembelajaran dewasa

oleh Helmi pada 22 Jul 2004

Di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat, pendidikan dewasa adalah keperluan sosial yang jelas seiring dengan pembentukan demokrasi dan revolusi perindustrian. Pendidikan dewasa kali pertama muncul di negara-negara Eropah adalah di England pada awal abad kesembilan belas. Manakala, pendidikan dewasa hanya mula tumbuh di Amerika Syarikat pada penghujung abad kesembilan belas iaitu sebagai pendidikan tambahan bagi orang dewasa seperti universiti, perpustakaan awam dan muzium.

Pendidik, pelapor pendidikan dan tercatat dalam ensiklopedia bahawa banyak aktiviti yang dapat dilakukan di bawah pendidikan dewasa. Sejarawan Herbert Baxter Adams lebih gemar menamakan pendidikan dewasa sebagai pendidikan popular atau pendidikan tambahan, manakala Melvil Dewey menamakan pendidikan dewasa sebagai pendidikan keluarga atau home education. Menurut Stubblefield dan Rachal (1992), sejak tahun 1910 lagi istilah pendidikan dewasa lebih gemar digunakan dalam mereka bentuk dan mengkategorikan program pendidikan yang diadakan bagi orang dewasa.

Pada awal 1920-an, the Carnegie Corporations berinisiatif menjadi perangsang dalam pergerakan sosial. Carnegie mem-bayangkan gambaran perkembangan dalam bidang ini, mempelajari pendidikan dewasa di perpustakaan, memperluaskan pengetahuan di universiti atau cara pembelajaran yang sesuai dengan orang dewasa.
Lyman Biyson, professor serta pelopor dalam bidang pendidikan dewasa, melihat pembangunan ini sebagai tanda penggerak dalam mengubah masyarakat ke arah yang lebih bermakna.

Menurutnya (1936):“Pembelajaran sepanjang hayat adalah ideal sejarah ketamadunan tetapi pendidikan dewasa adalah gerakan sosial yang tersusun dalam kehidupan baru masyarakat Amerika.”

Beliau mengatakan, pendidikan seumur hidup adalah warisan dalam sejarah budaya nenek moyang, tetapi pendidikan dewasa adalah pergerakan sosial yang baru dan terancang dalam kehidupan Amerika. Oleh itu, kita boleh menyatakan bahawa pendidikan dewasa menjadi pendorong utama dalam proses pemodenan masa kini kerana dengan melalui pendidikan dewasa, perubahan-perubahan terbentuk dan membawa masyarakat ke arah yang diidamkan.

Definisi
Pendidikan dewasa adalah bidang pembelajaran yang sangat luas definisi dan konsepnya. Pendidikan dewasa didefinisikan oleh Ely (1936) dalam karyanya Journal of Adult Education sebagai bidang pendidikan yang merangkumi matlamat masyarakat, sejarah, program pendidikan yang spesifik, penyelesaian masalah, isi kandungan pendidikan dan pemudah cara.

Manakala menurut Bryson (1936) di dalam buku teks pertama berkenaan dengan pendidikan dewasa, pendidikan dewasa boleh didefinisikan sebagai:“… semua aktiviti dalam lingkungan tujuan pendidikan yang melibatkan manusia dalam urusan kehidupan hariannya.”

Bryson menambah bahawa pendidikan dewasa adalah pembelajaran menerusi inisiatif sendiri pelajar itu bagi mendalami suatu ilmu di samping mencapai peningkatan kendiri; peningkatan kendiri adalah dorongan daripada motivasi dalaman pelajar itu untuk belajar.

Selain itu, pendidikan dewasa juga adalah petunjuk dan perkhidmatan sokongan yang berkaitan bagi orang dewasa yang tidak belajar dalam sekolah menengah, bagi mereka yang kekurangan pendidikan asas dan bagi mereka yang tidak berupaya bercakap, membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris.

Pendidikan dewasa membantu orang dewasa menyelesaikan masalah yang dihadapi supaya mereka dapat berfungsi dengan berkesan dalam pekerjaan, keluarga dan masyarakat.  Di samping itu, pendidikan dewasa juga dapat membantu orang dewasa mencapai matlamat masing-masing serta membangunkan pengetahuan dan potensi mereka dengan meningkatkan tahap pendidikan. 

Pendidikan dewasa juga boleh didefinisikan sebagai semua aktiviti pendidikan yang bukan sepenuh masa. Ia termasuk pembelajaran separuh masa di kolej ataupun program-program Ijazah, kursus-kursus yang berkaitan dengan pekerjaan seperti kelas-kelas atau seminar-seminar yang disediakan oleh majikan, kelas-kelas untuk pembangunan peribadi, hiburan, program-program sijil yang membawa kepada ijazah kolej atau universiti dan program-program vokasional atau teknikal.

Pendidikan dewasa juga boleh dikatakan sebagai proses di mana lelaki dan wanita (secara individu, kumpulan ataupun dalam institusi) berusaha memperbaiki diri sendiri ataupun masyarakat dengan meningkatkan kemahiran, pengetahuan ataupun kepekaan mereka; atau ia adalah sebarang proses di mana individu-individu, kumpulan-kumpulan atau institusi-institusi cuba membantu lelaki dan wanita bagi memperbaiki diri mereka dengan cara-cara itu. Husle (1977)

Berdasarkan pada pelbagai definisi pendidikan dewasa, dapat dirumuskan bahawa pendidikan dewasa adalah bidang yang luas merangkumi segalanya daripada kemahiran asas atau latihan GED sehingga pendidikan komuniti dan pendidikan berterusan serta latihan untuk pekerja. Matlamat akhir pendidikan dewasa mungkin membawa kepada perubahan dalam struktur sosial masyarakat.

Tujuan Pendidikan Dewasa
Secara umumnya, banyak sumber yang menyatakan bahawa pendidikan dewasa mempunyai dua tujuan utama iaitu membawa kepada perubahan sosial dan pembangunan kendiri. Walau bagaimanapun, pendidikan dewasa mempunyai banyak tujuan lain iaitu seperti berikut (David, 1988):

1.Memberi peluang pada orang dewasa yang kekurangan   pendidikan sekolah tinggi memperoleh kemahiran yang diperlukan supaya dapat berfungsi dengan berkesan dalam masyarakat dan pekerjaan.

2.Memperoleh kemahiran membaca, menulis dan mengira pada tahap asas yang diperlukan bagi mendapat suatu pekerjaan.

3.Mencapai syarat-syarat kemasukan bagi program latihan vokasional.

4.Belajar untuk lulus dalam peperiksaan prestasi kerja.

5.Memperoleh kemahiran pekerjaan peringkat tinggi.

6.Memperoleh kemahiran yang diperlukan bagi menjadi ibu bapa yang baik.

7.Memperoleh kemahiran yang diperlukan bagi menjadi seorang ahli masyarakat yang berfungsi, dapat memberi sumbangan dan menjadi pengguna yang pintar.

8.Mempelajari kemahiran bahasa lain sebagai bahasa kedua dan kemahiran berkomunikasi.

9.Mendapat diploma sekolah tinggi.

10.Menggalakkan keamanan, pemahaman antarabangsa dan kerjasama dalam pekerjaan.

11.Membangunkan pemahaman kritikal daripada masalah-masalah terkini dan perubahan sosial serta berupaya mengambil bahagian secara aktif dalam masyarakat dengan tujuan mencapai keadilan sosial.

12.Menggalakkan peningkatan kesedaran berkenaan dengan hubungan antara orang dewasa dengan keadaan fizikal mereka dan persekitaran budaya; dan mengaitkan hasrat memelihara alam persekitaran dan melindungi alam semula-jadi serta hak-hak umum.

13.Mewujudkan pemahaman dan penghormatan pada ke-pelbagaian adat resam dan kebudayaan, tidak kira adat resam dan kebudayaan itu tempatan ataupun antarabangsa.

14.Menggalakkan peningkatan kesedaran dan memberi kesan pada pelbagai bentuk komunikasi dan perpaduan pada tahap keluarga, tempatan, daerah, nasional dan antarabangsa.

15.Menjamin kesedaran dan efektifnya orang dewasa lelaki dan wanita dalam alam pekerjaan dengan membekalkan pendidikan teknikal dan vokasional terkini serta mem-bangunkan kebolehan mencipta, sama ada secara individu ataupun berkumpulan.

16.Membangunkan keupayaan atau kebolehan menyelesaikan masalah-masalah yang terlibat dalam usaha mendidik kanak-kanak.

17.Membangunkan sikap menggunakan masa lapang dengan kreatif bagi memperoleh sebarang pengetahuan yang di-perlukan atau diingini.

18.Membangunkan pengetahuan atau pemahaman yang diperlukan dalam pembangunan media masa komunikasi, radio, televisyen, pawagam dan pentafsiran pelbagai mesej yang dialamatkan pada lelaki dan wanita oleh masyarakat.

19.Membangunkan sikap belajar secara sukarela.

20.Mencabar anggapan-anggapan ekonomi dan sosial yang dibentuk dan menyumbang pada pemeliharaan sistem yang sedia ada.

21.Membantu orang dewasa menjadi lebih sedar pada biografi sendiri dalam hubungannya dengan masyarakat secara keseluruhan.

Dapat dirumuskan, pendidikan dewasa bertujuan membawa pe-rubahan positif secara menyeluruh dalam semua bidang bermula daripada individu seterusnya pada masyarakat dalam aspek sosial, ekonomi mahupun politik. Semua ini memerlukan komitmen dan inisiatif individu terhadap pembelajaran kerana tanpa keinginan ini, maka sukar menggerakkan perubahan.

Prinsip Pendidikan Dewasa
Sebelum program pendidikan dewasa dijalankan, adalah penting bagi pendidik ataupun penganjur jelas dan memegang prinsip-prinsip yang terkandung dalam penganjuran program pendidikan dewasa itu. Antara prinsip-prinsip yang perlu diketahui adalah seperti berikut:

1.Program pendidikan dewasa perlu berdasarkan keperluan peserta (orang dewasa) dan menjadikan pengalaman mereka yang berlainan itu berguna dalam pembangunan pendidikan dewasa.

2.Ia perlu bergantung pada keupayaan dan keazaman semua manusia bagi membawa kemajuan dalam seluruh kehidupan mereka pada tahap pembangunan kendiri dan dalam hubungan aktiviti sosial mereka.

3.Perlu sedar minat membaca dan membangunkan aspirasi kebudayaan.

4.Ia perlu menggalakkan dan mengekalkan minat pelajar dewasa berkembang bagi mengembangkan dan mem-perluaskan pengalaman mereka dan menggalakkan mereka menyertai dan mengambil bahagian secara aktif dalam semua proses pembelajaran.

5.Ia perlu sesuai dengan keadaan hidup setiap hari dan pekerjaan sebenar serta mengambil kira ciri-ciri peribadi pelajar dewasa seperti umur mereka, keluarga, sosial, pekerjaan ataupun latar belakang kerakyatan dan cara ciri-ciri itu berhubung kait.

6.Ia perlu mencari penyertaan orang dewasa secara individu, kumpulan dan komuniti dalam membuat keputusan pada semua tahap dalam proses pembelajaran; termasuklah mengenal pasti keperluan, pembangunan kurikulum, program pelaksanaan dan penilaian dan perlu merancang aktiviti pendidikan dengan suatu pandangan bagi mentransformasikan persekitaran pekerjaan dan kehidupan orang dewasa.

7.Ia perlu tersusun dan beroperasi secara fleksibel dengan mengambil kira faktor-faktor sosial, kebudayaan, ekonomi dan institusi setiap negara dan masyarakat serta dalam konteks pelajar dewasa

8.Ia perlu menyumbang pada pembangunan ekonomi dan sosial bagi keseluruhan komuniti.

9.Ia perlu dikenal sebagai sebahagian daripada proses pendidikan, suatu bentuk daripada organisasi kolektif yang ditubuhkan oleh orang dewasa dengan pandangan untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka dari hari ke hari.

10.Ia perlu mengakui bahawa pengalaman-pengalaman hidup setiap orang dewasa itu adalah peralatan kebudayaan yang membolehkan mereka memainkan kedua-dua peranan pelajar dan fasilitator dalam proses pembelajaran yang mereka sertai.

Peranan Pembelajaran Dewasa
Pendidikan dewasa adalah ‘pemberi pengalaman kehidupan’ kepada orang dewasa dan pendidikan dewasa hanya dikategorikan sebagai ‘pemberi pengalaman kehidupan’ apabila:

1.Pendidikan dewasa ini membolehkan individu itu mem-bangunkan kelebihan-kelebihan yang terpendam dan mempertingkatkan konsep kendiri individu itu.

2.Pendidikan dewasa dapat membantu orang dewasa membaca situasi yang merunsingkan mereka seperti ke-bimbangan, pilih kasih, kesilapan dan kepalsuan serta membantu melepaskan individu itu daripada gangguan fitnah, sebaran cerita dongeng dan ikatan dengan pemikiran kolot.

3.Pendidikan dewasa yang dapat menarik minat orang dewasa mengambil tahu ataupun melibatkan diri dalam rekaan dan ciptaan kreatif dalam bidang penulisan dan kesenian.

4.Pendidikan dewasa yang dapat membentuk pemikiran kreatif orang dewasa dalam merancang kerjaya dan mencapai matlamat yang bererti.

5.Pendidikan dewasa yang mempertingkatkan kesanggupan semua orang supaya lebih toleransi, peka, saling faham-memahami dan mewujudkan keadilan sosial.

6.Pendidikan dewasa yang mempelawa peluang yang lebih cerah dan luas pada orang dewasa bagi memajukan diri sendiri.

7.Pendidikan dewasa yang menggalakkan seluruh masyarakat mengembangkan potensi-potensi yang ada pada mereka.

8.Pendidikan dewasa yang menjadi sebahagian daripada usaha mengekalkan dan mengembangkan kebudayaan tradisional serta nilai-nilai perikemanusiaan.

Akan tetapi, terdapat juga situasi yang mana pendidikan dewasa itu tidak dapat digelar sebagai ‘pemberi pengalaman kehidupan’ apabila berlakunya keadaan-keadaan seperti berikut:

1.Pendidikan dewasa yang memberi keputusan yang muktamad apabila berlaku percanggahan dan berlaku kekeliruan iaitu tidak menggalakkan orang dewasa itu berfikir sendiri dalam mencari penyelesaian.
2.Pendidikan dewasa yang menamatkan perbincangan sementara masalah yang dihadapi itu masih belum diselesaikan lagi dengan membekalkan pengetahuan ilmiah.

3.Pendidikan dewasa yang hanya membekalkan jawapan iaitu tidak menekankan orang dewasa itu berdikari.

4.Pendidikan dewasa yang tidak berguna membekalkan pendekatan yang membolehkan orang dewasa itu menilai kebenaran berkenaan dengan sebarang informasi yang diterimanya.

5.Isi kandungan pendidikan dewasa yang tidak berguna iaitu tidak dapat membantu dalam menyelesaikan masalah.

Model Pembelajaran Dewasa Knowles (1970)
Pendidikan dewasa adalah anjuran aktiviti-aktiviti pendidikan bagi membantu orang dewasa dalam mencapai kejayaan, di mana kejayaan dinilai berdasarkan pencapaian dalam kedudukan dan kesanggupan peserta bagi mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari. Dengan itu, menurut Malcolm S. Knowles (1970), terdapat tiga model keperluan dan matlamat dalam membentuk program pendidikan dewasa yang dapat membantu mencapai kejayaan iaitu berkenaan dengan keperluan dan matlamat individu, keperluan dan matlamat organisasi serta keperluan dan matlamat sosial.

1.Keperluan dan matlamat individu
Secara umumnya, pendidikan dewasa adalah bagi membantu individu mencapai keperluan maksimum dan kepuasan. Di samping itu, pendidikan dewasa juga ingin membangunkan sikap pelajar bahawa belajar adalah proses seumur hidup dan bagi meningkatkan kemahiran, ia bergantung pada keputusan individu dalam pemilihan program pendidikan yang dipilih untuk disertai.

2.Keperluan dan matlamat organisasi
Pendidikan dewasa juga terletak di bawah salah satu program anjuran organisasi bagi membantu pekerjanya dan meningkatkan produktiviti keluaran dalaman organisasi. Selain itu, organisasi juga ingin menggunakan kefahaman pekerja berkenaan dengan operasi organisasi biarpun teknologi ataupun pengurusan. Di samping itu, organisasi juga ingin membentuk suasana kerja yang menyenangkan semua pekerja dapat membina hubungan baik antara semua pekerja dan saling hormat-menghormati.

3.Keperluan dan matlamat masyarakat
Pendidikan dewasa bertujuan membangunkan ahli-ahli masyarakatnya bagi menghadapi perubahan-perubahan dalam masyarakat seperti perubahan teknologi, ekonomi, politik, sosial dan budaya. Dalam daripada itu, elemen seperti alam sekitar dan geografi juga diberi penekanan dalam pendidikan dewasa. Menerusi pendidikan dewasa juga, percanggahan juga di-harapkan dapat ditangani seperti daripada segi agama, warna kulit (kaum), masyarakat timur dengan masyarakat barat dan yang kaya dengan yang miskin.

Kesimpulan
Pendidikan dewasa adalah bidang pendidikan yang dirancang khas untuk orang dewasa dalam membangunkan kendiri, organisasi mahupun masyarakat. Dalam jangka masa yang panjang, melalui pendidikan dewasa juga, ia membawa kepada perubahan secara menyeluruh dalam masyarakat iaitu membentuk pergerakan sosial yang menuju ke arah masyarakat yang lebih adil, mengutamakan hak asasi manusia dan setiap orang menikmati kebebasan.

Dalam organisasi pula, pendidikan dewasa memainkan peranan membantu organisasi mencapai matlamat iaitu dengan membangunkan pekerja-pekerja dalam organisasi daripada segi kemahiran, pengetahuan, nilai dan sikap. Di samping itu, pendidikan dewasa juga adalah pelengkap bagi mereka yang kurang mendapat pendidikan awal, menengah atau tinggi apabila mereka ingin membangunkan diri sendiri.

Sebelum melaksanakan pendidikan dewasa, penganjurnya perlu mengetahui prinsip-prinsip yang perlu dipegang kerana sasaran yang mereka hadapi adalah golongan dewasa yang mempunyai konsep kendiri yang tersendiri dan masing-masing memiliki pengalaman. Oleh itu, pelaksanaan pendidikan dewasa perlu dijadikan penyumbang ilmu pengetahuan ataupun kemahiran bagi orang dewasa dengan mengharapkan mereka berubah dengan sendirinya dan bukan mahu mengubah mereka. 

Selain itu, orang dewasa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membentuk jenis pendidikan yang mereka kehendaki berdasarkan keperluan masing-masing. 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024